BABAD 12

156 15 17
                                    

Argeia segera memperlahankan langkahnya apabila tiba di halaman rumah tumpangan yang didiami mereka bertiga. Itupun masih dengan leher yang tertoleh-toleh ke belakang kerana khuatir lelaki-lelaki tadi masih mengekorinya sehingga ke situ.

Mujur sahaja dia berjaya memperdayakan mereka dengan memilih lorong yang lebih jauh malahan terpaksa menyelit antara ruang sempit dinding-dinding kedai agar lelaki yang mengekorinya tidak akan dapat mengikutinya lagi.

Menanggalkan kasut jerut dari jerami yang mendakap mata kakinya itu seraya menghela nafas,matanya mengernyit bingung. Hairan bagaimana lelaki itu masih mengenalinya walaupun telah puluhan tahun mereka tidak bertemu.

Bahkan, selama ini bukan tidak pernah dia datang menghantarkan barang dagangan ke Pekan Annara namun sehingga hari ini dia masih berjaya menyembunyikan wajahnya malahan bebas pula untuk ke sana ke sini tanpa perlu risau bahawa dirinya akan dikenali sesiapa.

Merenung jauh ke satu arah, dadanya berat serta-merta. Ada satu bingkai wajah yang tertayang semula ke tubir mata. Kalau boleh, dia memang tidak mahu mengingat semula kejadian tersebut malah ingin sekali ingatan itu dipadamkan terus dari ruangan memorinya namun apakan daya. Pekan Annara dan ceruk-ceruk gelap lorong belakang rumah kedai itu masih ada dan menjadi saksi bagaimana dia...

*              *              *

Langkahan kaki Kaii yang sedikit berlari anak akibat cuba supaya tidak ketinggalan oleh kuakan kaki sang abang yang jauh lebih lebar itu tiba-tiba sahaja terpaku ke permukaan tanah apabila dari celah kegelapan malam puluhan malah ratusan kerta berhamburan di udara. Lambat-lambat melayang lalu mendarat berhampiran kakinya.

" Tangkap dia!! "

Separuh terperanjat dan terpinga-pinga, Kaii menepi sementara tangan Athreyu melintangi tubuh adiknya agar tidak dirempuh oleh sekumpulan lelaki yang lengkap berpakaian tentera itu. Berlari pantas dari hujung lorong sambil membawa obor. Jelas sekali daripada situasi terburu-buru begitu, mereka sedang mengejar seseorang.

Athreyu sudah menggeser hulu pisau pendek di dalam saku bajunya apabila dua orang daripada gerombolan tersebut mendekati mereka dengan tatapan curiga. Hangat cahaya obor menyambar wajah tatkala obor tersebut didekatkan ke arah wajah mereka agar bingkai mereka tampak lebih jelas kepada para peronda Riet itu.

" Apa yang kalian berdua lakukan
di sini? "

Tanpa menjawab, pemuda itu mengeluarkan dua kepingan kulit yang terukir nama masing-masing berserta nama keluarga yang memiliki fungsi seperti pengenalan diri setiap warga.

" Athreyu dan Kaiiara dari Keluarga
Eleius.Pedagang dari Permukiman Lemuria. "

Dua pasang mata merayapi bingkai wajah dua beradik itu buat seketika lalu menunduk hormat.

" Maaf saudara. " ujar salah seorang daripada peronda Riet itu " Saudara ada bertembung dengan seseorang dengan keadaan yang mencurigakan? "

Athreyu menggelengkan kepala dan jawapan ringkas itu segera dimengertikan sebagai isyarat bukan lisan bahawa mereka tidak menemui sesiapa pun.

" Baik. Bersegeralah pergi dari sini. Menjelang waktu malam, agak bahaya jika saudara masih berkeliaran di lorong-lorong gelap begini"

" Maaf jika bertanya. " Athreyu menahan langkah kakinya buat seketika " Tapi orang bagaimana yang tuan-tuan maksudkan? "

" Setakat ini tidak ada sesiapa yang mengetahui bagaimana rupa sebenarnya tetapi Balai Temenggung menamakannya dengan nama Penulis Merah dan dia merupakan orang paling dikehendaki di seluruh ibu kota. "

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now