Bab 29

2.8K 145 0
                                    

Bunyi bising yang membingit telinga membuatkan Nurin tersedar dari tidurnya. Dia melihat sekeliling, satu tempat yang dia rasa pernah dia jejaki dulu tapi di mana? Melihat keadaan orang berpusu-pusu ke sana-sini membuatkan dia rasa pening.

"Doktor!"

"Bawakan alat pernafasan!"

"Kita ada pesakit baru dari kemalangan jalan raya tadi."

"Bagi laluan! Bagi laluan!"

Nurin berjalan dengan kepala yang berdenyut-denyut ke tepi laluan. Dia memegang kepalanya dan memicit dengan kuat agar denyutan itu berkurang. Pandangan yang kabur mula menjadi jelas selepas beberapa minit dia berdiri di tepi dinding.

"Aku dekat hospital?" Nurin menguak rambutnya ke belakang.

"Mak! Bertahan, mak! Kakak ada dengan mak!"

Suara itu membuatkan dia menoleh ke arah tepi. Seorang gadis yang masih remaja menangis di sebelah katil yang didorong oleh jururawat. Nurin berlari mengejar gadis itu sehinggalah dia sampai di depan pintu bilik rawatan kecemasan.

Gadis yang dia nampak tadi terduduk lemah di hujung pintu bilik ICU sambil menangis tersedu-sendan seorang diri. Tak ada sesiapa pun yang menghiraukan dia di situ termasuklah doktor mahupun jururawat yang lalu-lalang. Masing-masing sibuk dengan urusan mereka.

Nurin perlahan-lahan duduk di sebelah gadis itu. Dia mengusap rambut gadis itu sebelum gadis itu memeluknya dengan erat.

"Shh... shh... semuanya akan okay." Nurin memujuk.

"Mak... kalau mak tak ada, Nurin nak duduk dengan siapa?"

Zup! Nurin tergamam. Dia tak salah dengar, gadis itu gelarkan dirinya sebagai Nurin. Dia terus menolak gadis itu ke tepi untuk melihat mukanya. Nurin terundur ke belakang apabila gadis itu adalah diri dia sendiri semasa remaja dulu.

Itu membawa maksud...

Nurin bingkas bangun dan menceroboh masuk bilik ICU itu. Di atas katil, sekujur tubuh yang lemah dan pucat terbaring di atas katil.

"Mak..." Air matanya menitis jatuh.

"Macam mana dengan keadaan pesakit?"

"Pesakit berkemungkinan diracun. Masa kami sampai tadi, pesakit dah tak sedarkan diri. Kami ada jumpa sejenis ubat di tangan pesakit sebelum dibawa ke hospital. Ini ubatnya."

Ketua jururawat mengambil ubat tersebut dan membaca butiran yang ada di ubat tersebut.

"Kita mulakan dengan intubation." Doktor yang berada di situ terus memakai sarung tangan dan mulakan proses memasukkan tiub dan belon ke dalam mulut maknya.

Nurin menekup mulutnya dan menangis melihat keadaan maknya yang lemah dan langsung tak menunjukkan sebarang proses walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkannya.

"Mak..." Nurin teriak di tengah bilik ICU.

Saat dia membuka matanya kembali, kini dia berada di tempat lain. Nurin mengelap air matanya dan berlari masuk ke dalam rumah lamanya. Bunyi sudip berlaga dengan kuali jelas terdengar.

"Mak! Mak!" Nurin memanggil.

"Ya, kakak. Kenapa jerit-jerit ini?"

"Mak!" Nurin segera memeluk ibunya yang memasak di dapur. Dia tak melepaskan pelukan itu walau sesaat. Lega rasanya apabila melihat wajah sihat ibunya di depan mata.

"Aina! Kau keluar sekarang!"

Pintu depan diketuk berkali-kali bagaikan ingin pintu itu roboh. Nurin yang baru ingin ke depan melihat orang yang berani menyerang rumah mereka terdorong ke belakang. Tak sempat dia buka mulut, mak Nurin menyembunyikan Nurin di bawah tangga dan ditutupi dengan kotak serta kain buruk.

NURIN [c]Where stories live. Discover now