Bunyi mangga tembaga yang berderak kasar membuatkan Kaii segera membuka mata.Seperti yang didengarnya,jelas kelihatan dua susuk tubuh anggota Balai Temenggung sedang berdiri di muka pintu bilik kurungan.
Salah seorang daripadanya memegang obor sementara seorang lagi sedang membuka pintu.Dengan wajah bengis dan langsung tidak bersahabat,salah seorang daripada anggota Balai Temenggung tersebut meraih lengan Kaii lalu menariknya untuk segera mengikuti langkah mereka ke arah halaman belakang.
Halaman belakang Balai Temenggung terang benderang oleh kilauan api obor yang dinyalakan pada segenap penjuru sementara panji-panji lambang kementerian undang-undang juga berkibar ditiup angin.
Melihat daripada pakaian yang menyarung tubuh seorang lelaki di atas tempat duduknya yang nyata lebih tinggi daripada halaman belakang Balai temenggung tersebut,Kaii tahu dia sedang berhadapan dengan salah seorang daripada petinggi kerajaan Darmenta.
Berkemungkinan besar salah seorang daripada orang penting Balai Temenggung.Jubah kerajaan ,ikatan rambutnya yang kemas sehinggalah kepada dua orang lelaki berwajah dingin yang siaga mengapitnya di sebelah kanan dan kiri.Segalanya menyebar aura autokrasi yang bukan main-main.
Ditolak secara paksa ke atas permukaan halaman belakang Balai Temenggung yang kasar,Kaii mengetap gigi ketika lututnya mendarat pada permukaan tanah dengan kedua-dua tangannya terpasung ke belakang.
" Kaii.." Athreyu kelihatannya seperti ingin menerpa sang adik namun jelas pada riak wajah anggota Balai Temenggung yang mengawalnya bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk menghayun hulu pedang jika pemuda itu berani macam-macam.
" Kaii tidak apa-apa?"
" Saya tidak apa-apa.Jangan risau.."
Kaii sebenarnya jauh lebih merisaukan sang abang yang jelas kelihatan sedang berada dalam keadaan yang tidak jauh lebih baik daripadanya.Ada lebam ungu yang samar pada pipi Athreyu sementara pada sudut bibirnya luka memar tidak dapat disembunyikan daripada penglihatan sesiapa pun.
Pasti ulah anggota Balai Temenggung yang melakukan soal-siasat akan kejadian tersebut.Seperti penjenayah yang sedang menunggu untuk dijatuhi hukuman mati,mereka berdua dihenyak kasar.Panglima Medeia yang turut berada berhampiran lelaki pertengahan usia tersebut menatap tajam.
" Athrey dan Kaiiara daripada Keluarga Eleius." Lelaki berpakaian jubah kemegahan Kerajaan Darmenta itu mengeraskan suara" Terangkan apa sebenarnya yang berlaku!"
Kaii bingung hendak mengatakan apa kepada pertanyaan tersebut.Bagaimana mungin dia mampu menerangkan hal tersebut sehingga mereka memahaminya tanpa banyak soal?
Bahawa dia tahu lelaki bertopi jerami tersebut akan melepaskan panahan kepada salah seorang daripada petinggi kerajaan?
Ataupun bagaimana dia mampu memintas panahan tersebut kerana segala-galanya berlaku seperti satu adegan gerak perlahan sahaja pada penglihatannya?
Atau bagaimana dia memiliki kemahiran memanah sedemikian kerana dia merupakan salah seorang daripada atlet sukan memanah yang selalu menggondol pingat emas dalam setiap kejohanan yang disertainya?
Dan yang lebih tidak masuk akal hatta kepada pendengarannya sendiripun ialah dia-seorang gadis yang mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya sendiri dengan terjun ke dalam laut ketika alam sedang gegak gempita dan tahu-tahu sahaja dia sudah berada di Permukiman Lemuria.Malahan dikenali sebagai Kaiiara anak perempuan kepada Argeia daripada Keluarga Eleius?
Bukankah ia kedengaran seperti sebuah dongengan paling tidak masuk akal hanya semata-mata untuk melepaskan diri daripada dijatuhi hukuman?
Satu tamparan yang kuat membuatkan Kaii tersentak kerana tidak menyangka sama sekali bahawa lelaki jangkung yang berdiri siaga di hadapannya itu berani melayangkan satu tamparan ke wajahnya.Athreyu di sebelahnya sudah kelihatan seperti seekor seladang yang memerlukan dua orang anggota Balai Temenggung untuk memastikanya tetap berada di tempatnya dalam keadaan melutut.
YOU ARE READING
Babad Saribu Bhyangkara
AdventureKaii, seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya.Dalam keadaan demikian, dia mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan terjun ke dal...