Sudu dan garfu diletakkan semula ke pinggan makan. Air oren yang ada di tepi diminum dengan rakus. Kain lap yang ada di peha diambil dan dibawa lap ke bibir. Terus hilang angin untuk makan, muncul pula angin tak puas hati.
"Macam mana pula boleh ada saksi? Sedangkan kawasan itu lenggang, tak ada orang pun. Masa Nurin keluar dari kereta pun, mana ada sesiapa selamatkan kitorang berdua sampailah abang yang keluar kereta." Marah Azam apabila Yana menceritakan perkara tersebut.
Mustahil!
Dia masih ingat lagi detik mengerikan tersebut, tak ada seorang pun manusia yang ada di kawasan mereka berlanggar. Ambulans yang dipanggil pun atas usaha Nurin sendiri yang ketika itu dalam keadaan terkejut dan dengan tangan yang tak boleh bergerak, dia mencari telefon.
"Yana tak tahulah, abang. Ini pun Yana dengar dari kawan Yana sendiri, itu pun sebab dia dapat khabar angin kata kes Dahlia ini dibuka semula."
Azam merengus kasar. Ini mesti kerja Irsyad! Memang cari nahas betullah lelaki itu! Dia tak faham dan tak akan pernah faham kenapa Irsyad terlampau mahukan sangat adiknya meringkup di dalam penjara.
"Kenapa lelaki itu susah sangat nak terima yang arwah tunang dia itu dah mati?"
Pertanyaan Azam membuatkan Yana sendiri terasa. Agak kurang sopan untuk abangnya berkata begitu memandangkan abangnya tak merasai apa yang Irsyad rasakan.
"Abang ni, tak baik kata macam itu. Dahlah, tak payah fikirkan pasal Irsyad. Sekarang ini, apa kita nak kena buat? Nurin tak tahu lagi..."
"Aku tahu dah pasal benda ni." Nurin melabuhkan punggung di sebelah Yana.
"Dari mana kau dapat tahu pasal benda ni, Nurin?"
"Special delivery from the most special person, I guess." Komen Nurin. Air tembikai milik Yana, disedut sedikit.
Yana menggelengkan kepala. Sampai begitu sekali Irsyad cuba untuk mengacau hidup Nurin. Bukan ke lagi bagus kalau Nurin buat saja laporan polis tentang Irsyad? Sentiasa menceroboh masa privasi Nurin dan mengancam Nurin dengan pelbagai ancaman.
Naik geram bila difikirkan balik! Yana pula yang mendengus geram.
"Kita nak buat apa sekarang ini?"
Nurin menjongketkan bahu. Dia sudah bersedia andai kata dia memang terbukti bersalah nanti. Untuk apa dia melarikan diri lagi, kalau tak di dunia, mungkin di akhirat nanti lagi teruk hukuman yang diterima.
"Abang rasa abang tahu siapa yang boleh hentikan Irsyad."
Nurin dan Yana saling berpandangan. Siapa saja yang boleh hentikan Irsyad daripada semua ini?
---------------------------------
Skrin telefon ditenung berkali-kali. Betul ke dia ingin meminta bantuan dari Dato Isma sendiri? Kalau Nurin tahu tentang ini, pasti dia akan dikerjakan habis-habisan. Tapi kalau bukan Dato Isma, siapa lagi yang boleh bantu Nurin?
Azam terus memadam mesej yang dia taip sebentar tadi.
"Bukan dengan Dato Isma. Fikir, Azam! Siapa lagi yang boleh nasihatkan jembalang itu untuk berhenti buat onar dalam hidup Nurin."
Dia membuka laptopnya dan mencari maklumat tentang Irsyad. Namun syarikat yang Irsyad bekerja tidak menyediakan butiran lengkap tentang lelaki tersebut.
Azam membuka satu laman web yang memaparkan serba-serbi maklumat tentang syarikat tersebut dan setelah mencari tentang lelaki ini sejak petang tadi, akhirnya Azam menemui satu info yang baginya boleh mengubah segala-galanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
NURIN [c]
Conto☆ [Winner of Wattys 2020 - New Adult] Nurin - Seorang wanita yang mempunyai semangat kental dan sentiasa bekerja keras. Kehidupannya sebagai anak hartanah terkenal, Dato' Isma sangat dicemburui oleh orang lain tapi tak ramai yang tahu tentang kehidu...