PINTU bank dibuka lalu Lufiya bergerak ke sebuah mesin ATM. Melihat hanya sebuah ATM yang berfungsi pantas dia beratur di belakang seorang lelaki yang sedang mengeluarkan wang.
Belakang lelaki itu dipandang sambil gigi diketap. Geram betul dengan spesis manusia seperti ini. Ambil duit sambil bercakap di telefon! Siap boleh bergelak ketawa lagi seperti tiada orang di belakang. Ingat ATM ni bapak dia yang punya agaknya."Encik, cepat sikit," tegurnya apabila melihat lelaki itu seperti sengaja melambat-lambatkan masa. Cuba dilihat wajah itu tapi tidak kelihatan kerana lelaki itu langsung tidak menoleh padanya. "Encik, belakang encik ada orang ya."
Kali ini suara sengaja dikuatkan dengan harapan lelaki itu akan menoleh ke belakang. Tetapi hampa apabila lelaki itu hanya buat tak tahu.
'Dia pekak kot, tu yang tak dengar.' Suara hati berbisik.
Lima minit berlalu, keadaan masih sama. Lufiya mendengus geram. Lepas satu, satu kad lelaki itu masukkan dalam mesin ATM. Mati dia kalau lelaki itu ada sepuluh kad. Mahu berjanggut dia tunggu. Sudahlah perut tiba-tiba buat perangai. Ini mesti kes makan laksa tadi.
"Encik, kalau dah tak de duit tu tak payahlah keluarkan. Buat bazir resit je."
Ternyata teguran pedasnya berjaya buatkan lelaki itu memusingkan tubuh. Wajah selamba ditayang apabila lelaki berkaca mata hitam itu memandangnya dengan riak tidak puas hati. Sentaplah tu!
"ATM bukan ada satu, kan?"
"Kalau yang lain boleh guna, tak adalah saya berdiri macam patung belakang encik." Bibir mengukir senyuman plastik. Wajah lelaki yang sudah menarik cermin mata itu dipandang. Usia lebih kurang sebayanya. Pasti bergaduh juga mereka disebabkan ATM. Biasalah orang muda. Kurang sabar! Sama seperti dia.
Tapi tekaannya meleset apabila lelaki itu kembali pusing menghadap mesin ATM . Lega dia berjumpa lelaki yang matang seperti ini. Kalau lelaki lain, sah-sah mereka sedang berperang mulut sekarang.Lufiya menunggu lagi untuk beberapa minit sehingga urusan lelaki itu selesai. Sebaik berpusing, mata mereka kembali bertembung. Senyuman plastik diukir lagi. Dah kenapa mata lelaki itu tidak berkedip memandangnya?
"Ada masalah ke? Kenal saya?" Ringan mulut menegur. Tiada jawapan, lelaki itu terus beredar. Pantas Lufiya mendekati ATM apabila perutnya makin memulas. Tiga minit kemudian urusannya selesai.
"Eh?" Sesuatu yang terletak atas mesin ATM menarik matanya. Telefon! Sah milik lelaki tadi. Kawasan ATM dipandang. Hanya dia seorang diri. Apa yang perlu dibuatnya sekarang? Biarkan telefon itu di situ atau dia ambil? Sudahlah saat ini pejabat bank tutup.
Kalau biarkan, nanti kena curi? Kesian lelaki itu. Kalau dia ambil? Nanti lelaki itu telefon, boleh dia pulangkan semula. Pilihan ke dua lebih baik. Tapi memikirkan dia akan berjumpa lelaki itu, buatkan hati mula berat.
'Biar jelah kat situ. Nanti dia datanglah cari telefon dia. Kau jangan nak buat baik sangat.'Telefon itu diambil lalu Lufiya berjalan keluar apabila dua remaja lelaki melangkah masuk. Sambil berjalan mulutnya membebel. Takut sangat kalau remaja tadi mencuri telefon.
Sekarang satu hal pula dia kena pulangkan telefon ini kepada pemilik asal. Jangan lelaki itu fikir dia yang mencuri sudah. Dia tidak sejahat itu.Lufiya bergerak ke kereta Bezzanya. Hadiah daripada Bazlan sempena ulang tahun ketiga perkahwinan mereka sebulan yang lalu. Bermakna sebulan juga dia memandu kereta itu jika ingin ke mana-mana.
Jangan lupa vote🤩
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romance"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...