BABAD 4

275 26 11
                                    

Sinar matahari yang baru merekah dari sebalik banjaran bukit-bukau yang melingkari kawasan permukiman tersebut menerobos masuk lambat-lambat melalui celah daun tingkap yang bertutup .Asap dari cerobong  yang mencuar dari atap dapur para warga permukiman meliang-liuk di dalam kedinginan pagi yang masih terlalu muda.

Susuk tubuh yang berselimut dari mata kaki ke paras dada itu kelihatan bergerak sedikit bagaikan cuba melegakan sendi-sendinya yang kaku setelah terbaring di tengah ruangan tersebut.Sebatang lilin yang sudah hampir habis dengan sisa lelehannya berlonggok di atas permukaan bekas menyisakan api yang hampir padam.

Rangka atap daripada kayu bulat yang membentuk penyokong bagi  struktur atap daripada jerami itu adalah imej pertama yang memenuhi penglihatannya.Turun sedikit ke bawah ialah dua buah tingkap berbingkai kayu yang tertutup rapat mengapit sebuah pintu.Dan apabila melihat satu susuk tubuh yang menutup mata dalam keadaan bersandar ke dinding,serta-merta dia bingkas bangun.

Hal pertama yang disedarinya ialah ruangan di dalam bilik tersebut terang dan jelas dalam penglihatannya.Tidak kabur seperti sedang melihat sesuatu melalui lapisan kabus atau asap yang jelas.

" Kaii.."

Nama aneh dan asing tetapi disebutkan kepadanya dengan disertai riak wajah yang cemas.Susuk tubuh pemuda yang bersandar di tepi pintu dan berpeluk tubuh sambil memejam mata itu mendekatinya dengan pantas.

" Mak !! Pemuda itu melaung seseorang.
" Ayah !! "

Hanya jeda beberapa detik,seorang lelaki dalam usia hampir ke penghujung lima puluhan dan seorang wanita memasuki bilik tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.Dengan mata yang membola,dia berundur pantas ke arah dinding.Bingung dan hairan bagaimana dia boleh berada di dalam ruangan tersebut dengan tiga orang sedang menatapnya kerisauan.

" Kaii tak apa-apa?"

Kaii ? Siapa dia?

Lelaki yang lebih berusia itu mendekatinya dengan wajah risau dan matanya terbelalak lebar apabila lelaki itu melekapkan tapak tangannya ke dahi.

" Badannya masih panas." Toleh lelaki itu kepada wanita yang juga sedang memandangnya dengan kerisauan
" Renehkan teh barli nanti.."

" Tappiii...siappaa kkaaliiannn..? Aku di mana??  "

Wanita itu mengukirkan sebingkai senyum yang lembut lalu tanpa diduga sedikitpun,tubuhnya didakap kejap .

" Kaii berehatlah.Mak dan ayah ada di depan.Atau panggil abang jika Kaii perlukan apa-apa.."

Bagaimana mungkin dia hendak menyahut dalam keadaan demikian.Tiba-tiba sahaja berada di tempat yang sama sekali asing kepadanya lalu muncul pula tiga orang yang mengatakan mereka ialah ibu,ayah dan abangnya !

Seperti pintasan aneh yang sangat kabur dalam ingatannya,dia sekali imbas dapat melihat seseorang sedang berdiri di tubir jambatan dan bayangan air yang gelap berolak-olak.Tapi, sebelum itu..

Dengan rasa tidak percaya kedua-dua tapak tangannya dilekapkan ke muka,atau lebih tepatnya ke arah mata.Mengerdipkan beberapa kali lalu kembali menurunkan tangannya.Terang. Jelas dan segala-galanya normal sekali.Tidak ada lapisan seperti kabus atau asap tebal yang  mengganggu penglihatannya.

Lilin hampir habis berwarna putih dengan sumbu hitam.Lalu kepada pinggan tembikar sumbing yang digunakan untuk menadah lilin tersebut.Warna perang kecokelatan.Dinding-dinding berwarna cokelat gelap.Bingkai jendela daripada kayu,bingkai pintu,bumbung,kain tebal yang digunakan sebagai alas tempat untuknya merebahkan diri,bantal kapas bersarung putih malah hiasan-hiasan sederhana bilik tersebut.Berwarna dan jelas dalam penglihatannya.

Merangkak takut-takut mendekati jendela,lagi-lagi matanya membulat.Melalui jendela yang mudah sekali ditolak,hal pertama yang dilihanya ialah halaman sisi yang sempit bertanah merah.Hanya beberapa berjarak beberapa langkah,halaman sisi tanah merah itu berakhir dengan pagar-pagar kayu bulat yang dipacak sedikit rapat antara satu sama lain.

