"Now my forever's falling down
Wondering if you'd want me now."Sweet Night - V (BTS)
"Cik? Cik?"
Aku terbangun dari lenaku. Teksi berada dalam keadaan statik. Melihat sekeliling kami, aku menyedari aku telah tiba dalam perkarangan pangsapuri kediamanku. Pemandu teksi tersebut menguntumkan senyuman kecil.
"Minta maaflah kena bangunkan." Ucapnya.
"Eh, tak apa! Patutnya saya yang minta maaf sebab terlelap." Balasku seraya membuka dompet. "Berapa?"
Setelah membayar tambang teksi, aku meminta diri. Kereta bercat merah putih dengan papan tanda 'teksi bermeter' di atasnya memandu pergi. Tanganku naik mengurut tengkuk yang lenguh kerana posisi tidurku tadi. Meskipun kurang selesa, tidurku lebih nyenyak berbanding di katil sendiri. Harap-harap, aku tak berdengkur. Kesian pakcik teksi tu kalau aku berdengkur.
"Bunga?"
Aku menoleh ke kanan. Hani mendekatiku.
"Kau pergi mana tadi?"
"Date."
"Oh." Hani mengangguk kecil. "Er... macam mana? Okay?"
Teringatkan wajah jejaka yang seharusnya menjadi pasangan janji temu ke-13ku itu, rasa bersalah menyerangku lagi. Namun apabila teringatkan kata-kata Farhan, suami Hani tempoh hari pula, aku terpaksa menahan diri daripada memberi apa-apa komen mengenai janji temu yang gagal.
"Kau buat apa kat sini?" Topik perbualan aku tukar.
"Farhan bawa Farah balik kampung. Boleh tak aku bermalam kat rumah kau? Sehari je." Pintanya.
Aku menghela nafas. Menghembus berserta senyuman.
"Nak berhari-hari pun boleh."
Hani yang sejak tadi berwajah sugul dan murung kembali ceria mendengar jawapanku. Lengannya meraih lenganku, memaut erat. Kepala dilentokkan pada bahuku. Tabiatnya yang satu itu tak pernah berubah dari zaman kami masih menuntut ilmu di universiti sampailah dia berkeluarga sendiri. Manjanya tetap sama.
"Betul ni? Tak menyesal?"
Kami berjalan seiringan ke lobi.
"Hm."
Baguslah kalau Hani ada. Aku pun... tak nak bersendirian.
Tirai aku buka seluasnya. Salah satu alasan aku memilih untuk tinggal di pangsapuri ini meskipun harganya agak mahal adalah kerana dari sini, aku dapat melihat bulan bersinar. Tatkala penghuni lain menginginkan unit dengan sinar matahari yang lebih dari mencukupi, aku ingin melarikan diri dari matahari itu. Bersembunyi darinya dan mendakap bulan yang muncul apabila fajar hampir menyingsing.
Dulu, aku orangnya yang sering tersenyum kepada sang fajar. Berterima kasih kerana hari ini, dia muncul lagi. Aku mencintainya dengan segenap hatiku dan perasaan itu masih sama. Masih ada cinta yang tersisa tapi... matahari tak pernah membalas perasaanku. Kenapa? Kenapa dia tak pernah membalasnya?
"Kenapa..."
Aku tertunduk. Tatkala mata aku pejam, titisan dari mata jatuh ke lantai. Alih-alih, pintu berkeriut. Air mata aku kesat, nafas aku hela sebelum menoleh ke arah pintu. Hani yang memakai t-shirtku menggosok mata seraya menguap meninggalkan bilik tidurku dan berlalu masuk ke dalam ruang tamu.
"Eh!" Dia terperanjat. "Kau tak tidur lagi? Dah pukul empat dah ni."
Hani mengheret kaki. Duduk di sebelahku pada lantai. Aku kembali mencerap bulan dan dia melakukan hal yang sama.
"Kenapa kau tak tidur lagi? Mimpi buruk lagi ke?"
"Taklah." Jawabku perlahan.
Bukan mimpi buruk tapi mimpi indah. Terlalu indah sampaikan aku tak nak bangun lagi.
"Hani." Aku menyandarkan kepala pada bahunya. "Kau ingat tak waktu kita pergi makan aiskrim dulu?"
"Hah? Bukan ke kita selalu pergi makan aiskrim dulu? Kenapa? Kau nak makan aiskrim ke? Kalau nak, jomlah pergi 7E. Aku drive."
"Tak." Aku tertawa kecil. Teruja sangat, entah-entah dia yang nak makan aiskrim. "Maksud aku, waktu semester break pertama kita."
"Sem break pertama... oh!" Hani menoleh ke sisi dan aku mengangkat kepalaku. Dia mengeluh kecil. "Waktu dia confess dia suka kau?"
Aku mengangguk.
"Actually, waktu tu aku rasa tak puas hati dengan cara dia confess. Ada ke patut confess kat chat je?" Aku tersenyum kelat. "Tapi... sekarang aku lega sebab dia confess kat chat. At least aku boleh baca berulang kali. At least aku tahu aku tak bermimpi."
"Kau still simpan chat lama kau dengan dia?"
"Hm."
"Kenapa kau tak delete lagi? Macam mana kau nak move on kalau—"
"Aku tak nak move on." Aku memalingkan wajah darinya dan merenung cendera dan cakerawala. "Aku nak dia. Aku nak 'kami'."
Sesiapa pun yang mendengar kata-kataku, pasti menganggapku bodoh. Berkali-kali disakiti dan dibuang begitu saja, masih mahu menagih kasih terhadap orang yang jelas-jelas tak menginginkannya semula. Walaupun kalian menganggapku bodoh, sekurang-kurangnya aku tak tipu diri sendiri. Hatiku tahu apa ia mahukan dan aku akur.
"Bunga..."
Aku membenamkan wajah lutut yang aku rapatkan ke dada. Lengan Hani melingkar pada bahuku. Kepalaku dia sandarkan pada bahuunya. Tangan menepuk perlahan belakangku.
"Aku rindu dia, Hani."
"Hm. Aku faham."
"Kenapa dia tak nak aku? Kenapa dia tak cari aku?"
Dakapan Hani bertambah erat. Tanpa aku sedari ketika itu, dia yang sentiasa bersamaku susah dan senang turut menangisi nasibku. Apa yang ada di depan mataku, cukup untuk membahagiakanku. Walaupun keluarga kecil Hani itu bukanlah milikku, aku tetap berbahagia dengannya. Melihat gelak ketawa Hani dan Farhan, gelagat Farah, aku tumpang bahagia.
Tapi di antara bahagia, terselit ketamakan. Melihat mereka bahagia dengan keluarga kecil mereka, aku juga mengimpikan hal yang sama. Cuma... kalau bukan bersama dia, aku tak mahu. Ketamakan itu membutakan aku.
Matahari, di mana pun kau berada, aku harap kau dapat melihatku. Bagaimana hancurnya aku setiap kali kau menghilang dan lebih hancur setiap kali kau muncul tanpa diundang.
Ironinya, mereka kata aku genius tapi acap kali aku melakukan hal yang bodoh kerana kau. Misalnya sekarang. Menangisi kau yang takkan pernah kembali dan menepis bahagia yang dapat menggantikan kau hanya kerana mereka bukan kau. Bodoh. Aku bodoh.