Plastik lutsinar bersaiz kecil dihulurkan kepada Izham. Ada minyak gamat, kapas dan juga plaster. Izham memandang Azza sekilas sebelum dia menyambut huluran itu.
"Sorry pasal semalam."
Izham tersenyum. "Tak apa, aku faham. Mesti korang satu rumah ingat aku ini lelaki gatal tu kan?"
Azza anggukkan kepala. Rupa-rupanya Izham ini jiran sebelah rumah yang masuk lambat dari mereka berempat. Rumah yang Aisyah teringin sangat nak tahu tentang penghuninya.
Selama ini mereka tak pernah bertegur sapa. Yalah, keluar rumah pukul enam pagi dan balik pula malam. Mana ada masa nak bertembung di depan rumah, kalau ada pun mesti masing-masing buat-buat tak perasan.
"Iz! Kenapa dengan muka kau?"
"Err..." Izham dan Azza saling berpandangan.
"Meh akak tengok. Aduh, hilanglah kehenseman kau, Iz!" Kelam kabut Kak Lin memeriksa muka Izham.
Izham tak cedera teruk pun, hanya sekadar bengkak di tulang pipi dan ada kesan cakar di hujung keningnya. Itu semua sebab hentaman Aisyah dengan penyapunya. Punya beria-ria Aisyah bantai dia semalam sampai penyapu mereka bengkok.
"Saya jatuh motor semalam, kak."
"Motor? Bukan kau balik jalan kaki ke semalam?"
Izham mengusap belakang lehernya dengan kekok. Tiba-tiba saja Kak Lin baik hati tanya pasal dia, selalunya bertegur sapa pun tak nak.
Azza laju saja melarikan diri apabila Kak Lin menoleh ke arahnya. Dia tahu Kak Lin mesti nak tanya pasal Izham dekat dia. Lebih baik dia pergi buka meja di luar kedai daripada duduk dengan Kak Lin.
"Azza, sini kejap." Kak Lin memanggil.
Dia melangkah ke arah wanita itu yang sedang bercekak pinggang. Dia ada buat salah ke? Muka Kak Lin nampak tak gembira bila nama dia dipanggil.
"Ya, kak?"
"Kenapa dengan Izham?" Kak Lin bertanya dengan suara garang.
"Kenapa dengan dia?"
"Eh, aku tanya kau. Kau tanya aku balik pula. Semalam muka dia tak ada kena macam itu pun, kenapa hari ini tiba-tiba lebam bagai?" marah Kak Lin.
"Mana saya nak tahu, kak. Saya baru je sampai, tengok-tengok dia dah macam tu." Azza membuat muka polos, tak tahu apa-apa.
Kak Lin mengecilkan matanya. Nak percaya ke tidak dengan kata-kata pekerja baru ini. Semalam dia nampak Izham dan Azza balik menggunakan laluan yang sama, mustahil tak ada apa-apa berlaku.
Hesy... peliknya.
"Lin, kamu bersembang apa dengan Azza?" Ummi datang menegur.
Senyuman diberikan kepada tuan kedai sebelum Azza meminta diri untuk menyambung semula kerjanya di luar kedai. Disebabkan Kak Lin, dia kena buka meja dan kerusi dengan kadar segera.
Baru hari pertama dia bekerja, Kak Lin dah menduga mentaliti Azza. Ini baru sehari, kalau sebulan? Lembiklah jawabnya kalau tak punya ketahanan mental yang kuat.
Tak apalah, Za...
Kau datang sini nak kerja, nak cari duit. Bukannya nak bergaduh dengan orang. Sabar jelah...
-----------
Kerusi terakhir dibawa masuk ke dalam dengan bantuan dari Sofia, rakan sekerjanya. Mereka duduk berehat sekejap di tepi kaunter bayaran selepas mengangkat hampir kesemua kerusi dan meja di luar kedai.
Jam di dinding Azza pandang sekilas lalu. Alamak, dah pukul sebelas!
Ikatan apron dia buka, makanan yang dibungkus tadi untuk orang di rumah dia masukkan ke dalam beg galasnya. Kalut-kalut dia mengemas barang-barangnya sebelum berjumpa dengan Ummi untuk mengambil duit upah.
YOU ARE READING
Wonderful Youth [c]
Short StoryKisah antara empat orang gadis, pelajar semester akhir. Setiap seorang mempunyai kisah dan rahsia tersendiri. Bak kata orang, bukan namanya kehidupan jika tiada pasang dan surutnya. Manisnya ada. Masamnya ada. Pahitnya ada. Masinnya ada. Cukup empa...