JAM tangan dipandang. Lagi lima minit akan masuk pukul satu petang. Bermakna sudah hampir setengah jam dia menunggu di kafe jenis art ini. Bukan lelaki yang sedang ditunggunya lambat, tapi dia yang awal. Habis interview dia singgah supermarket beli barang dapur, kemudian terus dia datang ke sini.
Temujanji mereka pukul satu petang. Patutnya semalam mereka berjumpa, tapi lelaki itu pula tidak dapat datang. Katanya kena pergi Seremban, takut tak sempat balik KL. Haraplah hari ini dia berjaya pulangkan telefon itu kepada pemilik asal.
Melihat yang ditunggu muncul, pantas Lufiya mengangkat tangan kanannya. Mungkin lelaki itu tidak nampak memandangkan tempat duduknya di kawasan yang agak terlindung. Dia berdiri sebaik lelaki itu mendekat. Beg kertas dihulurkan. "Ni telefon encik, cheklah dulu."
Hulurannya tidak disambut. Tahu sangat yang lelaki itu terkejut melihatnya. Beg tangan dicapai.
"Duduklah dulu."
"Hah?" Mulut melopong. Lelaki itu suruh duduk? Mati-mati dia ingat lelaki itu akan cakap 'kau lagi' tak pun 'bukan kau ke yang aku jumpa kat ATM.' Ternyata tekaannya meleset. Ke lelaki itu sengaja pelawa duduk kerana dia sudah pulangkan telefonnya?
Tanpa sedar, Lufiya kembali duduk. Kepalanya yang ditutupi tudung digaru. Tiba-tiba rasa tidak selesa apabila lelaki itu memandangnya. Menyesal pula awal-awal tak cabut lari.
"Tengoklah dulu telefon tu. Kang ada rosak ke."
"Tak apa. Saya percaya awak."
Mata dikedipkan beberapa kali. Ada perkara aneh yang berlaku di sini. Pertama, dia dipanggil awak dan lelaki itu bahaskan diri sendiri sebagai saya. Dah kenapa? Bukan lelaki itu sebelum ni ber I you ke dengannya dalam telefon? Agaknya baru sedar yang I tu dalam bahasa Melayu maksud saya atau lelaki itu baru sedar dirinya melayu.
Kedua, ini lagi aneh. Saya percayakan awak? Apa ini ciri-ciri lelaki buaya darat? Buat ayat manis untuk raih kepercayaan. Saja nak tunjuk diri baik ke apa?
"Erm, kalau tak ada apa-apa hal, saya pergi dulu ya. Saya ada order barang, kang poslaju datang saya tak ada kat rumah, satu hal pula nak kena ambil kat pejabat." Menipu lagi! Kau ni memang suka menipu ke, Lufiya? Kena label penipu baru kau tahu. Orang tak tanya apa-apa tak payahlah menipu.
"Kat rumah? Kenapa tak bagi alamat tempat kerja je?"
Bibir digigit. Ini ke yang dipanggil gali lubang, kemudian diri sendiri yang jatuh ke dalam lubang yang digali?
"Oh, kerja-kerja. Saya silap cakap tu. Saya nak masuk office sebenarnya. Kita pernah jumpa kat High Automobile, kan? Saya kerja kat situlah." Lufiya tersenyum sumbing. Menipu, lancar pula tu. Dapat dia lihat lelaki itu senyum. Apa makna senyuman itu?
"Kalau macam tu, habiskan air awak, banyak lagi tu. Saya belanja air ni, tanda terima kasih. Kalau nak makan pun boleh, order je."
Hati kata tidak, tapi tangannya sudah menarik gelas yang berisi jus oren. Bila diserang penyakit gelabah inilah sikapnya. Ikut saja. Hari ini dia sudah belajar sesuatu, menipu tidak akan membetulkan keadaan. Malah buatkan dirinya rasa bersalah. Mahu saja dia berterus terang.
Tapi bila memikirkan lelaki itu bukan siapa-siapa, niat dibatalkan. Dia tidak mahu dipandang hina apabila orang luar tahu dia tidak bekerja. Maklumlah tanggapan orang, suri rumah paling low class. Hanya tahu duduk rumah, tunggu laki balik!
"Saya Zildan..."
"Oh..." Tak tanya pun! Ayat itu hanya terluah dalam hati. Mahu sentap lelaki itu nanti. Dia tidak berminat untuk berkenalan tambah-tambah dengan statusnya. Nak marah pun tak boleh, bukan Zildan tu tahu dia isteri orang.
"Nama awak apa? Saya dah lupa."
Alah padan. Dia pun sudah lupa nama apa yang diberi pada Zildan sewaktu lelaki itu menghubunginya. Fina? Bella? Ke Melisa?
"Saya Lufiya." Malas tambah dosa lagi, nama betulnya diberitahu. Dapat dia lihat dahi Zildan berkerut.
"Bukan Mona ke?"
Aik, dah tahu nama Mona, kenapa si Zildan ni tanya lagi? Apa lelaki itu sengaja mahu mengenakan dia? Atau Zildan tahu dia menipu?
"Nama betul saya Lufiya, Mona tu saya reka je. Saja main-main."
"Ada masa pula ya nak main-main. Dah kahwin?"
Lufiya mengeluh. Ini memang soalan wajib untuk sesiapa yang mahu 'mengurat' anak dara orang. Kenalah tanya soalan seperti itu, kang tersangkut bini orang mahu lebam biji mata. Contoh yang berlaku sekarang.
"Dah tiga tahun kahwin." Air minuman yang masih berbaki disedut habis. Sah, lelaki itu mahu menguratnya. Dia nampak riak kecewa yang cuba disembunyikan. Hilang senyuman manis yang terukir di bibir lelaki itu sejak tadi. Memang tidak dinafikan senyuman Zildan nampak manis, tapi belum sampai tahap berjaya memikatnya. Apa Zildan ingat dengan senyuman, boleh buatkan hatinya cair? Silap orang!
"Betul ke dah kahwin? Ada anak?" soal Zildan masih tidak percaya. Lufiya yang berdiri buatkan dia turut bangun. Wanita yang mahu pergi itu dihalang. Nampak Lufiya mula tidak selesa dengannya. "Maaf kerana tanya soalan yang agak peribadi. Thank you because give my phone back. Hope we can meet again."
Tidak membalas, Lufiya membuka langkah. Zildan mahu berjumpanya lagi, tapi dia sudah tidak mahu berjumpa lelaki itu. Dan dia yakin mereka tidak akan pernah berjumpa lagi.
*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘
ANDA SEDANG MEMBACA
DIA TIADA DUA
Romantik"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...
