BABAD 38

55 14 2
                                    

Tanpa sedar kejap genggaman tangannya pada tali kekang kuda tiba-tiba sahaja menggeletar dengan hebat.Manakan tidak.Bondanya-Permaisuri Adhreya tegak dipasung pada sebatang kayu di atas pedati.Rambut panjang wanita tersebut terurai sehingga hampir menutupi wajahnya dan kelihatan sangat tidak berdaya.

Wanita itu yang pada suatu ketika dahulu pernah menyarung jubah kebanggaan seorang permaisuri dan berasal pula daripada kalangan keluarga terhormat kini sedang diperlakukan dengan cara yang sangat tidak wajar.

" Bonda!!" Kuda Putera Amadeus melangkah beberapa tapak ke hadapan tetapi sepantas kilat dia menarik tali kekang apabila para pemanah di atas tembok sana mengacu panah ke arahnya.

" Tuanku tahu apa yang patut dilakukan,bukan?" 

Tuan Ares jelas sedang menikmati masa-masa begitu ketika Putera Amadeus terpaksa mendongak untuk memandangnya.Selama ini,keadaan adalah berbalik sama sekali.Ketika Putera Amadeus berada di atas singgahsana,para menteri jika bercakap sekalipun langsung tidak boleh menatap wajah raja lama-lama.Kini lihatlah siapa yang terpaksa mendongak!!

" Lepaskan bonda beta,Tuan Ares.Bonda tidak ada kena mengena dengan hal ini."

Tuan Ares mengerling pemuda tinggi lampai di sebelahnya itu lalu tanpa bertangguh,lelaki itu melepaskan satu panahan yang sangat sipi mengenai kaki hadapan kuda yang ditunggangi Putera Amadeus sehinggakan kuda tersebut meringkik cemas dengan kedua-dua kakinya terangkat ke udara.

Panahan tersebut menghantar isyarat yang jelas bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk melepaskan panahan!

" Turunkan panah kalian!" Panglima Madeia bertempik keras sehingga urat pada lehernya jelas kelihatan" Mengacukan senjata kepada baginda raja adalah pengkhianatan terbesar!"

Para pemanah yang mendadak ramai bermunculan dari atas tembok gerbang itu langsung tidak mengendahkan amaran tersebut  membuatkan Panglima Madeia semakin berang.Bagaimana mungkin kesetiaan para tentera tersebut berpaling dalam sekelip mata sahaja sedangkan susuk tubuh di hadapan mereka itu masih merupakan raja yang baru dilantik mengetuai tampuk pemerintahan kerajaan Darmenta?

Jika benar pun Putera Ardius sudah ditabalkan menjadi pengganti kepada Putera Amadeus,apa bolehkah mereka bertindak sedemikian? Putera Amadeus tetap sahaja anak sulung kepada Raja Metheus . Dalam undang-undang kerajaan,menatap lama-lama wajah baginda raja sahaja sudah menjadi suatu kesalahan apatah lagi mengacu senjata ke arahnya.

Kebiadaban para tentera tersebut sangat pasti didalangi oleh Tuan Ares yang sedang berdiri di atas tembok gerbang itu.Walaupun Panglima Madeia tahu Keluarga Ares menguasai kerajaan Darmenta sejak lama dulu,namun tidak terlintas dalam fikirannya bahawa akan ada suatu masa lelaki licik itu bertindak secara terang-terangan begitu.

Menabalkan cucunya sendiri sebagai pengganti Putera Amadeus adalah penderhakaan paling dahsyat yang dilakukan oleh blok keluarga tersebut.Bahkan segalanya seperti telah dirancang dengan penuh teliti sejak dari awal lagi.Dan kemudian perlahan-lahan segalanya menjadi semakin jelas.Satu persatu kejadian yang berlaku selepas kemangkatan Raja Metheus semuanya mengarah kepada perlantikan Putera Ardius sebagai raja Darmenta yang baru.

" Berundur sahaja secara baik,tuanku.Serahkan cop mohor kerajaan kepada patik."

Kaii yang tegak di atas pelana kuda tunggangannya senyap namun matanya melilau memerhatikan keadaan sekeliling.Dia tahu blok Keluarga Ares merupakan akar umbi segala masalah yang menyelubungi Kerajaan Darmenta dan hari ini merupakan kemuncak segala kejahatan keluarga tersebut.

Menewaskan para pemanah yang berada di atas tembok dan membebaskan permaisuri Adhreya adalah perkara yang paling penting kini.Kaii tahu keadaan sekarang tidak memihak kepada mereka.Tembok tinggi yang menjadi benteng istana kota merupakan satu kelebihan buat pemberontak-pemberontak tersebut.Dalam keadaan genting begitu,setapak sahaja mereka melangkah,para pemanah di atas tembok sana pasti akan melepaskan panahan kepada Permaisuri Adhreya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now