Derapan langkah yang kedengaran berderak-derak itu pasti kerana para tentera yang menjalankan tugas rondaan tersebut mengenakan seragam lengkap mereka.Bunyi derapan kaki sahaja sudah cukup menimbulkan rasa kagum dan hormat para warga yang mendengarnya.
Para peronda itu mengenakan baju kapas yang labuh hingga mencecah lutut tetapi dijerut ke pinggang dengan tali pinggang yang mempamerkan jata rasmi Kerajaan Darmenta.Dua bilah pedang bersilang yang ditadah oleh dua batang ranting .
Setiap satu daripada ranting tersebut memiliki enam helai daun dan jika dijumlahkan ia mewakili dua belas tanah jajahan yang membentuk Kerajaan Darmenta.Jika ranting mewakili jumlah tanah jajahan,pedang pula menjadi perlambangan kepada kedaulatan dan kemakmuran rakyat dibawah pemerintahan monarki dan para bangsawan istana.
Lengkap pula mengenakan kasut berladam dan juga membawa senjata.Para penduduk Pekan Annara yang masih berjaga pada waktu begitu,segera menepi jika berpapasan dengan para tentera.
Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan mereka kerana kelibat gerombolan tentera yang lengkap dengan senjata itu hanyalah protokol biasa.Setiap empat jam sekali,sekumpulan tentera yang menjalankan tugas rondaan akan mengitari kawasan pekan tersebut yang merupakan sebuah pekan paling sibuk di ibu kota dan menjadi tumpuan serta menjadi pintu masuk ke istana.
Satu kumpulan tentera yang menjalankan tugas meronda dinamakan dengan Riet dan terdiri daripada enam orang tentera yang lengkap bersenjata diketuai oleh seorang ketua berpangkat paling kanan dalam pasukan tersebut.
Kerana tugasan mereka selalu berhadapan dengan orang awam serta kemungkinan berlaku kejadian yang tidak diingini,maka mereka merupakan tentera yang terlatih dalam teknik-teknik pertempuran dan penggunaan senjata.Dua orang daripada setiap satu ketumbukan Riet terdiri daripada pemanah manakala baki empat lagi membawa pedang dan tombak.
Pekan Annara merupakan sebuah pekan padat yang terdiri daripada puluhan rumah kedai beratap genting dan terletak berhampiran antara satu sama lain.Deretan rumah- rumah kedai tersebut ada yang setinggi satu tingkat dan kebanyakan binaan tersebut merupakan rumah-rumah kedai ekslusif yang menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman serta rumah tumpangan yang lumayan mewah bahkan ada pula yang menjalankan kedua-dua perniagaan tersebut secara serentak yakni menawarkan perkhidmatan penginapan dan dalam masa yang sama pula memiliki ruangan tertentu untuk menerima pelanggan yang datang ke situ untuk menikmati makanan .
Pada rumah-rumah kedai setinggi satu tingkat,rata-rata rekaannya hampir serupa dengan memiliki anjung luas yang tidak berdinding hanya dibatasi oleh kayu-kayu bulat yang licin separas pinggang.Tiang-tiang bulat menyangga rangka bumbung sementara bingkai selisir atap pula ada yang berukir dengan motif yang halus dan kemas.
Sementara itu, meja-meja bulat terletak pada tempat-tempat tertentu namun kebanyakannya sengaja di tempatkan lebih hampir ke beranda bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati makanan dan dalam masa yang sama menikmati pula panorama seluruh Pekan Annara yang makmur serta jalan berbata di bawah sana.
Pohon-pohon berdaun lebat yang ditanam tersusun pada jarak tertentu serta tanaman hiasan pada halaman dan ruang hadapan kedai tegak dalam kegelapan malam yang telah berlabuh di kawasan permukiman tersebut.
Lampu-lampu di dalam bekas-bekas tembikar yang dinyalakan oleh pemilik kedai mengerlap dan menambahkan semarak pekan tersebut.Pada beranda aras yang lebih tinggi,lampu –lampu kelihatan bergantungan pada bingkai atap dan cahayanya jatuh menimpa hiasan-hiasan ruangan tersebut seperti deretan pasu yang ditanami bunga ataupun arca-arca kecil serta perincian halus yang terdapat di ruangan tersebut.
Selain daripada rumah-rumah tumpangan,rata-rata kedai rumah dan juga kedai di sekitar pekan tersebut telah tutup dengan pintu hadapan yang berkunci dan ia menjadikan suasana sekitar senyap sahaja selain suara margasatwa malam yang kedengaran serta sekali-sekala bunyi ketukan plat besi yang dibawa oleh petugas-petugas Riet bagi menandakan keberadaan mereka di sekitar kawasan Pekan Annara.
YOU ARE READING
Babad Saribu Bhyangkara
AventuraKaii, seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya.Dalam keadaan demikian, dia mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan terjun ke dal...