Nurin pandang Azam dan Yana. Hati ini berdebar-debar ingin tahu siapakah orang di sebalik topeng hitam itu. Benarkah lelaki bertopeng itu Adib seperti yang mereka sangkakan atau mungkin orang lain yang seiras Adib?
Otak sudah mengarahkan tangan ini untuk membuka topeng yang lelaki misteri itu sedang pakai tapi tangan masih keras di tepi. Hati Nurin berbelah bahagi. Dia takut, andai betullah orangnya adalah Adib, apa yang dia akan buat?
Adib dan Nurin sudah lama berkawan, sejak lelaki itu mula bekerja sebagai kerani biasa di syarikat Dato Isma sehinggalah sekarang. Nurin sangat percayakan Adib kerana Dato Isma juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu.
"Nurin?" Yana memanggil.
Dari tadi dia lihat Nurin termenung sambil mata tak lepas pandang dari lelaki itu. Mungkin Nurin tak bersedia atau dia tak mahu terima hakikat jika betul orang itu adalah Adib.
Apabila Yana menegur, barulah Nurin tersedar dari lamunan. Perasaan kecewa sudah mula bertandang di hati tapi untuk selamatkan ayahnya, dia perlu tahu siapa orang yang cuba untuk mencederakan dia dan apa motif dia buat begitu ke atas Nurin.
Topeng muka dia tanggalkan dengan mata yang tertutup. Di dalam hati, dia berdoa agar orang itu bukan Adib. Tapi sangkaannya meleset, memang betul lelaki bertopeng itu adalah orang kanan ayahnya sendiri, Adib.
"Astarghfirullahalazim, Adib! Kenapa kau buat macam ini dekat Nurin, hah?" Azam menolak badan Adib sehingga lelaki itu terjatuh mencium lantai wad.
Nurin nyata kecewa dan kehilangan kata apabila melihat muka lebam Adib akibat dipukul oleh Azam tadi. Orang yang paling dia percaya, yang dia tahu akan menjaga ayahnya sebaik mungkin adalah orang yang sama ingin Nurin mati.
Dia terduduk di hujung katil sambil memandang Adib. Tergamak Adib buat semua ini sedangkan dia tak pernah ada dendam dengan lelaki itu. Selama dia mengenali Adib, dia tak pernah melakukan perkara yang boleh membuatkan Adib menyimpan dendam dengannya.
Kenapa.. kenapa Adib nak Nurin mati?
"Adib." Nurin menyeru namanya.
Azam menarik Adib supaya berada dekat dengan Nurin.
"Kenapa awak buat macam ini dekat saya? Kenapa awak nak saya mati? Apa salah saya, Adib?"
Adib menundukkan kepala. Dia tak sangka yang Nurin berpura-pura sakit ketika dia sampai di dalam wad. Mata dia tertipu dengan semua kesan luka yang ada di tangan dan tulang pipi Nurin.
Apa yang dia boleh katakan sekarang ini? Semua yang berlaku tadi adalah silap dia sendiri. Walau macam mana sekalipun, dia tak boleh pecahkan rahsia yang hanya dia dan Datin Salina saja tahu.
Kalau rahsia itu pecah...
Matilah dia!
"Jawablah! Dia tanya kau kan?" Azam bersuara.
Dia geram dan bengang dengan Adib. Dia tahu betapa Nurin percayakan Adib dalam menjaga Dato Isma ketika Nurin berada jauh dari ayahnya. Tapi siapa sangka, orang yang kita percaya itulah yang menikam belakang kita tanpa sedar.
"Aku..."
"Nurin!" Irsyad menerjah masuk ke dalam wad dengan keadaan yang tergesa-gesa.
Empat pasang mata melihat Irsyad dengan muka terkejut. Nurin adalah orang yang paling terkejut dengan kehadirannya. Irsyad berdehem untuk mengusir suasana kekok antara mereka semua. Matanya terdorong ke arah seorang lelaki yang bersandar lemah di lantai.
"Siapa dia ini?"
"Dia ini?" Yana tunding jari ke arah Adib.
"PA Dato Isma aka pembelot paling licik abad ini." Yana sambung lagi dalam nada perli.
YOU ARE READING
NURIN [c]
Short Story☆ [Winner of Wattys 2020 - New Adult] Nurin - Seorang wanita yang mempunyai semangat kental dan sentiasa bekerja keras. Kehidupannya sebagai anak hartanah terkenal, Dato' Isma sangat dicemburui oleh orang lain tapi tak ramai yang tahu tentang kehidu...