BABAD 30

101 17 10
                                    

Pemuda bertubuh tegap dengan wajah dingin tidak bersahabat itu hanya tegak memerhatikan bagaimana Tuan Ares melampiaskan rasa amarahnya dengan membanting cawan juga teko teh daripada tembikar mahal itu ke dinding.

Rakannya yang membawa khabar tersebut juga tidak berani mengatakan apa-apa.Kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

" Sepertinya mereka sangat arif tentang selok-belok istana. "

Ia membawa makna bahawa susuk pemuda berpakaian hitam yang menyelinap masuk ke dalam kamar peraduan diraja merupakan susuk yang kerap keluar masuk ke dalam kawasan istana. Tahu masa ketika pertukaran tugas para pengawal diraja yang berkawal di anjung barat. Malahan boleh pula melarikan diri daripada kepungan para pengawal diraja dengan begitu mudah.

" Kau pasti? " meliar tatapan mata Tuan Ares ke arah wajah pengawal peribadinya yang tegak seperti arca lengkap berpedang itu.

" Pasti, tuan. " pemuda tersebut menyahut tegas " Susuk berpakaian hitam tersebut sememangnya handal bertarung dan berpedang. "

Habis sudah cawan-cawan teh mahal berhamburan pecah di atas lantai, Tuan Ares tanpa sedar menumbuk permukaan meja dengan geram.

Lagi-lagi susuk berpakaian hitam itu!

Apa belum cukupkah dengan kelakuannya menyebarkan risalah tentang kepincangan sistem politik negara semasa pesta di Pekan Annara itu ?

Bagaikan satu percikan api yang sangat kecil,susuk misteri tersebut perlahan-lahan mulai meninggalkan kesan. Risalah tentang ura-ura kerajaan untuk menaikkan cukai menyemarakkan bantahan daripada golongan cendekiawan dan Tuan Ares tahu tidak selamanya mereka boleh menggunakan alasan bahawa baginda raja masih belum sihat sebagai sebab untuk menolak kunjungan wakil golongan cendekiawan yang ingin bertemu sendiri dengan Raja Metheus.

Kini lengkap sudah punca sakit kepala Keluarga Ares. Susuk kurang ajar yang menyebarkan risalah di ibu kota itu berani pula memecah masuk ke dalam kamar diraja.

Semuanya dilakukan oleh orang yang sama !

" Hamba berjaya melukai rusuk kanannya, tuan. "

Tuan Ares diam menghening cipta dan dalam masa yang sama otaknya bekerja keras untuk menangkap susuk misteri tersebut.

Bagaimana mungkin susuk berpakaian hitam tersebut dapat melepasi kepungan dan kawalan ketat istana? Dan tahu-tahu sahaja lelaki tersebut hilang tanpa dapat dikesan. Maka, jelaslah dia bersembunyi di dalam istana ataupun ada yang menyembunyikannya.

Diperiksa dengan teliti, tidak ada barang berharga yang hilang dan Tuan Ares pasti mencuri barangan berharga dari istana bukan tujuan lelaki berpakaian hitam itu menyelinap masuk ke dalam kamar peraduan diraja.

Tetapi dengan kegemparan demikian tidak ada apa-apa yang mencurigakan berlaku di setiap pintu masuk utama ke istana. Susuk lelaki tersebut hilang begitu sahaja seperti angin.

Dan jika difikirkan dengan cermat, hanya ada satu jawapan yang sangat berkemungkinan iaitu susuk berpakaian hitam tersebut merupakan salah seorang daripada penghuni istana!

Hanya sahaja telah puas dipertimbangkan oleh Tuan Ares tetapi tidak ada sesiapa yang muncul di dalam benaknya.

Putera mahkota boneka tidak berguna itukah? Sudah tentu jauh sekali. Bila masa dia memperuntukkan tenaga dan waktu untuk berlatih berpedang dan seni bela diri dalam keadaan hampir separuh usianya dihabiskan dengan mengunjungi rumah-rumah tumpangan di ibu kota?

Di dalam istana, siapa tidak mengenali gerangan dua gadis penghibur kesayangan sang putera iaitu Efra dan Azka? Besar keyakinan Tuan Ares bahawa Putera Amadeus lebih banyak tidur diulit muzik, makanan mewah dan wanita-wanita jelita berbanding melelapkan mata di kamar peraduannya sendiri.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now