"Even though you made it clear in the end,
I'm still here like this, unable to accept it."
I Wanna Hate You - Boramiyu
"Bunga? Bunga?"
Suara ayu memanggil namaku perlahan. Kelopak mata aku buka. Siling putih muncul dalam pandangan, aku pandang lama. Dari bau ubat-ubatan yang melingkari setiap pelosok ruang, aku sudah dapat meneka keberadaanku tapi mengapa aku berada di sini?
Kekuatan yang ada aku kumpul dan salurkan ke kedua tangan yang terletak di setiap sisi badanku. Menolak diriku agar dapat bangun. Alih-alih, sepasang tangan memegang bahuku. Membantuku untuk bangun.
"Hani."
Kepala yang terasa ringan aku pegang. Buat seketika, seakan mahu membuangku kembali ke katil. Meski tak larat untuk bangun, aku paksakan juga.
"Masih pening lagi ke?" Tanya Hani perlahan.
"Hm. Pening sikit je." Aku menolak perlahan tangannya.
Pintu dibuka. Aku menoleh ke arah gadis yang memakai blazer kelabu dengan sebakul buah-buahan di tangannya. Melihat aku dalam keadaan sedar, dia meluru ke arah katil. Bakul buah-buahan diserahkan kepada Hani.
"Dah lama ke kau bangun?" Jasmine bertanya, ada kelegaan dalam nadanya.
"Taklah. Baru je." Jawabku dan memandang mereka bersilih ganti. "Tapi kenapa aku kat sini?"
"Hani." Jasmine memandangnya. "Can you give us a moment?"
Hani mengangguk faham. Bahuku dia tepuk perlahan sebelum beredar dengan pintu tertutup rapat. Jasmine menarik kerusi rapat ke katil sebelum duduk. Tanganku yang bersambung dengan titisan IV dia raih perlahan.
"Kenapa? Aku sakit ke? Serius ke?"
"Eh, tak!" Jasmine menggeleng laju. "Doktor cakap kandungan gula dalam darah kau rendah. Hypoglycemia tu satu. Lepas tu, kau tak cukup rehat."
"Oh."
"Oh, oh!" Jasmine menjelingku tajam. "Hani bagitahu aku kau tidur 3-4 jam sehari. Kau gila ke apa? Kalau kau tak larat nak buat kerja, kerja banyak sangat, kau boleh je bagitahu akukan? Takkan nak tunggu sampai kau pitam, masuk hospital macam ni baru nak bagitahu aku?"
"Taklah, Jas. Kerja aku okay je. Tak banyak mana pun. Memanglah ada hari terlebih busy tapi bukannya tiap hari pun. Pasal tak cukup tidur tu..." Aku menarik tanganku dari pegangannya. "... aku memang dah terbiasa."
"Terbiasa? Insomnia?"
Aku mengangguk.
"Kenapa?"
Bahu aku jongket. "Banyak sangat benda nak fikir kut. Sebab tu susah nak lelap."
"Fikir pasal apa? Helios?"
"A-Apa pula Helios? M-Mana adalah."
"Bunga. Dah-dahlah tu." Jasmine menghembus keluhan. "Kau kawan aku. Helios pun kawan aku and I hate to say this, but both of you are no good for each other. Kau tak habis-habis nak buat dia macam Helios yang kau kenal dulu. Helios pula masih nak berkawan walaupun dia tahu pasal perasaan kau. Toxic, tahu tak?"
"Aku just tak nak menyesal sebab lepaskan dia—"
"So kalau dia dah ada orang lain, macam mana? Kau yakin kau takkan benci diri sendiri sebab bazirkan bertahun-tahun tunggu orang yang sah-sah bukan jodoh kau?"
Aku memalingkan wajah. Melontarkan pandangan ke luar jendela. Kerana terletak di aras yang tinggi, aku hanya dapat mencerap burung yang berterbangan di langit biru. Bangunan di sekeliling langsung tak kelihatan.
"Tak nak menyesal sebab lepaskan dia?" Jasmine mengeluh sinis. "But you already did that. Kau dah lepaskan dia lima tahun lalu."
Mendengar kata-kata Jasmine, mimpi-mimpi yang datang mengetuk pintu lenaku terbayang di depan mata. Perpisahan pertama dan kedua. Betul kata Jasmine. Aku yang memutuskan untuk melepaskan.
"Kau tahu tak kenapa Helios tak pernah tanya kenapa kau tinggalkan dia?"
Aku diam.
"Sebab dia rasa sia-sia pertahankan orang yang nak tinggalkan dia. Sebab itu dia tak pernah tanya. Because it doesn't matter anymore. You don't matter anymore. Dia dah lupakan kau sejak hari tu lagi, Bunga."
Kali ini, aku terdiam.
"I have to go."
Bunyi kerusi diheret memecahkan keheningan.
"You should get some rest. Aku pergi dulu."
Pintu ditutup rapat dan aku kembali bersendirian. Langit biru di luar bertukar gelap. Hujan mahu turun menyembah bumi dan malam juga menghampiri. Tanpa matahari, langit kelihatan melankolik dari sini.
Apa makna malam bagi kau? Bagi aku, malam tercipta untuk aku meluahkan segala yang tak mampu aku ucapkan bila adanya matahari.
Sekarang aku sedar, itu salah. Seharusnya segala yang terbuku di hati, yang mengganggu ketenangan jiwa, semua yang serba tak kena saat kita masih bersama, seharusnya aku luahkan kepadamu. Bukan kepada sahabatku, bukan kepada makhluk yang tak bernyawa. Mereka pendengar yang baik tapi hubungan ini milik aku dan kau, bukan kita dan mereka.
Bila kau buat salah, aku pendam. Depan kau, aku senyum. Terlalu taksub untuk kelihatan baik-baik saja. Alih-alih, kau menoleh ke arah lain dan raut wajahku berubah. Habis segala ketidakpuasan hatiku terhadapmu aku ceritakan kepada mereka walhal kau bukan boneka yang mereka kawal. Salah kau, hanya kau yang dapat perbetulkan.
Bodoh, memang bodoh. Tapi lihatlah. Aku melakukannya lagi. Aku mengadu kepada mereka lagi sedangkan seharusnya aku berdiri bertentangan mata denganmu, memberitahumu aku menyesal kerana bertindak terburu-buru dan terlalu mengikut kata hati sehingga menyebabkan aku kehilanganmu.
Helios. Betulkah sudah terlambat untuk kita? Betulkah selama ini aku menghabiskan masa menanti kau yang sah-sah bukan diciptakan untuk menjadi pelengkapku?
Mungkin... aku patut membiasakan diri untuk meluah tatkala matahari hadir dan bukan dalam kehadiran bulan. Tapi mahukah matahari mendengar?