SETENGAH jam berlalu, Lufiya sampai ke HR-V milik Zildan. Tapi, tuan punya kereta pula tidak kelihatan. Mungkin Zildan masih dalam masjid. Pesan lelaki itu sebelum keluar, tunggu sampai isyak. Sebagai penumpang, takkan dia mahu membantah?
Malas berdiri Lufiya duduk di bangku sebelah kereta Zildan. Wajahnya diraup. Hampir terlupa Bazlan. Ingatkan lelaki itu, mula buatkan fikirannya serabut. Oh Bazlan! Ada apa dengan lelaki itu.
"Nah..."
Melihat sebotol air minuman dihulurkan buat Lufiya berdiri. "Terima kasih." Pemberian Zildan disambut. "Encik...erm..erm"
"You nak apa?"
"Boleh tak saya nak pinjam telefon sekejap?" Tebal muka Lufiya saat ini. Separuh hatinya kata jangan telefon Bazlan, separuh lagi kata telefon saja. Lega apabila Zildan menghulurkan telefonnya. Tidak membuang masa, laju jarinya menari-nari atas skrin. "Abang kat mana?"
"Eh, sayang call abang guna telefon siapa ni? Sayang okey?"
"Saya tanya abang kat mana?"
"Abang keluar dengan kawan, nak pergi main futsal. Lepas tu kami nak lepak kejap. Sayang ada nak pesan apa-apa ke? Nanti abang belikan."
"Okey." Telefon dihulurkan kembali pada Zildan yang setia menanti di sebelah. Kemudian dia masuk ke dalam perut kereta.
"Nampak macam ada masalah berat je?" tegur Zildan sebaik kembali memandu. Ditahan hatinya supaya jangan bertanya, tapi dia gagal. Melihat Lufiya diam, sudah memberitahunya yang wanita itu tidak mahu berkongsi cerita. "Gaduh dengan suami?"
Angguk tidak geleng pun tidak. Terbalik pula situasi sekarang. Kenapa tiba-tiba Zildan pula yang bersuara?
"Kalau gaduh, bawalah berbincang." Ceh! Nasihat kat orang macam kau tu dah kahwin.
Lufiya hanya mengangguk.
"Selepas pindah SMK Tengku Puteri, you sekolah kat mana?"
Sepantas kilas dipandang Zildan yang tiba-tiba menukar topik. "Mana mana encik tahu saya sekolah sana?"
"Dalam resume."
Dahi berkerut. Jawapan pantas Zildan buat dia berfikir. Seingatnya dia tidak pernah meletak nama sekolah itu di resumenya. Al-maklumlah dia bersekolah di sana waktu tingkatan dua, lagipun dia di sana hanya lima bulan. Dan dia sendiri sudah lupa sekolah itu.
"Oh, pindah ke Sarawak." Tetap saja Lufiya menjawab soalan Zildan walaupun dalam hati sudah ada rasa pelik. Balik nanti dia perlu menyemak kembali resumenya.
"Lama duduk Sarawak?"
"Dalam setahun. Lepas tu pindah lagi." Beginilah nasib anak polis. Campur sekolah rendah dan menengah, lebih lima buah sekolah yang pernah dia masuk.
"Mak dan ayah sihat?"
"Mak dah meninggal, ayah ada lagi. Tahun depan dah pencen, sekarang stay kat Melaka."
"Oh, sorry tak tahu. Adik-adik sekarang apa khabar? Mereka buat apa sekarang?"
Dipandang Zildan yang leka memandu. Kenapa lelaki itu berminat mahu tahu tentang keluarganya? Bagaimana Zildan tahu dia ada adik? Yang ini Lufiya ingat, dalam resume dia cuma menyatakan bilangan adik beradik tanpa memberitahu dia anak ke berapa.
"Nombor dua kerja kat Kuantan, nombor tiga habis STPM terus kahwin, tak kerja, jadi housewife sepenuh masa. Erm...Encik Zildan, ada sesuatu yang saya tak tahu ke tentang encik?"
"Maksud you?" Zildan bertanya. Memang sengaja mahu tunjuk yang dia tahu latar belakang wanita itu. Tengok gaya memang Lufiya tidak ingat. Fikirnya wanita itu sengaja buat tidak mengenalinya.
"Eh, kereta saya," bulat mata Lufiya apabila secara tidak sengaja dia melihat sebuah kereta Bezza di hadapan kedai kek. Mata ditajamkan untuk melihat nombor pendaftaran tapi gagal. "Encik berhenti."
"Eh, you nak pergi mana, jangan keluar. Bahaya!"
"Saya nak tengok kereta saya." Belum sempat membuka pintu, kelihatan seorang wanita keluar dari kedai sambil membawa sekotak kek lalu masuk ke dalam kereta. Walaupun waktu malam, dia jelas melihat wajah wanita itu.
Hawani! Kenapa wanita itu menaiki keretanya? Bukankah wanita itu memandu Persona? Dan macam mana keretanya boleh ada dengan Hawani?
"Eh, you kenapa?" soal Zildan apabila perasan tubir mata Lufiya yang mula dipenuhi air jernih. Wanita itu hanya diam tidak bergerak buatkan dia tertanya-tanya apa yang jadi sebenarnya.
"Encik, boleh hantar saya ke Taman Maju Dua?" Saat ini tiada rasa malu mahu meminta tolong. Dibatalkan rancangan asalnya mahu ke tempat kerja Bazlan. Syukur apabila Zildan sudi menghantarnya. Sepanjang perjalanan, hatinya keresahan. Memikirkan persoalan yang tiada jawapan.
Sampai saja ke destinasi, sesak nafas Lufiya apabila melihat kereta suaminya tersadai di garaj rumah Hawani. Apa semua ini? Tidak berkata apa, dia melangkah keluar demi mencari satu kebenaran. Pintu yang sedia terbuka, seolah-olah menjemputnya masuk. Telinganya sudah menangkap suara orang bercakap dan bergelak ketawa. Kedengaran meriah saja.
Tercegat dia di hadapan pintu sambil melihat apa yang terhidang depan mata. Tanpa dapat ditahan air mata akhirnya gugur. "Abang!" jeritnya kuat mengejutkan seisi rumah.
*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romantizm"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...