Bab 26

2.4K 155 3
                                    

Tuk! Tuk! Tuk!

"Masuk."

"Dato." Adib menyapa majikannya seperti biasa.

Dia meletakkan dokumen yang memerlukan tandatangan dan pengesahan dari Dato Isma. Dia juga meletakkan secawan kopi di hujung meja Dato Isma memandangkan sekarang adalah waktu minum petang.

Pekerja-pekerja yang lain sudah berpusu-pusu balik tapi Dato Isma pula masih kekal di dalam pejabatnya. Disebabkan majikan masih tak mahu pulang, Adib ikut menemani Dato Isma walaupun kerjanya sudah siap untuk hari ini.

"Terima kasih, Adib."

Perlahan-lahan Dato Isma menghirup kopi panas itu. Sudah tiga hari dia tak balik ke rumahnya. Dan dalam tiga hari itu juga, orang rumahnya langsung tak menghubungi bertanya khabar. Di ofis pun, dia dilayan seperti orang asing.

Dato Isma melepaskan keluhan berat.

"Dato, ada benda yang saya nak berikan dekat Dato."

"Apa dia?"

Surat perletakan jawatan dia letakkan di depan Dato Isma. Kali ini Adib dah tekad untuk menjauhkan dirinya daripada keluarga Nurin walaupun hati ini berat nak meninggalkan pekerjaan yang telah dipertanggungjawabkan kepada dirinya sendiri.

Dato Isma membaca setiap ayat yang ditaip di dalam surat tersebut sebelum dia tersenyum hampa sambil melipat surat tersebut. Dengan hanya isyarat tangan, dia meminta Adib untuk duduk di kerusi berhadapan dengannya.

"Kenapa kamu nak berhenti, Adib?"

"Atas sebab yang saya dah kemukakan di dalam surat itu, Dato."

Lelaki tua itu menggaru hujung keningnya. Sebab-musabab yang Adib berikan di dalam surat itu sangat klise dan skema. Dia tahu Adib bukan senang-senang akan melepaskan jawatan yang dia dapat sekarang.

"Sekarang ini, kamu lupakan hubungan kita sebagai majikan dan pekerja. Saya nak kamu jawab dengan jujur, kenapa kamu tak mahu lagi bekerja di dalam Ismacode?" Tenang Dato Isma bertanya.

Adib perbetulkan posisinya dan menarik nafas dengan tenang. Matanya tak lepas pandang muka lelaki tua yang banyak berjasa kepada dia saat dia susah dan tidak punya apa-apa.

"Sepanjang enam tahun saya bekerja dengan Dato, saya dapat nikmati semua benda yang saya mahukan. Rumah, kereta.. semuanya saya dah dapat. Tapi satu saja yang saya masih tak jumpa sehingga kini. Kebahagiaan sebenar saya."

"Saya bekerja hampir setiap hari tanpa rehat sama seperti Dato. Walaupun saya seronok dengan pekerjaan saya yang tak semua orang dapat, saya masih rasa kosong. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya nak cari diri saya yang sebenar dan bukan diri saya sebagai setiausaha kepada seorang majikan berstatus besar."

Dia ketawa di hujung ayatnya apabila Dato Isma tersenyum mendengar statusnya disebut.

"Kalau itu apa yang kamu nak, saya boleh bagi cuti untuk kamu. Tak perlulah kamu berhenti. Siapa saja yang boleh bertahan kerja dengan saya selain kamu, Adib?"

Adib mengeluh perlahan.

"Maaf, Dato. Saya dah buat keputusan dan saya tak akan ubah keputusan saya."

Dato Isma kemudian mengangkat kedua-dua belah tangan sebagai syarat dia tak akan memaksa Adib untuk berkerja dengannya lagi. Dato Isma faham dengan apa yang Adib mahukan. Lagi pula, dia dah biasa dengan rencah hidup orang bekerja.

"Kalau itu apa yang kamu mahu, saya ikutkan saja. Nanti saya akan minta pihak HR carikan PA yang baru untuk menggantikan tempat kamu."

"Terima kasih, Dato."

NURIN [c]Where stories live. Discover now