Rumah lama di ceruk kampung menjadi tempat persinggahan Nurin. Rumah yang menjadi tempat dia berteduh suatu ketika dulu masih utuh berdiri di depannya saat ini. Nurin menyentuh tangga papan di depan rumah dan terus hatinya menjadi sayu.
Rumah ini mengingatkan dia tentang kenangan lamanya. Kenangan saat dia masih punya keluarga yang bahagia tanpa gangguan dari orang luar. Keluarga yang sederhana dan saling sayang satu sama lain.
Nurin duduk lemah di atas tangga. Pergaduhan dengan ayahnya tadi masih bermain di fikirannya.
Kelemahan kamu adalah kebaikan yang kamu cuba lakukan dekat orang yang menggunakan kamu dan kebodohan kamu sendiri. Faham?!
Dia menekup mulutnya supaya tak ada sesiapa yang mendengar tangisan dia di malam hari. Sungguh dia terasa hati dengan Dato Isma. Ayah dia berubah menjadi seorang lelaki yang dia sendiri tak kenal. Mulut kata ayah tapi hati itu tak pernah pun sayangkan Nurin sebagai anak.
Walaupun kamu buat baik sepanjang kamu hidup tapi kalau kamu tak ada kepentingan dalam hidup sesiapa, tak akan ada seorang pun yang akan nampak nilai kebaikan kamu itu.
Kepalanya jatuh ke dalam pelukan lutut. Dia mahu berputus asa, dia mahu serahkan dirinya kepada pihak polis. Nurin dah tak mahu lagi berlakon seperti dia kuat untuk menangani masalah yang ada di dalam hidupnya.
Dia bangkit dan membuka kunci mangga di pintu rumah. Rumah ini satu-satunya harta yang Nurin ada selepas kematian emaknya. Ruang tamu dan ruang dapur serta bilik tidurnya tak terusik dari hari pertama dia meninggalkan kampung dan mengikuti Dato Isma ke bandar.
Semasa dia tiada, Mak Jah lah yang akan selalu kemaskan rumah ini. Kata Mak Jah, kalau Nurin rindukan mak atau tengah berada dalam situasi yang susah dan perlukan tempat untuk tenangkan minda, Nurin boleh duduk di rumah lamanya.
Kaki Nurin membawa dia ke dinding ruang tamu dimana ada beberapa bingkai gambar tergantung. Gambar dia semasa di sekolah, gambar dia semasa bermain sukan. Nurin tersenyum lemah. Satu bingkai gambar yang berhabuk Nurin ambil.
Dia lap bingkai tersebut dengan tangannya sendiri. Wajah arwah ibunya menyapa pandangan sayu Nurin. Ibunya tersenyum indah di dalam gambar bersama Nurin di atas riba.
"Mak..." Nurin menyentuh gambar ibunya.
"Ya Allah, Nurin! Kenapa comot sangat ini?"
Nurin menoleh dan melihat maknya membelek dirinya. Bajunya kotor, mukanya penuh dengan pasir. Tangannya merah dengan luka yang panjang akibat terseret di tanah.
"Nurin sakit, mak." Nurin mengadu.
"Itulah mak dah kata, jangan main dekat atas tanah merah itu. Nanti jatuh, kamu juga yang luka. Sekarang tengok apa dah jadi? Sakit tak?"
"Sakit..." Nurin menekup mulutnya melihat maknya menyapu ubat di tangannya.
"Bagitahu mak, siapa yang buat kamu? Biar mak pergi serang dia. Berani dia buat anak mak ini ya."
Rambut Nurin dirapi-rapikan. Air matanya tak berhenti mencurah ke pipi. Dia tak tahu sama ada dia berhalusinasi atau ini benar maknya ada di depan mata. Sentuhan tangan yang hangat itu tak terasa di kepalanya.
"Mak..."
"Kamu sakit dekat mana lagi? Mak nak letak ubat ini. Tunjuk dekat mak." Mak Nurin sudah bersedia untuk meletakkan ubat gamat di lukanya.
Tangan runcing Nurin terus dibawa ke dadanya. Dengan suara yang bergetar dan air mata yang bertakung, Nurin memandang maknya tanpa berkelip.
"Nurin sakit dekat sini, mak. Hati Nurin... sakit. Sakit sangat-sangat, mak."
YOU ARE READING
NURIN [c]
Short Story☆ [Winner of Wattys 2020 - New Adult] Nurin - Seorang wanita yang mempunyai semangat kental dan sentiasa bekerja keras. Kehidupannya sebagai anak hartanah terkenal, Dato' Isma sangat dicemburui oleh orang lain tapi tak ramai yang tahu tentang kehidu...