BABAD 5

229 20 20
                                    

Saat pintu berbingkai kayu itu ditolak dari luar,masih juga dengan pandangan mata yang meliar –dia mengengsot pantas ke tepi dinding.Merapatkan tubuhnya sedekat yang boleh.Wajah wanita dengan sanggul kemas di belakang kepala itu sesekali dipandang bingung.

Jika dihitung-hitung,mangkuk tembikar itu merupakan mangkuk yang keempat disuakan ke hadapannya tetapi rasa bingung dan ragu yang membungkusnya ketika itu membuatkan rasa laparnya cuba dibungkamkan dengan andaian-andaian aneh tentang makanan tersebut telah dibubuh dengan benda yang tidak patut.

Sebenarnya tidak ada yang aneh tentang makanan yang dihantarkan wanita itu.Selain semangkuk bubur barli yang sepertinya direneh lama bersama bijian kekacang seperti kacang hitam dan kacang tanah,jelas dilihat ada potongan-potongan sayur seperti lobak merah dan juga kentang yang dipotong dadu.Sementara pada pinggan yang lain,ada siatan-siatan isi ikan yang telah dibuang tulangnya.

Lalu kepada mangkuk lain yang masih mengepulkan asap.Jelas di dalammya terdapat dadu hijau yang segera dikenali sebagai ketulan labu muda,hirisan sayuran dan juga ketulan putih tauhu yang terendam di dalam cairan sedikit likat berwarna putih kecokelatan.Ada pula buah-buahan serta koleh tembikar yang berisi teh.

" Kenapa Kaii tak makan?"

Mata dengan iris cokelat wanita itu merayapi sekujur wajah di hadapannya ketika itu.Perlahan-lahan gelas tembikar yang masih terlungkup itu diterbalikkan lalu isi koleh bertangkai tersebut dituangkan ke dalamnya.

" Mak masak semua makanan kesukaan Kaii. Ini.." Wanita itu menolak mangkuk berisi bubur tersebut lebih dekat ke arah tubuh yang menghimpit ke dinding itu " Bubur barli kesukaan Kaii.Mak reneh lama dengan air rebusan ayam tau.."

Sekilas,pandangan gadis tersebut menebarkan gurat ragu.Walaupun ada banyak hal yang membuatkan dia berwaspada dengan keadaan serta kehadiran tiga susuk tubuh tersebut,namun keperluan alami tubuhnya sesekali mengalahkan kawalan mindanya sendiri apabila menyedari perutnya mulai bergelojak melihat hidangan-hidangan tersebut.Bau harum daripada bubur barli,sup di dalam mangkuk yang satu lagi,isi ikan yang putih serta harum teh yang beraroma bunga itu mengundang rasa laparnya secara tiba-tiba.

Menyedari makna tatapan mata anak itu,masih dengan senyuman yang tidak lekang dari sepasang ulas bibirnya-wanita tersebut menyudu beberapa senduk bubur barli ke dalam sebuah mangkuk kosong lain yang sengaja dibawanya dari dapur.Mengambil siatan isi ikan dan menyudu juga sup sayur itu.Mencampurkan sekaligus ke dalam mangkuk kosong yang dibawanya lalu menyuap makanan tersebut ke dalam mulutnya.

Dan apabila menyaksikan sendiri wanita itu baik-baik sahaja walaupun telah menghabiskan bubur di dalam mangkuknya,perlahan-lahan dia menjulurkan tangan cuba meraih mangkuk di hadapannya.Sekali suap.Sedap.Suapan kedua,masinnya sedang elok pada tunas rasanya.Suapan ketiga.Suapan seterusnya dan tanpa sedar isi mangkuk tersebut semakin berkurangan.Begitu juga dengan sup sayur serta isi ikan yang dihidangkan kepadanya itu.

" Kaii.."

Berada sudah dua hari di situ dengan seluruh isi rumah memanggilnya dengan nama tersebut,spontan sahaja dia mengangkat wajah.

" Makan dan cuba untuk berehat.Mak,ayah dan abang ada di luar.Panggil kalau Kaii perlukan apa-apa."

Melihat bagaimana senyuman wanita itu mekar tatkala mengusap lembut kepalanya,ada sedikit rasa tidak sampai hati membuatkan dia membiarkan sahaja perlakuan wanita itu kepadanya.Dia tahu wanita itu banyak bersusah-payah deminya sejak hari pertama dia terjaga di tengah-tengah ruangan bilik tersebut.

Membawakan makanan untuknya malahan bukan tidak disedarinya pada waktu malam wanita itu akan mendatanginya hanya sekadar untuk merapikan selimutnya ataupun menekapkan tangan ke dahi bagi memeriksa sama ada dia masih demam atau sudah kebah.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now