'Isteri kepada usahawan syarikat hartanah didapati bersalah dalam kes cubaan membunuh anak tirinya sendiri. Peguam kepada-'
Irsyad menutup televisyen di depannya. Dah masuk hari ketiga selepas kes dibicarakan tapi sampai hari ini, pihak media masih sibuk mencari isi dalam di sebalik kes yang melibatkan Datin Salina.
Jam tangan disarungkan ke pergelangan tangan kanan. Dia mengunci pintu rumahnya dan langsung ke hospital untuk melawat Nurin bersama dengan Puan Mawar. Sejak dari kejadian hari itu, Nurin masih tak sedarkan diri.
Dari apa yang dia tahu, Nurin sekarang dah tak perlukan alat bantuan pernafasan. Sebab itu dia mengambil keputusan untuk melawat Nurin selepas habis waktu bekerja.
"Irsyad, Ibu ada benda nak tanya dengan kamu tapi Ibu harap kamu tak marah." Puan Mawar menoleh ke arah Irsyad.
"Apa dia itu, Ibu?"
Puan Mawar serba salah nak bertanya memandangkan soalan ini agak sensitif bagi Irsyad tapi gerak hatinya mendesak dia untuk mengetahui apa tindakan selanjutnya yang Irsyad akan lakukan.
"Kamu masih nak Nurin serahkan diri dekat polis ke?"
Kereta diberhentikan di simpang lampu isyarat. Dia diam, tak memberi jawapan. Puan Mawar mengalih pandangan ke luar tingkap. Nampaknya Irsyad masih simpan dendam dan hasrat untuk memastikan Nurin juga terima hukuman dia.
Wanita itu mengeluh dalam diam. Sebelum ini, Puan Mawar fikir yang Irsyad sudah memaafkan Nurin selepas mereka menangkap orang yang mensabotaj Nurin pada hari kejadian. Irsyad sendiri menghulurkan bantuan kepada Nurin saat gadis itu terumbang-ambing sendirian.
Puan Mawar ingat lagi, Irsyad tak tidur semalaman apabila dia balik selepas Nurin bergaduh dengan Dato Isma. Esok paginya, dia sendiri berjumpa dengan Dato Isma untuk memujuk Dato Isma supaya percayakan Nurin dan rancangannya.
"Ibu tak nak turun ke? Kita dah sampai."
Irsyad memandang Puan Mawar yang termenung sejak tadi. Kereta dah lama diparkir, enjin juga dah dimatikan. Hanya tunggu Puan Mawar saja turun dari kereta.
"Ah, ya. Ibu termenung pula. Jom!"
-------------
"Macam mana dengan keadaan adik saya?" Azam bertanya sebaik saja doktor selesai melakukan pemeriksaan kepada Nurin.
Bahunya ditepuk lembut dan senyuman dari doktor membuatkan Azam tersenyum sekali. Nampaknya dia akan mendengar berita baik hari ini. Lama juga dia berbual dengan doktor, bertanya itu dan ini sampai dia tak perasan Dato Isma lalu di belakangnya.
Dato Isma masuk ke dalam bilik wad Nurin dan meletakkan sebakul buah-buahan di atas sofa. Dia mendekati anak perempuannya dan menatap muka Nurin yang nampak kering. Tuala kecil yang ada di dalam almari kecil sebelah katil Nurin dia ambil dan basahkan.
Sambil mengelap muka Nurin dengan berhati-hati, Dato Isma menitiskan air mata. Muka inilah yang dia lukai selama ini, muka inilah yang menjadi mangsa ditampar oleh dia sendiri.
'Ayah? Nurin tak sangka, Nurin ada seorang ayah yang menyalahkan semua perkara dekat anak dia dan hanya percayakan setiap bait kata yang keluar dari perempuan macam dia!'
'Kebaikan yang ada dalam diri Nurin tak boleh dibeli dengan duit yang ayah ada sekarang. Kebaikan Nurin ini lebih bernilai nak dibandingkan dengan harta ayah.'
Dato Isma mengelus rambut Nurin dengan tuala basah. Dia sayu melihat Nurin dalam keadaan lemah begini. Dia menyesal dengan apa yang dia pernah lakukan secara sengaja ataupun tidak. Dato Isma sendiri kecewa kerana tak memahami anak perempuannya sendiri.

ANDA SEDANG MEMBACA
NURIN [c]
Kısa Hikaye☆ [Winner of Wattys 2020 - New Adult] Nurin - Seorang wanita yang mempunyai semangat kental dan sentiasa bekerja keras. Kehidupannya sebagai anak hartanah terkenal, Dato' Isma sangat dicemburui oleh orang lain tapi tak ramai yang tahu tentang kehidu...