BAB 6(b) : Sepupu Bakal Perampas

884 43 11
                                        


SEDANG leka menyemak dokumen dan rekod yang berkaitan pembayaran cukai, tumpuan Lufiya mula terganggu apabila Rose tiba-tiba muncul di hadapan meja kerjanya. "Ada apa?"
"Jom lunch sekali, nak?"

Lufiya mengetuk dahi. Sudah lunch? Cepatnya masa bergerak. Leka sangat buat kerja.

"Jap, tertinggal purse pulak."

Telefon bimbit dikeluarkan sementara Rose kembali. Nombor Bazlan dihubungi lalu telefon mula dilekap pada telinga. "Helo abang..." ujarnya apabila talian bersambung.

"Ya sayang..."

"Abang kat mana? Dah lunch?" Saja dia mahu menghubungi lelaki itu untuk mengingatkan waktu makan.

"Abang tengah makan."

"Dengan klien, kan? Eh? Suara Wani?" soal Lufiya pelik apabila mendengar wanita itu memanggil nama suaminya.

"Haah dia ada sekali dengan abang."

Lufiya mengeluh. "Kenapa dia ada sekali?" Angin marahnya mula muncul. Mujur tergerak hatinya mahu menghubungi Bazlan. Lelaki itu pun satu, dia tak tanya langsung tidak beritahu.

"Sayang, Wani kan kawan sekerja abang. Kami bekerjasama untuk projek terbaru ni. Sebab tu dia selalu dengan abang. Takkan sayang cemburu. Dia sepupu sayang kot."

Mata hitam dijuling ke atas. Sebab dia dan Hawani sepupulah dia tidak mempercayai wanita itu. Bukan dia tidak kenal dengan janda anak satu itu. Dua kali kahwin, kemudian bercerai dengan alasan sudah tidak sehaluan. Itu dia tidak kisah, bukan masalahnya. Yang jadi masalahnya apabila dia mula perasan pandangan Hawani pada suaminya mula lain macam.

Sejak wanita itu bekerja satu tempat dengan Bazlan hatinya mula tidak tenang. Selalu sangat Hawani dekat dengan suaminya dengan alasan mereka berkeluarga. Mula-mula dia tidak kisah, tapi lama-lama hatinya gelisah.

"Sepupu ke tak sepupu, dia tetap perempuan." Yang dia risaukan apabila anak Hawani yang berusia lima tahun sangat rapat dengan Bazlan. Selalu sangat Hawani datang ke rumahnya bawa anak. Bagi alasan anaknya rindu Bazlan. Mahu dia tak cemburu?

"Sayang nak cakap dia akan goda abang ke?"

"Fiya takut abang yang akan tergoda dengan dia." Tengok, boleh buat Bazlan gelak dengan kata-katanya. Mungkin lelaki itu fikir dia main-main.

"Sayang dah cukup cantik dan sempurna pada mata abang. Datanglah perempuan secantik bidadari, abang dah tak pandang."

"Okeylah abang, petang nanti kita jumpa."

Melihat Rose kembali muncul, Lufiya bertindak menamatkan perbualan. Ikutkan hati dia masih belum puas bercakap. Kalaulah tempat kerja dia dan Bazlan dekat, hari-hari dia akan makan tengah hari bersama lelaki itu.

Beg tangan disangkut pada bahu, lalu kerusi ditolak masuk bawah meja. Baru saja berpusing, pandangannya bertembung dengan Zildan. Lelaki itu memandangnya dari dalam bilik. Meja kerjanya betul-betul setentang bilik Zildan. Hanya dipisahkan dengan cermin kaca.

Air liur ditelan. Kenapa tajam sangat pandangan mata Zildan? Terkejut dia apabila sedar dirinya diperhatikan lelaki itu.

"Fiya, jomlah..."

"Erk, awak tak lunch dengan Encik Zildan ke?"

"Lima bulan saya kerja kat sini, baru sekali kami lunch bersama," beritahu Rose lalu ketawa. Mereka mula melangkah ke lif. "Kenapa tak percaya ke?"

"Tak. Kata bercinta, takkan baru sekali lunch bersama?"

"Itulah hakikatnya." Pudar senyuman Rose apabila teringatkan Zildan. "Nak kata kami bercinta tu sebenarnya tak."

Masuk saja ke dalam perut lif, Lufiya mengalihkan pandangannya pada Rose.  Baru dia teringat, dengan gadis inilah dia bercakap sewaktu telefon Zildan ada dengannya.

Ternyata Zildan masih belum berkahwin. Tapi kalau belum kahwin siapa pula kanak-kanak perempuan yang gambarnya ada di wallpaper telefon Zildan? Apa lelaki itu duda? 

"Kata nak bertunang, jadi sekarang mesti awak dengan dia tengah bercinta."

"Sebenarnya kami tak bercinta pun. Keluarga kami yang nak satukan. Saya terima je, sebab malas nak mencari. Abang Zill pun macam tu, dia terima sebab dah bosan dengan mamanya yang asyik suruh kahwin. Jadi sekarang ni tempoh kami berkenalan dulu. Tapi dah lima bulan saya kat sini, langsung tak ada perubahan. Dia macam tu je."

Lufiya pasang telinga. Ingatkan mereka berdua bercinta.

"Saya kerja kat sini pun sebab mama dia yang suruh, katanya saya boleh kenal Abang Zill dengan lebih lagi kalau jadi secretary dia. Tapi dia tu tak perlu pun secretary." Sebaik lif berhenti, mereka melangkah keluar. "Sampai sekarang saya tak faham perangai dia, apa yang dia nak. Nampak macam saya seorang je yang berusaha nak dekatkan hubungan kami. Dia macam tak berminat dengan saya, atau dia belum sedia nak kahwin."

"Maknanya awak dah suka pada dia?" Lufiya serkap jarang.

Rose senyum. "Saya pun tak tahu kenapa mudah sangat saya suka dia. Walaupun kami tak rapat, tapi dia layan saya baik. Dia jaga saya. Bila dengan dia saya rasa selamat. Dia pelindung saya."

"Nak makan kat mana ni? Nak naik kereta siapa?" Lufiya menghentikan langkah sebaik tiba di luar.

"Kereta awak, saya tak ada kereta."

"Jom," ajak Lufiya lalu masuk ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan. "Macam mana awak pergi balik kerja kalau tak ada kereta?"

"Abang Zill yang datang ambil dan hantar saya. Kalau dia sibuk, naik grab jelah."

"Rajin pula dia datang ambik."

"Kena paksa dengan mamanya, rajinlah jawabnya. Lagipun memang dia lalu depan rumah saya kalau nak pergi kerja. Jadi kami pergilah sekali."

"Kalau dah macam tu, insya-Allah lama-lama bercintalah. Awak jangan putus asa. Lelaki ini kalau nampak kita bersungguh nakkan dia, takkan dia nak tolak, kan? Kalau saya jadi dia, dah lama saya terima awak," ujar Lufiya mahu menaikkan semangat Rose. Kesian pula gadis itu yang seolah-olah cuba dapatkan perhatian lelaki.

Baru dia tahu boleh tahan memilih lelaki bernama Zildan. Punyalah cantik Rose, masih tidak dapat memikat hati lelaki itu. Atau Zildan bercitarasa tinggi? Mahukan gadis secantik ratu dunia?

#*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘

DIA TIADA DUACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang