BAB 5 (b) : Ada Makna

951 40 0
                                        


"ABANG kat mana? Baliklah, saya tunggu abang. Saya masak siput sedut kegemaran abang ni. Kita makan sama-sama ya."

Pesanan suara ditinggalkan. Entah manalah suaminya merayap. Sejak pulang petang tadi, memang Bazlan tiada di rumah. Dia menunggu sampai sekarang sudah pukul 11 malam, suaminya masih belum muncul.

Tak pernah lelaki itu merajuk sampai tidak balik. Apa Bazlan benar-benar kecil hati dengannya? Kalau ya, sungguh dia menyesal.

Tiga tahun berkahwin tidak pernah dia melanggar arahan Bazlan. Mahu ke mana-mana lelaki itu yang pertama tahu. Hatta mahu ke rumah jiran untuk berborak pun. Punyalah isteri solehah dia selama ini. Apa-apa hal, Bazlan keutamaannya.

Pinggan mangkuk yang berisi lauk ditutup dengan tudung saji, lalu Lufiya naik ke atas. Sambil berjalan dia menghantar beberapa keping gambar makanan ke WhatsApp Bazlan. Mana tahu lelaki itu akan tergoda lalu segera pulang.

Dengan rasa kecewa dia merebahkan diri atas katil. Kalau tahu di mana Bazlan sekarang, dia sanggup keluar pergi pujuk lelaki itu. Tapi dia tidak tahu. Kawan baik suaminya pun tak tahu Bazlan ke mana.

'Fiya, fikir! Mana tempat Bazlan akan pergi kalau merajuk? Isteri macam apa kau kalau tak fikir?'

Mata ditutup. Ada sesuatu yang tergambar di fikirannya. Beberapa saat kemudian mata dicelik lalu telefon diambil dan nama Kak Hawani dicari. Dia tidak boleh abaikan apa yang bermain di fikiran.

Perlukah dia menelefon wanita itu? Beberapa saat terfikir, telefon kembali diletak. Tak perlu hubungi Hawani. Kalau wanita itu masuk campur, lain pula jadinya.

Penat menunggu buatkan Lufiya terlena dengan sendiri. Tidurnya disulami mimpi sehinggalah sesuatu yang mengusap lembut pipinya buat dia terjaga secara mengejut.

Sebaik mata dibuka, wajah Bazlan yang pertama dilihat. Pantas dia bangun. "Abang..."

"Tidurlah sayang, sorry abang kacau."

Mendengar suara lembut Bazlan masuk ke gegendang telinga, buatkan Lufiya memeluk tubuh lelaki itu. Dengar suara pun dia tahu, Bazlan sudah tidak merajuk.

"Kesian sayang abang tidur seorang..."

Dipandang wajah suami kesayangannya.

"Abang maafkan Fiya. Tapi abang tak akan bayar ganti rugi. Fiya urus sendiri."

Pelukan dileraikan. Entah bila masa lelaki itu balik pun dia tidak sedar. Nampak yang Bazlan baru selesai mandi apabila perasan rambut lelaki itu masih basah.

"Abang tak nak halang sayang. Kalau sayang nak kerja, sayang kerjalah. Abang tahu sayang mesti bosan duduk rumah." Hidung isterinya dicuit lembut.

"Abang izinkan?" soalnya pelik. Patutnya itu satu berita gembira, tapi syaitan pula datang menghasut. "Mudahnya abang lepaskan Fiya kerja. Abang dah tak sayang Fiya?"

Rambut isterinya diselit ke telinga lalu bibir menghadiahkan senyuman buat wanita itu. Lufiya, isterinya sangat cantik. Wajah yang ayu dan lembut. Mata redup dan senyuman wanita itu sangat mengoda pada pandangan matanya.

"Abang rasa abang terlalu mengongkong hidup sayang. Sayang nak kerja sebab sayang sunyi. Abang ingat bila abang suruh sayang duduk rumah sayang akan gembira. Rupanya abang silap. Abang tak nak jadi suami yang pentingkan diri sendiri. Jadi sementara kita tak ada baby, abang benarkan sayang kerja. Buat apa yang sayang suka."

Nak tak nak Lufiya terpaksa terima alasan Bazlan. Muhasabah juga kalau difikir kembali. Kalau dia ada anak, tak adalah dia mahu bekerja. Main dengan anak, dapat lihat anak membesar depan mata itu lebih baik.

"Abang pergi mana?"

"Abang ada je kat office."

Dahi berkerut. "Kenapa saya call..."

"Jom tidur."

"Abang dah makan? Kalau belum jom saya temankan."

Tidak jadi Lufiya bangun apabila tangannya ditarik. Melihat senyuman penuh makna lelaki itu, fahamlah dia apa yang dimahukan suaminya.

"Seminggu tak jumpa, tak rindu abang?"

Redha saja Lufiya apabila dirinya ditarik masuk ke dalam pelukan Bazlan. Dia juga merindui lelaki itu.

*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘

DIA TIADA DUACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang