"ASTAGHFIRULLAHALAZIM..." Terjaga daripada mimpi terus Lufiya meraup wajah berkali-kali. Dada mula turun naik. Sebentar tadi dia didatangi satu mimpi yang menakutkan. Bukan mimpi melihat hantu, tapi mimpi itu benar-benar buatkan dia takut untuk kembali tidur.Dia mimpikan Bazlan. Kerana mereka masih tidak dikurniakan zuriat, Bazlan akhirnya pergi meninggalkan dia. Lelaki itu kecewa dan sudah berputus asa mahu hidup bersamanya. Dalam mimpi itu, dia menangis teresak-esak tidak mahu ditinggalkan, tapi Bazlan langsung tidak mengendahkannya.
Kepala mengeleng perlahan. Cuba dibuang bayangan mimpi yang masih menghantuinya itu. Tak pernah sebelum ini dia bermimpi seperti itu. Tapi kenapa malam ini mimpi itu hadir? Apa itu petanda? Tak mungkin! Air mata yang tiba-tiba membasahi pipi disapu. Bazlan tidak akan meninggalkan dia kerana alasan seperti itu. Dia bukan mandul, kata doktor dia boleh mengandung. Cuma rezeki anak itu masih belum sampai padanya.
Dia berusaha dan sentiasa berdoa. Tidak pernah jemu, walaupun ada doanya bertemankan tangisan hiba. Doanya tanda iman kerana dia tahu Allah Maha Berkuasa dalam memenuhi permintaan hambanya. Jika saat ini doanya masih belum diperkenankan, tidak akan sesekali dia menyalahkan takdir. Dia percaya suatu hari nanti doanya akan dimakbulkan dan waktu itu dia akan merasai kenikmatnya.
Getah rambut dicapai lalu rambut paras bahunya diikat. Belum sempat kaki menjejak lantai, buku yang jatuh pantas dikutip. Melihat tajuk buku itu buat dia sebak. Buku yang mengandungi nama-nama bayi dalam islam. Memang sengaja dia beli untuk baca. Mana tahu ada nama yang berkenan boleh dia simpankan untuk anaknya.
Apa saja petua untuk mendapatkan anak dia cuba, tapi kuasa tuhan siapa dia mahu melawan. Usahanya masih belum menampakkan hasil. Kadang-kadang timbul rasa putus asa, tapi memikirkan Bazlan perasaan itu dibuang jauh-jauh.
Isteri mana tidak mahu memberi suami mereka zuriat? Tambahan Bazlan juga mahukan zuriat sebagai penyeri hidup mereka. Kalau Bazlan boleh bersabar, kenapa dia tidak? Lelaki itu penguatnya.
Tidak mahu membiarkan diri dikawal rasa sedih, pantas Lufiya melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk. Alang-alang sudah terjaga dia mahu menunaikan solat tahajud, antara solat sunat yang sangat dituntut. Sejak setahun lalu inilah yang cuba diamalkan andai kata dia terjaga di malam hari. Jujurnya dia masih belajar untuk lebih mengenali agama.
Tidak dinafikan ujian Allah padanya membuatkan dia makin dekat pada Allah. Benar ujian diturunkan kepada manusia supaya manusia akan lebih dekat dengan penciptaNya. Andai dirinya masih lalai dengan keindahan duniawi belum tentu dia akan hidup seperti sekarang.
20 minit atas sejadah Lufiya mula bergerak ke katil. Telefon diambil untuk melihat jam, tapi melihat ada panggilan masuk buat dahinya berkerut. Nombor yang tidak dikenali. Telefon pula pada pukul 2 pagi. Hanya sekali. Kepala digaru. Sungguh dia takut kalau terima panggilan pada waktu-waktu begini. Mana tahu ada ahli keluarga yang menghubungi untuk memberitahu sesuatu.
Nombor itu kembali dihubungi. Talian bersambung tapi tidak berangkat. Cukup tinggalkan jejak, aplikasi WhatsApp pula dibuka. Saja mahu melihat last seen suaminya. Sekarang pukul 4.30 pagi, last seen Bazlan dalam talian setengah jam yang lalu pada 4.00
pagi.Apa yang dibuat lelaki itu sampai pukul 4 pagi masih belum tidur?
'Mungkin Bazlan terjaga, kemudian saja chek WhatsApp. Fikir yang baik-baik jelah Fiya oii.' Hatinya mengingatkan.
Entah kenapa ringan pula tangannya mencari nama Hawani, dan last seen wanita itu turut dilihat. Bulat matanya apabila last seen Hawani menunjukkan pukul 4 pagi, sama macam Bazlan.
Telefon terus dicampak ke tepi. Apa ini satu kebetulan? Dia tidak boleh terima.
*Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda😘
YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romansa"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...