Bab 17

2.4K 140 3
                                    

"Nurin..."

"Nurin..."

Gadis itu membuka mata perlahan-lahan sebelum dia berlaga pandangan dengan seseorang. Keningnya berkerut memandang seorang wanita yang rasa-rasanya dia pernah lihat sebelum ini tapi dia lupa di mana.

"Ya?" Suara serak basah Nurin biarkan. Dia masih lemah untuk menjadi dirinya yang sebenar.

Gadis itu tersenyum nipis. Tangan Nurin dia capai dan diusap lembut. Makin lama diusap, makin kuat ingatan Nurin tentang gadis di depannya. Mata terasa panas, air matanya bertakung.

"Da... Dahlia?"

Gadis itu mengangguk. Dia memandang Nurin dengan pandangan kasihan. Pipi Nurin yang basah dengan air mata dielus lembut. Nurin tak mampu untuk kata apa-apa. Adakah ini mimpi?

Atau pun realiti?

"Sa... saya minta maaf, Dahlia. Saya tak berniat langsung langgar awak. Saya betul-betul minta maaf. Tak pernah sehari pun saya tak rasa bersalah dengan apa yang dah berlaku, Dahlia." Rintih Nurin sambil memegang tangan sejuk Dahlia.

Kepala Dahlia mengangguk, memaafkan Nurin walau hanya dengan gerakan tubuh. Nurin menangis lagi apabila jasad Dahlia mula menghilang.

"Dahlia, saya..."

"Saya maafkan awak, Nurin. Saya dah lama maafkan awak."

Mata Nurin terbuka luas. Telinganya menangkap sayup-sayup suara seseorang membacakan surah Yasin di tepinya. Dia menoleh memandang Azam yang fokus melantunkan ayat-ayat surah Yasin manakala Yana pula tertidur di sofa.

"Ijam.." Nurin memanggil.

Azam terkejut melihat Nurin yang sudah sedar, dia membantu Nurin untuk bersandar di kepala katil dan memeriksa keadaan Nurin. Air kosong diberikan untuk adiknya dan dia keluar memanggil doktor.

Nurin mengalihkan pandangan ke tingkap hospital. Malam, penuh dengan bintang. Hatinya mula sebak apabila dia teringat semula mimpi dia bertemu dengan Dahlia. Ya Allah, apa yang aku dah buat?

Kenapa aku bunuh orang yang tak bersalah, ya Allah?

Lamunannya terhenti apabila pintu bilik wad itu dibuka dari luar. Azam datang bersama dengan seorang doktor dan juga seorang jururawat. Setelah diperiksa, doktor hanya memberi nasihat kepada Nurin untuk kurangkan berfikir dan banyakkan berehat.

Esok dia dah boleh balik. Tapi hati pula tak mahu pulang. Dia mahu pergi ke tempat yang tiada siapa kenal dengan dia. Tiada siapa yang tahu tentang sejarah hitamnya sebagai Nurin Ardina.

Nurin menyarungkan selipar dan melangkah keluar ketika Yana masih nyenyak lena dan Azam pula keluar berbincang dengan doktor. Dia inginkan angin segar buat seketika.

Kepala masih terasa berat selepas apa yang berlaku. Dia bekerja keras memikirkan siapa dalang kepada semua benda yang berlaku ke atas dirinya.

Selepas kami melakukan pemeriksaan ke atas kereta cik Nurin Ardina yang dipandu oleh Azam Khalid, kami dapati brek utama kereta tersebut telah dipotong dan kesan dari potongan tersebut menunjukkan potongan itu dilakukan dengan kadar segera.

Itu kes pertama. Kemudian...

Irsyad masuk hospital. Ibu Dahlia kata, ada orang serang Irsyad sampai lunyai abang ipar aku itu, Nurin!

Nurin memicit kepala. Dia duduk bersandar di kerusi berhadapan dengan taman dalaman hospital. Ramai saja yang ada di sini, tapi dia pilih untuk duduk berjauhan dari semua orang.

Nurin, lari! Diorang datang nak cari kau!

Rambut dikuakkan ke belakang.

Sumpah, dia tak tahu siapa dalang sebenar yang cuba memporak-perandakan hidup dia. Semuanya ada kaitan dengan dia. Kes Irsyad diserang itu pun pasti ada kaitan dengannya.

NURIN [c]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang