Bab 14

2.2K 132 3
                                    

Bibir Irsyad pucat lesu, dia tak mampu dan tak akan sesekali mengaku kalah semata-mata pihak berkuasa tak mempunyai bukti yang kukuh untuk menangkap perempuan durjana itu.

"Tak.. aku takkan benarkan. Aku akan pastikan perempuan itu meringkuk dalam penjara!"

Irsyad menepis tangan rakannya dan mara ke laluan tangga kecemasan. Dia tak pedulikan lagi orang-orang yang mengejarnya di belakang. Air matanya bertakung, sedih kerana nasib arwah tunangnya tak dibela.

"Irsyad!"

Puan Mawar mengejar sepantas yang mungkin.

"Berhenti!"

Langkah lelaki itu terhenti. Suasana yang kelam-kabut tadi terus bertukar sunyi, hanya terdengar bunyi esakan Puan Mawar yang terduduk di hujung tangga. Imani perlahan-lahan mendekati Puan Mawar.

"Kita dah tak boleh buat apa-apa, nak. Sudah-sudahlah jadi macam orang gila, jangan kamu cari masalah dengan orang lagi, Irsyad." Rintih Puan Mawar.

Irsyad mengelap air matanya dan menoleh ke arah wanita tua itu.

"Saya tak boleh, ibu. Saya buat semua ini untuk Dahlia, saya akan buat semua ini untuk bela nasib Dahlia.."

Irsyad cuba melangkah pergi tapi Puan Mawar masih berdegil, dia mendepakan lengannya untuk menghalang Irsyad daripada pergi.

"Ibu kata sudah, Irsyad. Cukup sampai sini saja. Dahlia..."

Puan Mawar membiarkan saja air matanya mengalir tanpa henti. Bukan Irsyad saja yang mahukan pembelaan untuk Dahlia tapi Puan Mawar, ibu kepada arwah Dahlia juga mahukan perkara yang sama.

Tapi kalau sampai begini sekali kesan yang Irsyad akan dapat... dia tak mampu. Dia tak sanggup untuk kehilangan orang yang dia amat sayang buat kali kedua!

"Dahlia dah tak ada. Dia tak ada dengan kita lagi dah.. Tak kiralah berapa kali kamu cuba, Dahlia tak akan hidup semula, Irsyad."

Tangan kekar lelaki itu dicapai. Mata tua Puan Mawar terasa panas kerana air matanya. Dia tatap wajah Irsyad yang jelas berada dalam kekecewaan.

"Ibu tahu kamu sayangkan Dahlia sangat-sangat. Kamu cuba buktikan kebenaran yang sebenar tapi.. ibu minta kamu sayangkan diri kamu juga. Kalau... kalau Dahlia masih hidup sekarang ini..."

Suara Puan Mawar tersekat-sekat.

"Kalau anak ibu masih ada sekarang ni, Irsyad.. Dia mesti akan minta kamu berhenti, nak." Sambung Puan Mawar.

Irsyad memandang wajah Puan Mawar. Muka yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada dia untuk menjaga Dahlia satu ketika dahulu, muka tua itu juga yang sentiasa menyapanya dengan senyuman. Kini, dia tatap muka tersebut yang sedang terluka.

Terluka melihat sikap dirinya sendiri, sikap Irsyad yang berubah seratus peratus selepas kematian Dahlia. Irsyad menundukkan muka, tak mampu untuk dia bertentang mata dengan Puan Mawar.

"Irsyad.."

Muka anak muda itu Puan Mawar angkat dengan tangan tuanya.

"Ibu dah kehilangan anak perempuan ibu. Jangan biarkan ibu kehilangan anak lelaki ibu juga, ibu merayu..."

"Ibu.."

"Kalau Irsyad nak ibu melutut, ibu buat sekarang juga!"

Imani terus memapah Puan Mawar, meminta dia untuk tak melakukan hal sedemikian. Dia juga turut terkesan dengan apa yang telah terjadi dan dia faham kenapa abangnya bertindak sampai macam ini sekali.

Tapi dia langsung tak terfikir yang Puan Mawar sanggup melutut, hanya untuk meminta Irsyad berhenti daripada meneruskan siasatan kes arwah Dahlia. Ya Allah, sungguh berat dugaan buat Puan Mawar dan abangnya.

NURIN [c]Where stories live. Discover now