MICROSOFT Excel ditutup sebaik kerja membuat pengiraan kos pengeluaran dan kendalian untuk pusat servis telah siap.Melihat jarum jam menginjak angka lima petang, pantas Lufiya mengemas tempat kerjanya. Cawan yang kosong dibawa ke pantry. Saat mencuci, Rose masuk. Senyuman dilemparkan. "Tak balik lagi?"
"Abang Zill nak siapkan kerja dia dulu. Saya paksalah ikut. Nama pun dah menumpang."
"Alah kesiannya, kalau saya ada kereta dah saya hantar awak balik." Tapi dia sendiri pergi dan balik kerja berjalan kaki. Kadang-kadang malas berjalan dia akan tempah grab.
Biasanya harga dalam RM 5 atau RM 7. Kalau waktu puncak, harga mencecah RM 10.
Inilah kehidupannya sejak seminggu yang lalu apabila keretanya terpaksa diserah pada adik ipar. Tak nak bagi, dia sedar kereta itu bukan dibeli dengan duitnya. Lagipun dia kesian pada Irfan yang masih belajar. Jadi biarlah buat sementara lelaki itu guna. "Encik Zildan memang kuat kerja, kan? Tak pernah nampak dia balik pukul lima."
"Kuat kerja sangat! Kalau tahun ni tak jadi jutawan tak tahulah nak cakap apa."
Usai berborak dengan Rose, Lufiya meminta diri. Langkah kakinya bukan menuju ke meja kerja, tapi ke bilik solat. Memandangkan selepas ini dia mahu singgah ke rumah mentuanya, jadi lebih baik dia solat dulu di sini. Kalau balik awal pun, tiada siapa yang menunggunya.
Sudah seminggu Bazlan pulang lewat. Pukul 11 malam baru nampak batang hidung. Mahu marah pun tidak jadi apabila melihat wajah lelaki itu yang kepenatan. Kata Bazlan, sekarang dia sibuk menyiapkan satu projek berkenaan pembinaan sebuah pusat beli belah. Dia faham kerjaya suaminya sebagai arkitek. Satu kerja yang merumitkan dan memerlukan ketelitian. Jadi dia tidak mahu memberi masalah pada lelaki itu. Takut akan mengganggu kerja Bazlan nanti.
Tapi sedih, kesibukan lelaki itu buat hubungan mereka renggang. Bazlan balik rumah terus tidur, esok bangun pergi kerja. Masa antara mereka mula terhad. Mahu berbual pun tidak sempat. Hanya telefon jadi penghubung. Berbual seketika tanpa melihat wajah. Wajah hanya tergambar di ruang mata.
Selesai mengambil wuduk, Lufiya menyarung telekungnya yang sengaja ditinggalkan di sini. Baru saja mahu solat telinga menangkap suara Zildan yang sedang bercakap dengan beberapa orang pekerja. Disebabkan pemisah antara ruang lelaki dan perempuan hanya menggunakan langsir, jadi dia dengar apa yang diborakkan mereka. Tiada apa yang penting, hanya borak kosong.
Dia puji Zildan, walaupun sibuk bekerja langsung tidak lupa menunaikan solat. Sudah acap kali mereka bertembung ketika mahu masuk ke bilik solat. Sekurangnya lelaki itu sedar, kewajiban sebagai orang islam. Alangkah bagus, kalau Bazlan seperti Zildan. Solat tanpa disuruh.
Solat didirikan, sepuluh minit kemudian sebaik selesai tudung disarung lalu Lufiya melangkah keluar. "Selamat petang," ucapnya pada Zildan. Bibir dicebik apabila lelaki itu langsung tidak membalas. Malah wajahnya juga tidak dipandang. Selamba saja Zildan pergi.
Mustahil lelaki itu tidak dengar? Dia perasan sejak seminggu ini, Zildan seperti sengaja menjauhkan diri daripadanya. Apabila anak mata mereka bertembung, lelaki itu sengaja melarikan pandangan. Kalau dia senyum pun, Zildan langsung tidak membalas. Pendek kata, kewujudannya tidak dipedulikan lelaki itu.
Tapi dia perasan, diam-diam Zildan seperti lelaki itu sedang memerhatinya. Tak tahulah kalau itu hanya perasaannya, tapi itu yang dirasakan. Meja kerjanya menghadap cermin bilik lelaki itu. Kalau perasan dirinya sedang dipandang, laju saja dia memandang Zildan. Tapi lelaki itu nampak leka dengan kerjanya. Pening dia dengan Zildan.
Dia cuma mahu berbaik dengan lelaki itu sebagai tanda hormat pada orang atasan.
#*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘

YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romance"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...