"MORNING mama..." tegur Zildan pada mamanya yang sedang minum di meja makan. Pelik pula apabila wanita itu hanya sendirian. Biasa ahli keluarga yang lain akan berkumpul untuk sarapan bersama. Rumahnya memang meriah. Maklumlah, keluarga kakak sulungnya turut tinggal sekali."Wah, anak mama tak pernah tak segak," puji Puan Aziah sambil melirik pada anak keduanya yang memakai kemeja coklat lembut. Rambut yang disisir kemas itu membuatkan wajah anaknya nampak lebih kacak. "Mahu Rose tak terpikat kalau Zill dah handsome macam ni."
"Mana semua orang, ma?" Kata-kata mamanya tidak diendahkan. Dia tahu wanita itu sengaja bangkitkan isu yang tidak digemarinya di pagi hari.
"Mereka awal-awal dah keluar. Masing-masing ada kerja yang nak diselesaikan." Pinggan berisi egg prata roll dihulurkan. "Zill dah ada tarikh bila nak bertunang?"
"Tarikh? Zill tak pernah setuju pun nak bertunang."
"Zildan!" Agak tinggi suara Puan Aziah apabila anaknya jawab acuh tak acuh.
"Sampai bila nak hidup membujang? Zill dah 28 tahun. Kakak dah kahwin, adik pun dah kahwin. Tinggal Zill seorang je lagi. Zill tak ada keinginan nak kahwin ke? Calon dah ada, mama tak nak Zill lepaskan peluang ni. Kalau Zill melepas, entah bila lagi ada perempuan nak dekat dengan Zill."
"Itu bukan pilihan Zill, itu pilihan mama."
"Dah Zill tak ada calon, mama carikanlah. Kenapa, Zill ada calon sendiri ke? Bawak jumpa mama, kalau mama berkenan baru mama setuju Zill nikah dengan calon pilihan Zill."
Zildan mendengus apabila wajah seseorang mula bermain dalam fikirannya. Kenapa wajah itu pula yang muncul? Bahaya betul! Kalau bujang dia tidak kisah, ini isteri orang.
"Rose dah cukup baik dan sempurna. Zill tahu tu, kan? Ramai lelaki yang nakkan dia. Tapi langsung dia tak pandang sebab hati dia dah pada Zill."
"Mama, Rose tu Zill dah anggap dia macam adik. Zill tak boleh terima dia, kenapa mama paksa Zill rapat dengan dia lagi? Lima bulan ma, Zill cuba untuk terima dia tapi tetap tak boleh." Entah untuk kali ke berapa dia cuba fahamkan mamanya. Tapi wanita itu masih tidak faham. Katanya cinta akan datang bila dia terima Rose. Tapi untuk terima gadis itu dia tidak boleh. Dia tidak mampu.
Mereka membesar dan bermain bersama. Dulu sewaktu kecil mereka berjiran. Tambahan mamanya juga berkawan baik dengan ibu Rose. Lagilah buatkan mereka rapat.
"Mama tak faham betul dengan Zill ni, Zill tunggu siapa sebenarnya?" Puan Aziah cuba menyelongkar rahsia anaknya. Antara tiga anaknya, Zildanlah yang paling perahsia. Lelaki itu jenis tidak suka berkongsi cerita dengan siapa-siapa termasuklah dia. "Kalau dah ada pilihan, jangan tunggu lama-lama. Kang dikebas orang, payah pula nak mencari yang lain."
'Memang sudah dikebas orang.' Laju hatinya bersuara. Macam mana hatinya boleh kata begitu? Menakutkan!
"Dahlah ma, Zill pergi dulu. Oh ya, minggu ni last Zill ambil Rose, lepas ni dia pergi sendiri."
"Kenapa?"
"Sebab Zill tak nak dia berharap pada Zill."
"Itu tandanya dia suka Zill. Janganlah kecewakan dia. Tak baik, " tegur Puan Aziah lalu mengikut anaknya menuju ke pintu. "Macam nilah Zill, kalau Zill tak nak bertunang, nikah je terus. Bila jadi suami isteri, mesti Zill akan jatuh sayang pada Rose. Mama dengan papa, bercinta pun lepas kahwin. Alhamdulilah bahagia sampai sekarang."
Bahu diangkat. Bercinta ke tak itu masalah ke dua. Yang pasti masalah pertama dia tidak boleh ubah perasaannya pada Rose itu.
"Jangan lukakan hati anak orang, nanti suatu hari orang akan buat perkara yang sama pada Zill. Masa tu baru Zill faham betapa sakitnya hati tu."
'Habis hati anak mama ni macam mana? Sebab Zill lelaki ke, perasaan Zill mama langsung tak kisah? Lelaki pun ada perasaan ma. Bukan mudah Zill nak terima Rose, banyak yang Zill kena fikir. Setakat terima untuk puaskan hati Rose, hati mama, Zill boleh tapi hati Zill ni macam mana? Macam mana dengan kehidupan selepas kahwin nanti? Kisah orang tak akan sama dengan kisah kita.'
Tapi sayang luahan itu hanya mampu menjerit dalam hati. Mama tidak akan faham keadaannya. Usai bersalam, Zildan menuju ke kereta. Sebaik enjin dihidupkan sengaja dia tidak bergerak lagi.
Keluhan terbit apabila wajah seorang wanita kembali terbayang di ruang mata. Sungguh dia rasa terganggu. Bukan sekali dua, tapi sejak wanita itu muncul perasaannya mula tidak tenteram. Perasaan apakah ini? Kenapa dalam ramai-ramai wanita yang dikenali, wajah Lufiya juga yang bermain di mata?
Apa seleranya pada isteri orang? Memang tak masuk akal! Gila namanya itu. Kenapa Lufiya perlu muncul semula dalam hidupnya? Sebelum ini dia bahagia dengan hidupnya walaupun tiada kekasih, tapi sekarang?
Setelah bertahun, mereka ditakdir berjumpa kembali. Sayangnya, dirinya telah dilupakan.
#*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romantizm"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...