TIDAK kuat berdiri, Lufiya terjelopok atas lantai. Dipandang satu persatu manusia yang berkumpul di ruang tamu dengan pandangan tajam. Mahu terkeluar biji matanya yang sudah bertukar merah. Kegembiraan yang mereka rasai tadi, hilang sekelip mata diragut oleh kemunculannya. Melihat kek dan pelbagai jenis makanan atas meja dapat dia mengagak mereka semua sedang bergembira menyambut ulang tahun seseorang.
Hawani? Apa hari ini ulang tahun wanita itu? Hanya Hawani yang memakai topi kertas segi tiga atas kepala dan di tangan wanita itu ada pisau plastik yang tidak sempat digunakan untuk memotong kek. Di sisi wanita itu ada anak tunggal Hawani yang dipanggil Beby. Dan di kiri Hawani ada ibu saudaranya, Mak Ngah Faridah.
Kini semua mata memandangnya. Seperti dia seorang pesalah yang telah membunuh orang. Apa ini hanya mimpi? Kenapa ini yang harus dilihatnya? Belum lagi tahu apa yang jadi, hatinya sudah rasa sakit.
"Sa...sayang."
Dipandang tajam lelaki yang sudah duduk melutut di hadapannya. Jelas terpancar riak terkejut di wajah itu. "Abang main futsal kat sini?" Menyindir!
"A...ab...abang erm Wani jemput abang datang sini. Hari ni birthday dia. Abang lupa nak bawa Fiya sekali. Sorry sayang."
"Bazlan, terus terang jelah dengan Fiya. Tak guna kau nak menipu lagi." Mak Ngah Faridah buka mulut. Melihat menantunya yang serba salah, ringan saja mulutnya buka rahsia. "Wani ni isteri ke dua laki kau. Dah dekat tiga minggu mereka nikah."
"Tipu! Tak mungkin Baz kahwin dengan Wani." Lufiya senyum sinis. Agak-agaklah kalau mahu menipu. Dia bukan bodoh.
"Anak aku cantik, siapa je yang tak suka? Laki kau pun boleh kalah. Kalau tak, tak adalah Baz nak kahwin dengan Wani."
"Betul ke abang?" Dipandang Bazlan dengan penuh pengharapan. Berharap lelaki itu akan menidakkan. Saat anak mata mereka bersatu, suaminya sengaja melarikan pandangan. "Jawab abang, jangan diam. Jujur dengan saya."
Tiada suara yang kedengaran, tapi bila melihat anggukan lemah Bazlan sudah buat air matanya menitis. "Ya atau tak? Jawablah. Cakap! Abang bukan bisu, kan?" Nada Lufiya meninggi.
"Ya..."
Lufiya kaku. Bazlan yang menunduk dipandang. Lelaki itu kahwin lain? Tanpa pengetahuannya? Lufiya mahu menjerit, tapi kenapa suaranya tidak keluar?
"Abang nak beritahu Fiya..."
Tidak menunggu lama, ringan saja tangannya naik memukul badan Bazlan. Sakitnya hati bila mengetahui satu kebenaran yang cuba disembunyikan selama ini. Apa dia bodoh? Ditipu dalam diam. Kenapa dia langsung tidak sedar perubahan Bazlan? "Penipu, kau penipu. Lelaki tak guna! Aku benci kau."
"Sayang, abang minta maaf." Cuba ditahan tangan Lufiya yang memukul bahunya tapi gagal apabila wanita itu seperti dirasuk. Tidak cukup badan, mukanya pula menjadi sasaran tangan Lufiya.
"Hey perempuan, kau jangan nak buat hal dalam rumah aku." Hawani maju lalu menolak Lufiya ke belakang. Muka suaminya dibelek dengan penuh kerisauan. "Fiya, kau pergi balik sebelum aku telefon polis."
"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding.
"Sayang, abang tak ada niat nak tipu."
"Abang dah tipu saya."
"Abang tak sengaja sayang..."
"Berhenti panggil aku sayang. Jangan sentuh aku," jerit Lufiya sekuat hati sambil jari telunjuknya dituding tepat ke wajah Bazlan. Sudah tidak peduli pada mata yang memandang. Hatinya hancur! Hatinya sakit! Hatinya pedih!
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romance"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...