BABAD 20

92 15 12
                                    

Khabar yang dibawa oleh seorang pengawal dari Balai Temenggung membuatkan kening Panglima Agean berkerut dan dia tahu hal tersebut muncul pada waktu yang sangat tidak tepat. Separuh berlari anak dia bergegas menuju ke kamar yang ditempati oleh Putera Amadeus sehingga tidak mengendahkan sapaan hormat para dayang ataupun pengawal istana yang berpapasan dengannya.

Dalam keadaan sedang berlaku perancangan untuk menjatuhkan putera mahkota dalam satu situasi yang sangat tidak memihak kepadanya, timbul pula masalah lain yang jauh lebih dahsyat.

Seseorang yang memiliki plat bangsawan kerajaan dikatakan melepaskan panahan sehingga hampir mengenai Penasihat Diraja ketika upacara pemilihan pengawal yang baru. Dan ketika ditanyakan dari mana dia memperolehinya-dia menyebutkan satu nama. Putera Amadeus!
" Tuanku.. "

Putera Amadeus segera menoleh sebaik sahaja namanya diseru dan susuk sangar pengawal diraja tersebut sudah berdiri di belakangnya. Menundukkan kepala beberapa detik.

"Katakan. "

" Balai Temenggung telah menangkap dua orang adik beradik yang memiliki plat Legius. Athreyu dan Kaiiara dari Keluarga Eleius.Berasal dari Permukiman Lemuria. "

Baru. Masih sangat baru kedua-dua nama tersebut terutamanya Kaiiara berlegar dalam fikiran Putera Amadeus dan kini Panglima Agean pula mengatakan bahawa kedua-duanya telah ditangkap oleh Balai Temenggung.

" Atas kesalahan apa? "

" Kaiiara melepaskan panahan dan hampir mengenai Penasihat Diraja. "

Tanpa mendengar penjelasan daripada Panglima Agean, Putera Amadeus mencapai baju luarnya yang tergeletak di atas permukaan katil lalu menyarung tergesa-gesa.

" Tuanku! " Panglima Agean menghadangi langkah tergesa-gesa Putera Amadeus dengan merentangkan tangan kanannya memaksa pemuda itu memaku langkah.

" Tuanku tahukan apa maknanya? " Gurat sinar mata risau jelas pada penglihatan Putera Amadeus dan dia sangat arif apa yang akan diperkatakan Panglima Agean.

Di istana tidak ada sesiapa pun yang tidak mengenali siapa gerangan Penasihat Diraja. Tuan Andrios yang jika dilukiskan satu hierarki kuasa Keluarga Ares-dia menduduki strata kedua selepas Tuan Ares sendiri yang merupakan ayah kepada permaisuri kerajaan Darmenta. Bukan itu sahaja, bahkan lebih daripada separuh jawatan-jawatan penting kerajaan semuanya dipegang oleh keluarga tersebut.

Dan kini, peluang untuk menjatuhkan Keluarga Nyima melalui Putera Amadeus tidak akan disia-siakan. Keluarga Ares akan meletakkan segala kesalahan keluarga tersebut dipikulkan ke bahu Putera Amadeus apatah lagi semua bukti mengarah kepadanya.

" Tapi, bukankah beta mengatakan bahawa Keluarga Eleiuslah yang menyelamatkan beta tempoh hari? " Putera Amadeus menggenggam tangannya risau " Dan mereka datang ke ibu kota juga pasti kerana beta yang menitahkan. "

" Patik tahu tuanku. Tapi bukan dalam keadaan sekarang."

* * *

Kaii duduk berpeluk tubuh dengan belakang rapat ke dinding dan dalam masa yang sama menutup matanya. Cuba menjernihkan semula fikirannya yang masih mencerna apa yang sudah berlaku.

Dia tahu jika didapati bersalah, hukuman yang menimpa mereka berdua tidak akan kepalang tanggung. Menyinggung para bangsawan sahaja boleh dihukum sebat, apatah lagi dengan kesalahan hampir membuatkan bangsawan ternama kerajaan Darmenta terkena panahan.

Berdiri daripada hamparan jerami yang ditabur sekehendak hati semata-mata bagi mengelakkan daripada para tahanan Balai Temenggung kesejukan begitu, ditinjaunya halaman hadapan. Kosong dan hanya dua tiga orang pengawal kelihatan mundar-mandir lengkap dengan tombak masing-masing.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now