BABAD 11

154 13 2
                                    

Sebuah pedati ditarik perlahan-lahan oleh seekor keldai melalui jalan tanah merah yang kering dan berdebu sedang pemiliknya pula berjalan di sebelah haiwan tersebut dalam langkah yang tenang.Derap tapak kaki haiwan tersebut menapak di atas permukaan jalan itu mengisi suasana.

Sang ayah yang berjalan di sebelah keldai tersebut melangkah sambil menarik tali kekang haiwan itu sementara dua orang anaknya Athreyu dan Kaii berada di bahagian belakang.Sesekali kedengaran kedua-duanya berbual sesama sendiri entah membicarakan perihal apa.

Kaii yang mengenakan sepasang pakaian daripada kain kapas berwarna cokelat gelap itu sepertinya bertanya itu ini kepada abangnya sementara abangnya pula sabar melayani semua pertanyaan si adik.

Sebenarnya mereka telah menyepakati hal tersebut diam-diam .Membawa Kaii ke ibu kota untuk bertemu dengan salah seorang daripada tabib yang terkenal di Pekan Annara bagi mendapatkan kepastian apa sebenarnya yang telah berlaku kepada anak tersebut sehingga dia tidak mampu mengingati apa-apa.

Walaupun selepas kejadian dia terjatuh ke dalam perangkap haiwan liar di belakang kebun tempoh hari Kaii tampak lebih tenang,sepertinya mereka semua merasakan ada yang tidak kena dengan anak itu terutama sekali bahagian di mana Kaii berjaya membuatkan Astra terjengkang ke belakang semasa Astra mencengkam bahunya dengan niat bergurau itu.

Bukan tidak menyenangi hakikat bahawa segala apa yang diajarkannya selama ini kepada Kaii sebenarnya diambil berat oleh anak itu namun sang ayah masih juga sedikit hairan.Sepanjang apa yang diingatinya,Kaii bukan tergolong dalam kategori anak yang terlalu menurut kata.

Pada awalnya, apabila Kaii langsung tidak memperlihatkan minat dan perhatiannya terhadap tunjuk ajar yang diberikannya kepada anak itu,ada ketikanya dia menanggap ia adalah satu kelakuan yang wajar.Di seluruh kawasan perdesaan,sebenarnya siapa juga yang mengambil langkah mengarut dengan mengajarkan anak perempuan mereka seni mempertahankan diri dan menggunakan senjata sepertinya?

Tidak ada !

Tetapi tindakannya bukan tidak beralasan.Kaii perlu tahu bagaimana hendak mempertahankan diri seandainya ada perkara luar jangka yang akan berlaku di masa hadapan kelak.

Anak-anak gadis sebayanya sejak kecil lagi telah dididik bagaimana untuk menjadi seorang wanita yang penuh dengan kelembutan dan sopan –santun.Barangkali melihat bagaimana rakan-rakan sebanyanya membesar sedikit sebanyak mempengaruhi anak tersebut.

Maka,jadilah setiap kali dia dan Athreyu diajari bagaimana hendak mempertahankan diri sama ada dengan tangan kosong ataupun dengan bersenjata,Kaii lebih suka untuk ponteng dan mengatakan bermacam-macam alasan sehingga pada satu tahap ayahnya berputus asa begitu sahaja.

Diajarkan bagaimana mengelakkan serangan musuh,Kaii lebih suka menghabiskan masa dengan rakan-rakannya menjemur kudup-kudup bunga liar yang akan dijadikan pewarna untuk pengikat rambut mereka.Ditunjukkan bagaimana menangkis libasan pedang,anak itu lenyap entah ke mana .

Malahan Kaii gemar sekali bermalam di rumah Helia yang mana dua anak gadisnya merupakan rakan karib Kaii.Dan kini,tidak ada angina tidak ada ribut tahu-tahu sahaja Athreyu mengatakan bahawa sang adik hampir membuatkan wajah Astra berlumuran darah.

Bukan itu sahaja.Rambut Kaii entah sejak bila sudah dipotong pendek sehingga dalam pakaian begitu,sepertinya dia memiliki dua orang anak lelaki.Hanya sahaja Athreyu mempunyai susuk yang lebih tinggi berbanding adiknya.

Menyandang kampit berjahit di belakangnya ,mengikat sejalur kain pada dahinya bagi menahan anak-anak rambut daripada menjulai ke mata dan mengenakan penutup kepala daripada anyaman batang jerami ,meminta untuk menyarung pakaian lama kepunyaan Athreyu berupa sehelai seluar dan baju kapas berlengan pendek separas siku dengan alasan dia lebih selesa mengenakan seluar berbanding gaun panjang yang labuh sehingga ke mata kaki,mengenakan alas kaki yang diikat sehingga menghampiri paras lutut-sekali pandang tidak mudah untuk membezakan antara dia dengan sang abang.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now