"Why should we break up? Did I do something wrong?
If you give me another chance, I'll try harder."Why Should We Break Up - Sin Ye-Young
"Farah?"
Anak kecil berusia empat tahun itu memandangku sekilas sebelum kembali menggerakkan patung di tangannya. Nampaknya, anginnya benar-benar buruk hari ini. Bahkan lebih buruk berbanding musim tengkujuh kebelakangan ini.
"Aunty Bunga masuk ni." Beritahuku kemudian mempersilakan diriku masuk ke dalam bilik tidurnya.
"Kalau Aunty Bunga datang sini sebab mama suruh, baik aunty balik jelah. Farah tak ada mood nak layan."
Amboi, bahasa dia! Siap halau aku lagi! Nasib baiklah aku dah anggap macam anak sendiri. Kalau tak... eiii!
Talam berisi makanan aku letakkan ke atas meja belajarnya. Aroma kari ayam dan nasi hangat itu membuatkan dia meneguk liur. Namun egonya tetap tinggi melangit. Siap jeling aku lagi.
Tanpa berkata apa, aku melabuhkan punggung di sebelahnya. Duduk bersila di atas lantai yang berkeriut setiap kali diletakkan beban ke atasnya. Lebih-lebih lagi beban keluarga dan masyarakat macam aku ni, haih.
"Kenapa marah-marah ni? Cuba cerita kat aunty."
"Tak nak. Nanti aunty bagitahu mama. Aunty dengan mama kan best friends. Semua benda nak kena share."
Aku mengetap bibir. Menahan tawa dari pecah. Kalau aku gelak, makin susahlah aku nak pujuk budak kecil ni.
"Okay, okay. Aunty janji, kali ni aunty tak bagitahu mama. Rahsia kita je."
Dia meletakkan anak patungnya perlahan-lahan ke bawah dan melirikku dari hujung mata. Masih teragak-agak untuk berkongsi rahsianya. Aku meletakkan kedua tanganku ke bahunya, memaksanya untuk melihatku tetapi dia malah menundukkan kepalanya. Mulut muncung sedepa menahan air mata.
"Kenapa ni? Ada orang buli Farah ke?"
Dia menggelengkan kepala.
"Dah tu?"
"Hari tu, ada yang pindah masuk kelas Farah."
"Okay..." Aku terangguk-angguk. "Dah tu? Dia tak nak kawan Farah?"
"Farah yang tak nak kawan dia!" Bentaknya.
Aku memegang dada. Sikit lagi nak tercabut jantung aku. Dahlah suara dia nyaring. Jerit depan muka aku pula tu. Kus semangat!
"Oh... okay-okay. Lepas tu apa jadi?"
"Selalunya, Farah dapat nombor satu dalam kelas tapi—tapi lepas dia pindah masuk kelas Farah, Farah jadi nombor dua!"
Aku tergamam. Cerita si cilik itu mengusik kotak memoriku. Kelat sehinggakan aku memaksa tawa semata-mata untuk meyakinkan aku baik-baik saja. Aku akan baik-baik saja.
"So, Farah marahlah kat dia?"
"Farah benci! Farah tak nak kawan dia!" Dia berpeluk tubuh.
Benci. Kuatnya emosi itu. Benci yang aku rasakan terhadapnya suatu ketika dulu, mungkinkah sama dengan benci yang anak kecil ini rasakan?
Talam berisi pinggan dan gelas yang licin oleh Farah aku bawa turun ke bawah. Meletakkannya ke dalam sinki. Pandangan aku lontarkan ke luar jendela berhadapan sinki. Memandang jauh ke deretan kedai di belakang bangunan.