Tanpa memperlahankan pacuan kuda masing-masing, rombongan belasan lelaki berkuda yang diketuai Putera Amadeus terus menuju ke utara Pekan Annara.Mereka perlu sampai ke Lembah Ebrima sebelum matahari terbenam.
Panglima Madeia yang memacu kuda tunggangannya bersebelahan dengan Panglima Agean tidak habis fikir dengan tindakan yang diambil oleh Putera Amadeus. Ada simpulan benang kusut yang jika diurai satu persatu semuanya mengarah kepada Tuan Ares.
Bagaimana mungkin terlalu kebetulan serangan kaum Gasar berlaku ketika istana huru-hara dengan kematian Raja Metheus dan segalanya berkecamuk dalam pemerintahan Putera Amadeus yang terkenal tidak cekap? Lalu perlantikan Tuan Ares sebagai Bapa Negara sekaligus pemangku raja?
" Tuanku.. "
Mendadak kuda putih yang ditunggangi Putera Amadeus berhenti.
"Tidak apa-apakah tindakan tuanku kali ini?"
Putera Amadeus tidak menyahut tetapi kembali mengepakkan kedua-dua kakinya ke sisi kuda tunggangan dan ia mengerti kehendak sang tuan agar segera meneruskan perjalanan.
Kawasan hutan yang kasar dan berceranggah menyambut ketibaan mereka tepat ketika matahari sudah tergelincir sedikit dari tengah langit.Pohon-pohon tinggi menjulang awan mulai menggugurkan daun masing-masing menjadikan lantai hutan agak tebal dengan timbunan daun kering.
Pacuan mereka berhenti tiba-tiba sebaik sahaja kedengaran suara melenguh kesakitan dengan diikuti oleh suara ringkik kuda.Haiwan tunggangan tersebut berputar-putar dengan kedua kaki terangkat ke udara ketika tuan yang mengenderainya tumbang.
Sepantas kilat Panglima Agean dan Panglima Madeia menghunus pedang masing-masing dan mengambil jarak untuk melindungi Putera Amadeus dari sebarang ancaman bahaya sementara para pengawal diraja yang lain turun dari kuda tunggangan untuk memeriksa rakan mereka yang terbaring.Dan ketika keadaan kucar-kacir begitulah dari sebalik pokok puluhan susuk tubuh berpakaian hitam muncul mengacu panah lalu melepaskan secara serentak.
" Panglima Agean.." tempik Panglima Madeia di antara suara denting pedang yang berlaga " Lindungi tuanku!!"
Mereka diserang hendap!
Putera Amadeus menunduk pantas bagi mengelakkan panahan yang tampak sengaja dilepaskan kepadanya mengakibatkan anak panah tersebut terpacak ke sebatang pohon.Sambil mengetap gigi,Putera Amadeus menarik busur panah lalu melepaskan panahannya ke arah seorang penyerang hendap yang cuba hendak melibas Panglima Madeia dengan menggunakan pedang di tangannya.Seketika Panglima Madeia menoleh ke arahnya lalu menganggukkan kepala tanda berterima kasih.
Dentingan pedang berlaga dan suara kesakitan kedengaran di mana-mana.Para pengawal diraja masing-masing sedang bertempur dengan gerombolan penyerang hendap yang sepertinya telah menunggu mereka untuk melalui jalan tersebut.
" Pergi sekarang,tuanku!"
Pekikan Panglima Madeia kedengaran jelas walaupun dia sedang mengelakkan serangan pedang yang ditujukan kepadanya oleh dua orang penyerang sekaligus.Mereka saling menghayun pedang,melibas dan menangkis serangan.Gegak-gempita.
Menepuk paha kuda tungganggannya dengan kuat,kuda putih tersebut pantas berlari di antara pohon dan daun-daun kering yang berguguran.Di sebelahnya,Panglima Agean juga sedang memacu kuda tunggangan dalam kecepatan tinggi.Daripada bunyi ringkik kuda di belakang mereka,Putera Amadeus tahu mereka sedang dikejar oleh beberapa orang penyerang tersebut.
Tidak hanya dikejar,Putera Amadeus terpaksa tunduk beberapa kali apabila ada panahan yang dilepaskan kepadanya.Dia tahu serangan tersebut sememangnya ditujukan kepada mereka dan bukannya dilakukan oleh para perompak demi beberapa keping wang tembaga.
YOU ARE READING
Babad Saribu Bhyangkara
PertualanganKaii, seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya.Dalam keadaan demikian, dia mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan terjun ke dal...