BABAD 15

193 19 10
                                    

Kaii mengetap bibirnya dengan gementar.Detak jantung yang menunjang nafasnya kedengaran berdegup hebat hatta kepada indera pendengarannya sendiri.Dia benar-benar tidak tau bagaimana hendak menjelaskan hal tersebut dengan perkataan dan logik yang boleh diterima akal waras.

Segala-galanya semakin lama semakin jelas dan semakin pula tidak dapat disangkal.Anggapan tentang bagaimana dia tahu setiap lorong Pekan Annara ataupun bagaimana dia seperti pernah melihat hamparan ladang dan jaluran sungai di Permukiman Lemuria itu rupanya bukanlah sebagai deja-vu aneh yang tidak dapat dijelaskan tetapi kerana dia memang pernah melihat tempat-tempat tersebut sebelum ini !

Dia seorang yatim piatu yang tidak lagi mempunyai harapan untuk hidup seperti orang normal walhal dia memiliki masa depan yang gilang gemilang mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya sendiri dengan terjun ke dalam laut tatkala sang samudera sedang bergelombang di bawah murka langit tiba-tiba sahaja terdampar ke sebuah dunia lain .

Jika ia masih belum cukup aneh,tambahkan hakikat bahawa dia tercampak ke dalam dunia sebuah buku yang pernah dibacanya !!

Gila bukan?

Babad Saribu Bhyangkara.Jelas sekali tulisan tebal pada kulit buku tersebut membuatkan Kaii merinding ngeri.Berkulit tebal dan lusuh seperti tidak pernah disentuh sebelumnya oleh sesiapa pun.Ada imej sebatang lilin yang menyala dengan sebuah buku yang terbuka.

Sementara tepi-tepi kertas yang bertindan membentuk helai demi helai buku tersebut ada yang sudah relai dikerumit lipas malahan bucu berkulit tebalnya pula sudah ada bekas unggisan gigi tikus.Helai kertas yang sudah kekuningan dan berbau hapak .

Mahukah aku ceritakan kepada kalian tentang suatu hikayat yang tidak ada pengakhirannya? Hikayat tatkala tinta tidak menitikkan noktah? Berlalu tatkala dasawarsa berubah menjadi anta permana? Ia bukan kisah cinta Majnun kepada Laila atau kisah kasmaran sang pungguk buta yang merindukan rembulan di dada langit.Ia cerita tentang perjuangan untuk mengenal akar diri dan peribadi.Ia hikayat yang akan kalian corakkan sendiri jalan ceritanya sedangkan aku hanya sang penglipur lara tua yang berhikayat tentang sebuah perjuangan dan pengorbanan.Kalian tidak suka? Terserah . Kerana aku akan terus menghikayatkan cerita ini sekehendak hatiku.

~ Sang Petapa Tua~

Pertama kali membaca bait demi bait perkataan yang tertulis pada muka surat pertama buku tersebut,Kaii masih ingat tidak semena-mena lampu yang menyala terang di atas siling kedai buku lama itu mendadak berkelip-kelip seperti hendak meledak.Ada angin sejuk yang menyapu tengkuk.Sedetik dua detik lalu keadaan menjadi normal seperti sedia kala.

Buku yang kelihatan tua nan kusam yang jelas sekali digemari kaum lipas dan tikus itu sebenarnya sama sahaja seperti buku-buku lain yang pernah dibacanya sebelum ini.Membawa genre fantasi dengan imej-imej kepahlawanan,istana kota ,peperangan,putera mahkota dan prahara perebutan takhta yang sebenarnya klise sahaja pada hemat Kaii.

Bab pertama jelas menggambarkan bagaimana suasana pada suatu malam yang gelap dengan ribut membadai sebuah permukiman yang dinamakan Permukiman Lemuria.Ada satu watak berupa susuk tubuh misteri yang mengenakan baju pengembara dan menyarung topi anyaman jerami yang sedang berjalan tergesa-gesa di atas titi-sedang bersegera untuk menumpangi sebuah perahu.

Namun belum sempat susuk tubuh tersebut menaiki perahu kayu yang dikhususkan untuk menjemputnya,segerombolan musuh telah menyerang mereka dengan melepaskan anak panah sehingga salah satu daripada anak panah tersebut mengenai kaki kirinya.

Tanpa memperdulikan kecederaan dan demi keselamatannya,susuk tubuh misteri tersebut menerjunkan dirinya ke dalam sungai bagi mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh lelaki-lelaki bersenjata tersebut yang sememangnya dihantar untuk menghapuskannya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now