Fail terakhir yang disemak diletakkan di tepi. Dari dalam bilik, Dato Isma melihat langit yang sudah gelap dan dipenuhi dengan bintang. Dia tersenyum sendiri apabila mengenangkan Nurin yang dulunya suka sangat melihat bintang tatkala langit bertukar malam.
"Ayah, bintang dekat langit malam ini banyak sangat! Nurin suka tengok bintang banyak macam ini!"
Dato Isma mengusap kepala anaknya dengan lembut. Air kopi yang Nurin bawa dari dalam rumah dihirup sedikit.
"Pandai Nurin buat air kopi. Sama macam mak kamu buat. Ini Nurin betul-betul buat ke atau kamu suruh mak yang buatkan?" usik Dato Isma.
Nurin ketawa geli hati. "Ayah ni, Nurin kan belajar buat air kopi ni dari mak, mestilah rasanya pun sama macam air tangan mak juga."
Cawan kopi yang ada di hujung meja diambil dan dihirup.
Sejuk. Pahit. Tak semanis air yang Nurin pernah buatkan untuknya dahulu. Dato Isma mengeluh. Sungguh dia rindukan anaknya lebih dari segala-galanya.
Tapi sayang, disebabkan peristiwa pahit yang pernah berlaku satu ketika dahulu membuatkan Nurin bertambah bencikan dia. Episod duka yang berlaku tiga hari lepas bermain di minda Dato Isma.
Tak cukup bapa aku, takkan barang aku yang cikai ini pun kau nak ambil?
Ayat itu sentiasa berada di minda. Dato Isma sedar Nurin inginkan perhatian darinya kerana semenjak dia berkahwin dengan Datin Salina, dia tak dapat bahagikan masa untuk Nurin walau sekejap. Itu menjadi sebab kenapa Nurin sentiasa memberontak.
Tetapi salah Nurin juga yang sentiasa menyebut tentang arwah bekas isterinya.
Dia rimas mendengar cerita tentang bekas isterinya, dia tak mampu untuk sentiasa berlakon seperti dia tertarik dengan apa yang terjadi kepada wanita tersebut.
Ketukan pintu membuatkan Dato Isma tersedar dari lamunan. Adib yang berada di luar, disuruh masuk. Satu sampul besar diserahkan kepada Dato Isma.
"Surat apa ini, Adib? Dari siapa?"
Adib menarik nafas yang panjang sebelum dia membuka mulut untuk menceritakan perkara penting yang Dato Isma sendiri perlu tahu sebelum orang luar tahu.
"Ini bukan kes yang Azam kena tahan ke? Kenapa kamu bagi dekat saya?"
"Tuan, sila tengok gambar seterusnya."
Gambar yang menunjukkan Nurin sedang bergelut dengan seorang lelaki di depan kafe membuatkan Dato Isma terkejut. Dia melihat gambar lain, masih sama. Lelaki tersebut seperti bertindak agresif ke atas Nurin.
"Siapa lelaki ini? Apa tujuan dia serang Nurin macam ini? Macam mana kamu boleh dapat semua gambar ini?" Dato Isma mula mendesak.
"Tuan, sebenarnya selama Azam ditahan, saya senyap-senyap ikut Cik Nurin ke mana saja dia pergi. Saya rasa pelik, sepanjang saya kenal dengan Azam dan Cik Nurin, hanya Cik Nurin saja yang akan memandu dengan laju apabila dia tengah marah."
"Dan masa hari kejadian, sebelum berlaku insiden itu, saya masih ingat lagi orang yang memandu selepas bergaduh di depan rumah Tuan itu adalah Cik Nurin sendiri. Azam ada di tempat penumpang. Jadi, saya ambil keputusan untuk siasat sendiri apa yang terjadi."
Adib menyerahkan satu lagi sampul surat kepada Dato Isma.
Gambar seorang wanita bersama dengan seorang lelaki menjadi tatapan Dato Isma. Wajah lelaki tersebut hampir sama dengan lelaki yang menyerang Nurin di kafe.
"Orang yang Cik Nurin langgar itu adalah Dahlia, tunangan kepada lelaki tersebut. Lelaki itu pula bernama Irsyad, peguam dari syarikat guaman Fairco Sdn Bhd." Sambung Adib lagi.
![](https://img.wattpad.com/cover/194212686-288-k968515.jpg)
YOU ARE READING
NURIN [c]
Short Story☆ [Winner of Wattys 2020 - New Adult] Nurin - Seorang wanita yang mempunyai semangat kental dan sentiasa bekerja keras. Kehidupannya sebagai anak hartanah terkenal, Dato' Isma sangat dicemburui oleh orang lain tapi tak ramai yang tahu tentang kehidu...