BABAD 40

91 15 2
                                    

Istana Darmenta pasca pemberontakan yang didalangi oleh blok Keluarga Ares senyap sunyi seperti baru sahaja diamuk taufan. Sehingga malam menjelang, para dayang dan pekerja istana bertungkus lumus bagi mengembalikan istana kepada keadaan asal.

Tidak ada kelihatan dayang-dayang yang berbisik-bisik sesama sendiri dalam keadaan begitu. Semuanya senyap menyempurnakan tugas yang diberikan kepada mereka.Keadaan jelas tegang dan mencengkam. Rata-rata masih terkejut dan ketakutan dengan kejadian tersebut dan tambah mengejutkan dengan kemunculan Raja Metheus yang tampak begitu murka.

Ketika para dayang dan pekerja membersihkan setiap ceruk istana, Balai Temenggung paling sibuk antara semua.Jamung-jamung dipacak dengan banyak sekali membuatkan kawasan tersebut terang benderang.

Saki baki tentera pemberontak yang tersisa dihumbankan ke dalam penjara sementara menunggu hukuman dijatuhkan oleh baginda Raja Metheus sendiri. Di mana-mana kelihatan tentera yang lengkap berpakaian perang berkawal pada tempat masing-masing.

Ada yang mengusung para tentera yang tercedera dan ada pula yang membantu menguruskan mayat para tentera yang terkorban dalam pertempuran tersebut. Seperti para dayang,mereka juga bekerja dalam dengan senyap kerana masing-masing tahu waktu begitu merupakan waktu yang sangat genting.

Selain Balai Temenggung, Pusat Perubatan Istana juga tidak kalah sibuknya. Bau ubat-ubatan direneh meruap menyesakkan hidung sementara para pekerja di bahagian tersebut berusaha untuk merawat para tentera yang tercedera.Ramai sekali sehingga para pekerja pusat perubatan tidak menang tangan merawat mereka.

Suara erangan kesakitan kedengaran dari segenap penjuru sementara di ruangan hadapan pusat perubatan tersebut, ada mayat berselubung kain yang terbujur kaku. Menunggu para waris untuk menuntutnya pada keesokan hari.

Dalang penyebab kekecohan itu lenyap tidak tahu entah ke mana namun usaha mencarinya giat dijalankan oleh anggota Balai Temenggung dan para anggota Riet.

Sementara itu, di balairong seri suasana terasa hening mencengkam. Para bangsawan dan menteri kerajaan tunduk ketakutan di hadapan Raja Metheus yang duduk megah di atas takhta baginda sambil matanya menatap nanar para bangsawan dan juga menteri-menteri yang berkumpul ketika itu.

Para ketua keluarga dan bangsawan yang memihak kepada blok Keluarga Ares jauh lebih ketakutan dan langsung tidak berani mengangkat muka. Masing-masing tahu kesalahan yang dilakukan mereka merupakan satu kesalahan yang tidak dapat dimaafkan sama sekali melainkan hanya dengan belas ehsan Raja Metheus.

" Angkat wajah kalian semua."

Berat dan datar nada suara Raja Metheus kedengaran bergema dalam kesenyapan balairong seri ketika itu.Hatta bunyi yang kecil pun kedengaran kuat dalam balairong seri yang luas begitu.

" Kami tidak layak, tuanku! "

" Angkat kata beta!! "

Herdikan Raja Metheus benar-benar membuatkan para bangsawan dan menteri yang berada di situ terketar-ketar mengangkat wajah masing-masing.Gugup menghadapi kemarahan sang baginda raja yang tampaknya bukan alang kepalang.

" Pandang wajah beta dan katakan apa yang kurang daripada pemerintahan beta selama ini !"

Senyap. Sunyi kerana tidak ada seorang pun yang menyahut.Para ketua keluarga yang mengambil sikap berkecuali sekali pun tidak mahu menjawab pertanyaan Raja Metheus. Tersilap kata amat buruk padahnya.

" Beta tahu beta tidak akan pernah mampu untuk memuaskan hati dan kehendak semua orang. Dan kerana itulah beta perlukan bantuan juga jasa baik kalian agar kita bersama-sama dapat mentadbir Darmenta dengan lebih baik. Tapi kenapa hal sebegini masih boleh berlaku??"

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now