BABAD 27

78 16 10
                                    

Ketika loceng gangsa yang digantung di puncak menara istana kota dipalu lalu mendengungkan bunyinya ke segenap pelusuk ibu kota bagi menandakan waktu telah melepasi tengah malam,dua kelibat berpakaian hitam kelihatan terhendap-hendap di antara pohon hiasan istana yang ditata rapi.

Cukup hafal di mana tempat yang lazim dilalui oleh para askar peronda ataupun tempat yang tidak disinggahi cahaya obor,kedua-duanya seakan-akan menyatu dalam kegelapan malam.

Lalu,dengan kecekapan yang telah dilatih bertahun-tahun,kedua-dua susuk tubuh tersebut memanjat tembok batuan dan menyelinap pantas ke sebelah barat istana kota.

Anjung barat istana yang menempatkan kamar peraduan raja senyap dalam limpahan cahaya kekuningan.Tiang-tiang besar,dinding,lantai dan segala sesuatu di istana tersebut jelas menunjukkan tempat tersebut tidakboleh dilawati sebarangan orang tanpa urusan yang penting.

Bahkan di luar pintu besar yang tertutup rapi,berderet para pembantu istana –lelaki dan wanita- yang ditugaskan khusus untuk melayani baginda raja.Bergilir-gilir menunggui pintu tersebut seandainya Raja Metheus memerlukan sesuatu pada waktu-waktu begitu.

Bukan itu sahaja malahan setiap tingkap di ruangan tersebut turut dikawal oleh lelaki-lelaki berpedang dan menyarung pakaian khas pengawal diraja dari kalangan tentera yang direkrut terus untuk mengawal dan melindungi pemegang tertinggi tampuk Kerajaan Darmenta itu.

Malam yang semakin larut berjaya menyembunyikan dua kelibat tersebut yang melangkah berhati-hati agar kehadiran mereka tidak dikesan oleh para pengawal diraja yang siaga di luar sana.Langkah kaki mereka ringan,senyap tetapi pantas.

Hanya dengan anggukan kecil, salah seorang daripada susuk berpakaian hitam tersebut mengeluarkan sesuatu dari saku baju yang dipakainya lalu melontar kerikil di tangannya ke sebelah kanan.

Mendengar bunyi gemersik tersebut,salah seorang daripada pengawal diraja tersebut pantas menuju ke arah dari mana punca bunyi itu meninggalkan rakannya bersendirian mengawal salah sebuah tingkap yang paling hamper dengan kamar peraduan diraja.

Peluang tersebut diambil oleh salah seorang daripada susuk berpakaian hitam tersebut untuk menyelinap ke arah pengawal diraja yang masih tegak berdiri itu.Dengan pantas tetapi cukup mahir,dia menekup mulut pengawal diraja tersebut lalu mencengkam lehernya.Hanya dalam kiraan beberapa detik,pengawal tersebut terkulai pengsan dan kesempatan tersebut diambil oleh kedua-duanya untuk menyelit masuk ke dalam istana.

Barangkali dengan anggapan bahawa tidak mudah untuk melepasi kawalan pengawal diraja yang sememangnya terkenal sebagai unit paling elit dalam pasukan ketenteraan,maka tidak ramai pembantu istana yang berada di dalam ruangan tersebut.Hanya kelihatan Tuan Afei –pembantu khas Raja Metheus yang tersengguk-sengguk menahan kantuk di luar pintu.

Melangkahi penuh berhati-hati pembantu separuh usia yang jelas semakin lama semakin jauh diseret oleh rasa mengantuk itu,kedua-dua susuk tubuh tersebut pantas menyelinap ke dalam ruangan peraduan diraja.Mereka perlu pantas sebelum pengawal diraja menyedari salah seorang daripada mereka tidak lagi berada di tempat yang sepatutnya kerana lelaki tersebut diheret lalu disembunyikan di sebalik pasu besar dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ruangan kamar diraja samar –samar dengan nyala lilin yang mennebarkan cahaya kekuningan.Katil besar bertiang empat tersergam megah dengan juraian sutera tipis pada keempat-empat penjurunya.Meninggalkan seorang berkawal ,susuk berpakaian hitam yang satu lagi pantas menyelak juraian kelambu sutera.

"Ayahnda.."

Dengan seruan tersebut,dia pantas melekapkan telapak tangannya ke arah dahi Raja Metheus yang jelas pucat tetapi berpeluh dingin.Wajah lelaki tersebut luar biasa pucatnya dan semakin lama semakin cengkung malahan bibirnya juga turut menggelupas.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now