Pasar pagi di pelabuhan mungkin tidak semeriah pasar-pasar besar di permukiman yang lain.Jika bukan kerana ada dalam kalangan penduduk permukiman Lemuria yang baru sahaja balik daripada berdagang di Pekan Annara,pasar pagi seperti itu tidak lebih daripada sekadar beberapa orang penjual yang cuba untuk melariskan barang jualan masing-masing dan akan berakhir setidak-tidaknya dengan barangan jualan untuk hari itu habis ditukarkan sesama mereka- hanya sekadar agar tidak kembali membawa barangan tersebut balik ke rumah semula.
Kerana pasar tersebut lebih kepada pasar sehari,maka para peniaga hanya meletakkan barang jualan masing-masing di atas pangkin kayu .Tidak ada keperluan untuk membina tempat yang berbumbung.Deretan pangkin kayu yang terletak sedikit jarang antara satu sama lain ,itupun banyak yang tidak berpenghuni.Hanya berjarak beberapa ela daripada deretan pangkin tersebut,ada sebatang anak sungai berbatu yang mengalir .Bengkang-bengkok membelah kawasan permukiman yang subur tersebut.
Kaii yang masih berjalan sedikit tempang mengekori susuk tubuh lelaki muda yang dikatakan sebagai abangnya itu dengan perlahan-lahan sementara pemuda itu pula sepertinya memperlahankan langkah agar dapat memerhatikan adiknya sesuai dengan peringatan daripada ayahnya sebelum mereka bertolak sebentar tadi. Ada sesuatu yang perlu diambilnya daripada Petrie yang baru sampai dari Pekan Annara itu.Barang pesanan khusus ayahnya .
Sebenarnya jika mengingat semula kejadian beberapa hari yang lepas itu,dia mahu sahaja tertawa namun tatapan keras daripada ayahnya menyurutkan niat tersebut.Bagaimana mungkin dia tidak tertawa.Kaii,adiknya –pemula kepada semua idea untuk menggali lubang perangkap bagi menangkap kawanan haiwan yang selalu mencuri tongkol-tongkol jagung di kebun mereka itu dengan aneh sekali termasuk ke dalam perangkap yang digalinya sendiri sehingga bersimbah peluh.Entah apa yang difikirkannya tidak ada sesiapa yang tahu.
Athreyu mengerling sang adik yang tertoleh-toleh seperti baru pertama kali menapakkan kaki ke pasar pagi tersebut.Sapaan mesra para penduduk yang berpapasan disambut dengan anggukan sekilas atau paling kurang senyuman kekok yang membingkai aneh pada ulas bibirnya.Dalam kalangan tetangga terdekat,hal tersebut bukan lagi suatu kejadian yang aneh kerana insiden malam itu cepat tersebar ke seluruh permukiman.Maka telatah aneh Kaii tidak lagi menghairankan bagi mereka.
" Isterikuuuuu..."
Satu tangan yang tegap melekap pada bahu kanan Kaii membuatkan dia tergamam seketika namun tindakan refleksnya membuatkan otot-otot pada tubuhnya bertindak pantas.
Hanya dalam sekelipan mata,dia membuka kuda-kuda dengan membawa bahu serta kaki kirinya ke depan sementara dalam masa yang sama tangan kanannya menangkap pergelangan tangan yang hinggap di bahunya itu kejap lalu memulasnya sekuat tenaga.
Lalu kaki kanannya menyauk kaki susuk misteri itu tepat di bahagian pelipat lutut dalam gerakan pantas dari kanan ke kiri dan ia berjaya membuatkan dia jatuh terlentang.Jika tidak Athreyu menangkap tangan Kaii,pasti penumbuk kanannya sudah hinggap ke wajah tersebut yang jelas-jelas tergamam.
" Astra.."
Athreyu meraih tangan sang sahabat lalu menariknya pantas.Bingkai wajah berkulit cerah pemuda itu bertukar lesi sambil rahangnya terbuka hendak menuturkan sesuatu tetapi suaranya tersangkut di kerongkong.
" Kaii tak apa-apa?"
Sekali lagi Athreyu bertanya apabila merasakan adiknya itu mencengkam hujung bajunya dengan jari-jari yang menggeletar.Melihat kepada riak wajah sahabatnya itu ,Athreyu sekadar menggelengkan kepalanya menghantar isyarat agar pemuda itu tidak terus bertanya.
" Maafff.." Tutur Kaii takut-takut sambil sesekali mencuri pandang wajah pemuda tersebut .
" Kaii.." Athreyu menarik pergelangan tangan adiknya sedikit ke hadapan " Kenalkan.Ini Astra.Tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti .Kalau Kaii tak ingat,tidak mengapa."
YOU ARE READING
Babad Saribu Bhyangkara
AdventureKaii, seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya.Dalam keadaan demikian, dia mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan terjun ke dal...