Bab 10

2.3K 150 0
                                    

Kereta Axia milik Yana diparkir elok di halaman rumah kepunyaan Dahlia. Dengan perasaan yang gemuruh dan takut-takut, Nurin mematikan enjin dan melihat sekeliling. Dia cuba mencari kelibat ibu Dahlia.

Nurin meletakkan barang yang dia beli sebagai buah tangan di atas tangga rumah tersebut. Salam diberikan untuk cubaan pertama. Namun, tiada suara yang menyahut salamnya. Nurin melangkah satu anak tangga dan memberi salam sekali lagi.

"Assalamualaikum.."

Sunyi. Jendela yang dibiar terbuka, Nurin curi pandang.

"Assa.."

"Waalaikumussalam, ya? Kamu cari siapa?" Seorang wanita yang hampir sama umur dengan arwah maknya datang mendekati sambil membawa bakul baju di tangan.

"Saya, Nurin. Saya datang nak berjumpa dengan Puan Mawar."

Ruang tamu yang dihias ala kadar, cukup untuk menyenangkan mata dan hati sesiapa saja yang datang berkunjung membuatkan Nurin terkesima. Kedudukan setiap perabot yang ada di dalam rumah ini sama dengan rumah lamanya di kampung.

Bingkai gambar yang tergantung di dinding, Nurin perhatikan satu per satu. Semuanya gambar arwah Dahlia sejak kecil sehingga dewasa. Senyuman yang terukir melihat senyuman manis Dahlia di dalam setiap gambar mati apabila dia melihat gambar pertunangan Dahlia dan Irsyad.

"Nurin, jemput minum. Air teh o saja makcik boleh buat.." pelawa Puan Mawar dengan lembut.

Puan Mawar memandang Nurin dengan penuh rasa sayu. Betapa dia rindukan arwah anaknya sehinggakan dia terbayang yang Nurin ini adalah Dahlia.

"Puan, saya datang ke sini untuk minta maaf bagi pihak abang saya.." Perlahan-lahan Nurin memberitahu hajatnya yang sebenar untuk datang ke rumah ini.

Mendengar keluhan berat yang dilepaskan oleh Puan Mawar, membuatkan Nurin gelisah. Dia sendiri tak tahu samada dia patut ceritakan hal sebenar atau hanya ceritakan apa yang sudah dirancang bersama dengan Azam.

Tapi sampai bila Azam perlu ambil segala akibat dari perbuatan dirinya sendiri? Nurin mengeluh tanpa sedar.

"Sebenarnya Nurin, saya dah lama maafkan kamu. Saya tahu apa yang terjadi sebelum ini adalah takdir untuk anak saya, Dahlia. Walaupun dia..."

"Kejap, puan. Puan kata, puan maafkan... saya?" Nurin pula yang keliru.

Seingat Nurin, dia meminta maaf bagi pihak Azam, bukannya diri dia sendiri. Kenapa pula Puan Mawar menerima maaf darinya?

Puan Mawar mendekati Nurin dan mengusap bahu wanita tersebut. Dia tahu semuanya, Irsyad yang ceritakan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Lelaki yang dikatakan sebagai suspek itu, hanyalah penyelamat Nurin memandangkan mereka tak mahu status Nurin sebagai anak hartawan itu kotor.

Ketika Puan Mawar mengetahui tentang hal itu, hatinya sebagai seorang ibu terus rasa sakit bagai dihancurkan dengan tangan yang kotor dan busuk. Puan Mawar kecewa dan marah namun tak seteruk Irsyad. Dia sudah tetapkan hati andai kata Nurin sendiri datang ke rumah dan memohon maaf atas tindakannya, Puan Mawar pasti akan maafkan jua.

"Makcik tahu kamu yang langgar Dahlia, bukan abang kamu."

Nurin terus terduduk lemah di kaki Puan Mawar. Dia tak mampu mengangkat mukanya lagi. Mata yang sudah kering dengan air mata kembali basah. Dadanya rasa sesak dan dia sudah bersedia untuk menerima hukumannya.

Di dalam kepala Nurin sekarang ini, terbayang pelbagai hentaman yang dia akan terima. Permintaan maaf tadi tidak akan diterima. Bertambah lagi orang yang membencikan dirinya yang jijik dan tak tahu malu ini.

NURIN [c]Where stories live. Discover now