BABAD 13

161 16 2
                                    

Tiba-tiba sahaja dia bangkit daripada tempat pembaringannya dan tergesa-gesa mencari sesuatu dari dalam laci almari yang sebenarnya sudah kelihatan senget dan sukar untuk ditutup . Cahaya daripada unggun api yang dinyalakannya telah lama padam dan kini dia bergerak hanya berpandukan kepada sorot temaram bulan pucat di dada langit yang menerobos melalui lubang-lubang kecil pada atap pondok lusuhnya.

Pondok lusuh itu seperti keadaan luarnya tidak ada yang terlalu berbeza.Ada daun pintu yang tergantung senget dan akan meliuk-liuk setiap kali angin bertiup sedikit keras.

Sebenarnya ia tidak pun berfungsi sebagai pintu bagi menghalang orang yang tidak berkenaan memasuki rumah tersebut kerana jika dilihat dengan mata kasar,tidak ada satu pun barang berharga di dalam pondok tersebut yang melayakkannya untuk dicuri.

Lantainya hanya tanah yang semakin licin akibat dipijak setiap hari manakala dinding pondok tersebut merupakan bilah-bilah kayu yang dipacak rapat antara satu sama lain dan pada bahagian yang tidak mampu diselitkan kayu ,kain-kain lusuh digantung menutupi celah dinding yang secara logiknya hanya untuk mengelakkan daripada apa yang dilakukan oleh penghuni rumah dapat dilihat oleh para penduduk yang sesekali lalu di kawasan tersebut.

Memasuki pondok tersebut,alas tidur yang dibentang pada permukaan pangkin rendah yang dipacak seadanya itu sudah nipis dan tidak menyenangkan jika berbaring diatasnya -adalah perkara pertama yang akan dilihat.

Sebiji bantal,sehelai selimut dan kain baju yang disidai rendah menyapu kepala pada sudut yang tidak dibasahi hujan.Lalu ada sebuah meja di tengah ruangan dan sebuah almari senget yang menempatkan pinggan,gelas dan peralatan dapur yang kecil untuk kegunaan tuan rumah.

Lelaki itu-tidak ada seorang pun daripada penduduk Pekan Annara yang tidak mengenalinya kerana ia selalu dilihat berada di kawasan tersebut sama ada menawarkan diri untuk diberikan pekerjaan dan diberikan imbalan berupa makanan ataupun sekadar termenung berlama-lama di pinggir sungai yang merentangi pekan tersebut.

Jika ditanya kepada para warga,pasti jawapan mereka sama bahawa mereka tidak tahu dari mana lelaki tersebut berasal dan tidak dapat diketahui juga akan susur-galur keluarganya mahupun apa tujuannya datang ke pekan tersebut.

Batang tubuh lelaki itu sudah tua malahan mulai menghampiri renta.Rambutnya putih dan panjang hingga melepasi bahu jika dia tidak mengikatnya ke belakang kepala.

Walaupun demikian,sinaran matanya yang teduh kadangkala menusuk tajam seakan mampu menembusi rasa hati yang paling dalam sekalipun.Dengan kening yang juga sudah memutih,janggut yang merayapi bingkai dagu dan pakaian labuh ihsan warga pekan yang prihatin kepadanya,dengan mudah sahaja dia dikenali kerana tidak ada sesiapa yang berpenampilan sepertinya di pekan itu.

Namun kerana lelaki tersebut tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada sesiapa,maka dibiarkan sahaja dia berada di pekan tersebut selama mana yang dia ingini.Salah seorang daripada penduduk pekan tersebut dengan senang hati telah memberikan sebuah pondok tempatnya bernaung dan ia berlangsung begitu-begitu sahaja.

Hanya perlu beberapa minggu untuk lelaki tua tersebut disenangi oleh para penduduk Pekan Annara terutama sekali kanak-kanak kerana keahliannya sebagai pencerita yang mengisahkan bermacam kisah yang menarik dengan gayanya yang bersahaja.

Justeru tidak menghairankan jika dia seperti magnet yang menarik kanak-kanak untuk mengerubunginya setiap kali dia sudah duduk bersila .Jika dia menjuntai kaki ke dalam sungai dan memulakan kisahnya,bukan sahaja kanak-kanak malahan ada pula orang dewasa yang mendatanginya untuk mendengarkan kisah yang diceritakannya.

Terhisaplah mereka dalam pusaran imaginasinya yang indah,mengesankan dan menakjubkan itu.Butir kata dan pilihan nadanya seperti tinta ajaib yang melukiskan setiap watak dalam hikayatnya dan menjelma menjadi nyata yang memukau setiap indera pendengarnya.

