Athreyu melibas seorang daripada tentera yang menyerangnya membuatkan lelaki itu tertiarap dan kesempatan itu diambil olehnya untuk segera berlari menghampiri adiknya lalu melonjak tinggi mendaratkan mata pedangnya ke arah Panglima Dius dari arah belakang.
Namun lelaki berwajah dingin itu tidak akan dipilih untuk menjadi orang kanan Tuan Ares jika dia senang diandalkan. Bukan sahaja tubuhnya tegap lampai malahan caranya melibas dan mengelak serangan jelas menunjukkan dia bukan orang sebarangan.Caranya menggenggam hulu pedang malahan pergerakannya piawai sekali.
Jika Panglima Dius sudah terkenal antara pemedang terbaik di ibu kota, Athreyu memang tidak habis fikir pula tentang adiknya itu. Bagaimana Panglima Dius menyerang dia menangkisnya dan begitu juga sebaliknya. Pedang, panah dan menunggang kuda adalah suatu hal yang sangat bertolak belakang dengan susuk Kaii.
Bila masa pula adiknya itu belajar dan menguasai hal-hal kasar begitu sedangkan setahunya, Kaiiara lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan karib perempuannya bahkan langsung tidak menyukai apa sahaja hal yang berkaitan dengan seni mempertahankan diri seperti itu?
Lalu, lihatlah kini. Kaii mengenggam hulu pedang di hadapan paras wajahnya sambil merenung tajam pergerakan Panglima Dius. Langkah mundur dan majunya ketika menyerang dan bertahan tegap, piawai,tepat dan teliti. Bukan pergerakan sebarangan akibat naluri ingin mempertahankan diri. Bahkan Athreyu yang sudah dilatih dengan kemahiran berpedang sejak kecil tidak pernah melihat gerakan-gerakan berpedang sebegitu.
Dalam masa yang sama, Kaii senyap tetapi segenap derianya terarah kepada pergerakan Panglima Dius di hadapannya. Arah kedudukan kaki lelaki itu diperhatikan sambil dalam masa yang sama berjaga-jaga dengan serangan lain dari arah belakang.
Menggenggam busur panah atau hulu pedang seperti mencetuskan semangat dan perasaan yang sudah lama tidak dirasakan Kaii sejak mengalami kemalangan tempoh hari di dunia sebelah sana.Berada di atas kerusi roda berbulan-bulan lamanya lalu dikatakan oleh doktor pakar akan lumpuh sekiranya bernasib buruk dan kini berdiri di atas kaki sendiri benar-benar satu paradoks yang aneh dan misteri.
Mampu berdiri di atas kakinya sendiri sahaja sudah cukup membingungkan, apatah lagi menggenggam semula busur panah dan hulu pedang. Dua hal yang benar-benar mencetuskan euforia dalam dirinya dan membuatkan dia merasakan dirinya hidup semula.
Memanah adalah minat dan cita-citanya bahkan dia merupakan pemanah yang selalu diletakkan prospek memenangi pingat setiap kali pertandingan diadakan sementara berpedang juga sudah sebati dalam darahnya sejak dari kecil lagi.Membesar dalam latihan dan disiplin keras dalam Dojo-menggenggam hulu pedang buluh merupakan rutin hariannya ketika mempelajari Kendo di sebuah akademi lama dulu.
Tetapi,tidak ada sesiapa pun yang menyangka memanah dan kemahiran berpedang yang dimilikinya benar-benar berguna pada waktu begitu.Apa yang dia mahukan hanyalah meletakkan semula pemerintah yang berhak dan paling layak ke atas takhta kerajaan Darmenta.Agar tidak ada lagi pemerintahan zalim yang menindas rakyat dengan pelbagai peraturan yang menyusahkan.Dan dia yakin Putera Amadeuslah jawapan terbaik kepada masalah tersebut.
Mungkin bagi orang lain, dia layak menduduki takhta kerana dia merupakan putera mahkota namun bagi Kaii dia mengenali watak dan perwatakan sang putera. Jauh lebih baik berbanding yang lain-lain.
Setelah memastikan Permaisuri Adhreya selamat dalam kawalan Panglima Madeia,Putera Amadeus kembali menghunus pedang sambil berlari kencang ke arah adik beradik Eleius itu yang kelihatan saling bertemu belakang bagi menghadapi serangan tentera pemberontak dari semua arah.Kedua-duanya sudah berdarah di sana-sini tetapi masih tegak berdiri bahu membahu antara satu sama lain.
Ketika Kaii sedikit alpa dengan serangan dari arah hadapan, seorang tentera pemberontak mengacu pedang ke belakang gadis tersebut namun serangan itu pantas dipatahkan oleh Putera Amadeus yang menyanggah libasan tersebut dengan pedangnya sendiri. Dan hanya sekali libas, tentera tersebut terkapar kesakitan.
YOU ARE READING
Babad Saribu Bhyangkara
AdventureKaii, seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya.Dalam keadaan demikian, dia mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan terjun ke dal...