USAI menunaikan solat subuh, dengan masih bertelekung Lufiya bergerak ke katil. Dilabuhkan duduk di birai lalu tangan menarik comforter yang menutupi tubuh suaminya yang tidak berbaju itu."Abang bangunlah, solat dulu." Bahu Bazlan ditepuk lembut. Beberapa kali mengejut, masih tiada reaksi. Lena sungguh suaminya. "Abang dah pukul 6 ni, bangunlah solat."
Suara yang lembut mula bertukar tegas apabila melihat kedengilan suaminya yang tidak mahu bangun. Inilah sikap Bazlan. Suaminya seorang yang culas dalam mengerjakan solat. Kalau Bazlan mahu solat lelaki itu akan solat, kalau tak nak lelaki itu akan tinggalkan.
Sudah acap kali mereka bergaduh disebabkan hal ini. Kadang-kadang Bazlan solat kerana dipaksa. Jika lelaki itu tidak solat, dia akan merajuk. Dia penat! Tiga tahun berkahwin, masalah ini tidak pernah selesai. Memikirkan solat perkara wajib yang harus dilakukan oleh mereka yang beragama Islam, kerana itu dia tabahkan hati.
Dia harapkan Bazlan untuk mendidiknya tapi sekarang apa yang diharapkan menjadi terbalik. Dia sedia maklum sebelum kahwin lagi, Bazlan culas dalam mendirikan solat. Tapi dengan janji yang pernah dilafaz oleh Bazlan, lelaki itu akan taat dalam mengerjakan perintah Allah jika dia memberi peluang untuk mereka hidup bersama. Tapi sekarang...
"Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap sabar menunaikannya..." (Surah Toha : Ayat 132)
Dia. Saat ini dia yang perlu menjalankan tanggungjawab mendidik Bazlan. Tugas mendidik bukan hanya menjadi tanggungjawab Bazlan. Tapi dia. Suaminya sudah gagal dalam melaksanakan ibadat dan dia tidak akan biarkan Bazlan terus berada di landasan yang salah. Tapi kadang-kadang rasa jemu itu muncul sehingga pernah dia beritahu Bazlan, andai tidak mampu tunaikan solat lima waktu, jangan tinggalkan semua.
"Abang, tolonglah bangun. Solat subuh dua rakaat je abang. Malulah dengan Allah, dia dah bagi abang macam-macam tapi kenapa abang masih sombong dengan dia? Jangan jadi manusia yang hanya tahu mencari Allah bila susah je."
"Abang ngantuk ni."
"Solatlah dulu, lepas tu sambung balik tidur."
Comforter yang ditarik Bazlan kembali ditariknya. Awal-awal kahwin dia biarkan saja Bazlan tidak solat, tapi lama kelamaan dia tidak boleh biarkan. Takkan dia mahu pejam mata saja melihat suaminya tidak solat?
"Macam mana Allah nak bagi kita anak kalau abang tak sembahyang? Abang tahu nak usaha je, tapi tak nak berdoa."
"Sayang, jangan nak bising," tegur Bazlan sebaik buka kelopak mata.
"Abang lepaslah. Sudahlah tu." Ditolak tangan Bazlan yang mahu memeluknya. Bukan tidak mahu melayan, tapi dia perlu turun untuk sediakan sarapan pula. Lelaki itu mahukannya tanpa melihat masa.
"Sejak bila dah pandai tolak abang ni?"
"Abang pergi solat dulu."
"Abang penat!"
"Kalau dengan Fiya, abang tak pernah penat pula, nak menghadap Allah tak sampai sepuluh minit pun abang penat?" Lufiya mendengus apabila melihat Bazlan sengaja tayang wajah sardinnya. "Abang berubahlah, sampai bila nak macam ni? Payah sangat ke nak solat? Macam mana abang nak jadi ayah kalau diri abang sendiri lalai dengan perintah Allah? Macam mana abang nak didik anak-anak kita nanti?"
"Okey, abang solat sekarang. Puas hati?"
"Buat dengan hati yang ikhlas. Keikhlasan tu pembuka pahala dan penolak bala. Ibadat abang dinilai pada keikhlasan abang. Ingat abang, solat itu ibu segala ibadat. Abang beribadat untuk cari keredhaan Allah bukan solat semata-mata sebab saya suruh."
Dilihat saja Bazlan yang sudah mencapai tuala lalu masuk ke bilik air. Beberapa saat kemudian, bunyi deruan air mula kedengaran. Suaminya baik, tapi dia tidak faham kenapa Bazlan sangat culas mahu solat? Malah langsung tiada rasa bersalah apabila meninggalkan solat. Dia tertinggal solat satu waktu pun sudah gelisah dan rasa bersalah.
Andai nyawa ditarik Allah dalam keadaan dia masih belum menunaikan solat, bagaimana nasibnya ketika di alam sana? Bagaimana dengan amal ibadatnya yang terdahulu? Takut mahu bayang.
Almari dituju, sehelai kain pelikat dan t-shirt dikeluarkan lalu diletakkan atas katil.
"Kenapa tak turun lagi? Nak tengok abang solat?" soal Bazlan apabila melihat Lufiya masih di bilik. Rambut yang basah dikesat dengan tuala. Kesejukkan mula mengigit tulang. Selesai menyarung pakaian, sejadah dibentang.
"Tengok! Kiblat pun abang lupa arah mana."
Dengan wajah beriak kecewa sejadah yang dihampar Bazlan diperbetulkan. "Lepas solat, jangan lupa berdoa. Allah maha mendengar. Menangis masa berdoa pun tak apa. Abang sujud pada Allah, serahkan segala-galanya pada Dia."
"Fiya kerja jadi ustazah ke?"
*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romance"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...