Melalui celah pagar,daun-daun jagung subur menjulai dipuput angin pagi yang terbilang masih dingin.Lalu ada kelihatan bunga jagung yang putih sedikit kekuningan.Lalu ada batas-batas yang dipenuhi terung dengan warna ungu gelap, cili yang berwarna hijau dan ada juga yang telah bertukar merah. Batas-batas sawi, junjung-junjung tomato yang sarat dengan buah. Sementara itu ada pula awan biru yang tinggi dan bersih dengan sedikit sahaja tompokan awan di langit sebelah kanan.

Susuk tubuh itu hampir sahaja terjerit apabila matanya kembali merayapi sekujur tubuh.Baju yang menyarung tubuhnya bukan lagi baju kemeja biru tua dengan seluar longgar warna hitam dan juga kasut bertapak rata tetapi sebaliknya sehelai baju separas siku berbutang empat di sisi rusuk kanannya dan juga seluar longgar bertali jerut daripada material kapas yang berwarna cokelat muda.

Penglihatannya.

Pakaiannya.

Dan ....rumah aneh serta kakinya yang langsung tidak berparut !

Mengepitkan kuku jari telunjuk dengan kuku ibu jari pada daging lengannya.Sakit.Bermakna bukan mimpi..

" Arrghhhhhhh...!!!! "

*                *              *

Lelaki berusia itu-Aergia- hanya menggelengkan kepala apabila terdengar pekikan kuat dari arah bilik yang menempatkan Kaii.Sementara sang isteri tergesa-gesa menuju ke bilik tersebut,dia dan anak lelakinya saling berpandangan tidak dapat mengatakan apa-apa.

" Kaii.." anak lelakinya menegapkan sila di hadapan si ayah " Kenapa dengan dia?"

" Pada pendapat kamu kenapa?"

" Apa yang difikirkannya ? " Athreyu mengerutkan kening. " Mujur sahaja ada orang perdesaan yang menemuinya.Apa perlu kita membawanya untuk bertemu dengan tabib di ibu kota?"

" Tunggu sehingga dia mampu menempuh perjalanan yang jauh.Ibu kota bukan dekat."

" Harapnya dia boleh ikut kita menjelang penghantaran minggu hadapan.Saya risaukan keadaan dia begitu,ayah."

Ayahnya hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda menyetujui cadangan anaknya walaupun sebenarnya dia tidak habis fikir apa yang dilakukan Kaii sehingga ditemui terdampar di tebing sungai begitu.Ketika hari sedang ribut lagi.Sedangkan beberapa hari kebelakangan ini,kelakuan anak itu biasa sahaja dan tidak ada yang mencurigakan berdasarkan tindak-tanduknya.

Apa kesulitan hidupkah yang membuatkan anak itu melakukan hal sedemikian? Jauh sekali malahan dia berani menjamin yang hal itu bukan disebabkan oleh perkara yang muncul serta-merta di dalam kepalanya.

Walaupun hidup mereka selama ini sederhana,mereka masih boleh dikatakan sebuah keluarga yang cukup walaupun tidak mewah.Pendapatannya sebagai tukang besi malahan sebenarnya lebih daripada cukup kerana setiap dua bulan sekali,dia bersama anak lelakinya akan bertolak ke ibu kota untuk menghantar tempahan dan juga menjual barang-barang dagangan mereka seperti pisau,parang ,mata tombak dan anak panah besi di Pekan Anarra.

Sementara menunggu tempahan yang diterimanya berjaya disiapkan,tanam-tanaman sara diri yang diusahakan mereka masih lebih dari mencukupi untuk menampung kehidupan mereka empat beranak.Dan begitu-begitu sahaja kehidupan mereka.

Kawan-kawan karibnya? Mereka mengenali dengan siapa Kaii bersahabat.Selain Athreyu tentunya,Eris dan Arae bukan kawan-kawan yang perlu dijauhi.Mereka merupakan sahabat-sahabat akrab Athreyu sekaligus juga menjadi sahabat Kaii kerana anak itu tidak ubahnya bagaikan benang dan jarum dengan sang abang.

Caranya membesarkan Kaii dan Athreyu? Rasanya tidak ada yang janggal.Mereka dibesarkan selayaknya seperti mana anak-anak yang lain di permukiman itu.Hanya sahaja Athreyu dididik agar menjadi lebih tegar dan keras kerana dia adalah anak sulung keluarga dan bertanggungjawab melindungi ibunya dan juga Kaii jika suatu masa nanti dia sudah tidak ada lagi.Ya.Sememangnya begitu sahaja tataan yang diterapkannya kepada anak lelakinya itu.Segala-galanya terlalu biasa.

Lalu,apa yang membuatkan Kaii boleh ditemui hampir lemas di pinggir sungai begitu?

*               *           *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now