Jika dia mengisahkan perihal seorang putera raja yang teraniaya dalam kancah perebutan takhta,para pendengar akan menahan nafas membayangkan pertempuran besar-besaran yang dihadapi oleh sang putera bersama ribuan tentera berkudanya.

Para pengagumnya pula berdecak kagum membayangkan junjungan rakyat jelata itu melepaskan anak panah dalam keadaan kuda pacuannya sedang berlari kencang seperti angin Selatan yang membelah padang rumput.

Begitu juga ketika dia memerihalkan susuk tubuh sang putera mahkota ,anak-anak gadis yang singgah mendengarnya tersenyum sipu seakan sedang berdiri di hadapan susuk tampan sang pangeran.

Malahan jika dia mengatur kata untuk menggambarkan peri keelokan paras seorang gadis yang menurutnya mampu membuatkan Bunga Eleis menjadi cemburu -namun sayangnya dizalimi dan akhirnya bertemu dengan sang belahan hati,para pendengar kadang tersenyum simpul,mengetap gigi menahan rasa dan tidak kurang pula ada yang diam-diam mengesat air mata .

Tidak hanya mampu melukiskan imaginasinya dengan kata-kata,malahan gerakan lembut jarinya tatkala memegang berus juga menambahkan aneh susuk tubuh lelaki itu.

Coretan warna pada helaian papirus yang dibentangkannya di sebarangan tempat dan waktu berupa gabungan bentuk-warna-garisan dan lakaran akan menjelma menjadi lukisan indah menggambarkan bebola matahari yang mulai terbenam ke peraduannya di banjaran sebelah barat.

Malahan mampu pula dia melukiskan pecahan buih laut yang menghempas pantai ketika angin Barat berpuput.
Hanya beberapa lorekan warna hitam yang digerakkan dengan cepat lalu dititikkan beberapa titis tinta merah ,dua warna tersebut menjelma menjadi pohon Plum yang tua tanpa daun pada penghujung musim luruh.

Atau jika dia sedang bersederhana dan tidak mahu terlalu memikirkan apa yang hendak dilakukannya,gerusan mata berus yang kasar berubah menjadi imej bongkah bukit batu kapur pada musim dingin di sebelah utara istana kota dan tidak kurang pula menjadi garisan dan imej abstrak yang mengerah para penggemarnya untuk memikirkan kemungkinan makna di sebalik karya tersebut.

Berikan sahaja kepadanya sehelai kertas dan sepotong arang,liuk tangannya pasti akan menghasilkan sesuatu yang unik dan memiliki keindahannya yang tersendiri.Di tangannya,dia mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa daripada hal paling biasa sekalipun.

Lalu,diberikanlah nama kepadanya. Si Pengisah.Sang pengkarya dengan tinta yang mampu memukau dengan imaginasi luar batasnya yang mengagumkan.Dan tahukan apa hal yang paling ajaib daripada kemampuannya sebagai pencerita dan pencoret hebat itu ?

Dia langsung tidak mengenali aksara dan nombor yang digunakan oleh penduduk dalam semua urusan dan rekod !

Malam itu setelah lelah berkalih dari kiri ke kanan,Si Pengisah bingkas bangun dengan mata yang berbinar walaupun sebenarnya dia sudah cuba untuk memujuk matanya agar segera terlena sejak awal malam tadi.Tetapi kerana fikirannya bersimpang-siur tidak keruan,maka rasa kantuknya tidak kunjung tiba walaupun malam telah lama melepasi dinihari.

Hanya dengan sedikit sorot cahaya bulan,tangannya sudah hafal benar di mana tombol laci senget itu lalu dia menjangkaukan jari meraih sesuatu di dalam laci.

Berhelai-helai lembaran papirus yang ditusuk benang daripada pintalan jerami sehingga menyerupai sebuah buku dengan sehelai pena bulu terselit di antara helaian kertas tersebut. Dalam temaram cahaya suram,pena bulu pelepah yang telah dicelupkan ke dalam bekas dakwat itu disepit antara jari telunjuk dan ibu jari.

Dengan jemari yang menggeletar,satu persatu lorekan hujung tirus pena bulu pelepah itu mula membentuk deretan huruf demi huruf.Burung pungguk mendadak berhenti merayu purnama tua di dada langit.Reriang senyap dan kunang-kunang seakan-akan berhenti untuk mengintip ke dalam pondok tersebut .Angin bahkan membeku tidak berani mengelus deretan pohon-pohon tua di pinggir halaman lalu menyertai kebisuan malam.Kaku seketika tatkala aksara demi aksara mulai membentuk enam patah perkataan di atas permukaan helaian papirus tersebut.

BABAD SARIBU BHYANGKARA-DIA YANG DINANTIKAN.

*                  *              *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now