Bab 3

387 54 1
                                    

"I don't think I should let you go like this.
I need you. I need you here."

I Can't Say That - Kim Na Young

"Assalamualaikum." Ucapku perlahan, cukup untuk hanya pemilik restoran bercirikan vintaj itu mendengarnya.

Farhan, suami kepada Hani yang sedang mengemas meja dan kerusi restoran menghentikan perbuatannya. Aku menguntumkan senyuman kecil. Sekadar menyapa untuk kelihatan sopan walhal entah berapa kali dia menjadi saksi aku dan Hani 'membawang' dan... tak lupa juga menggunakan kata-kata kesat.

"Bunga!" Hani berlari ke hadapan kedai dengan lengannya didepakan. Seolah tiada apa yang berlaku di antara kami kelmarin, dia memelukku erat. "Okay tak interview hari ni?"

Oh, iya. Hari ini aku menghadiri temu ramah yang dianjurkan oleh syarikat penerbitan muzik, Klef, tempat Farhan bekerja sebagai rakan kongsi kepada pemilik syarikat tersebut. Dibandingkan janji temu bersama orang tak dikenali, suasananya lebih tegang. Tambahan pula aku tiada pengalaman yang diperlukan untuk bekerja di bawah naungan mereka.

"Hm. Okay." Aku mengangguk perlahan. "Er, Farhan. Thanks sebab recommend aku."

"Harap-harap kau dapatlah job tu. Aku boleh tolong sampai sini je." Balasnya sambil mengelap sisa makanan pada meja.

Suara anak kecil di kaunter menarik perhatianku. Aku meminta diri dan meninggalkan suami isteri yang sedang bergurau-senda itu dan menuju ke arah anak tunggal mereka. Beg tangan aku letakkan ke atas kaunter. Memeluknya dari belakang dan mengundang tawa nyaringnya.

"Macam mana sekolah hari ni? Korang still gaduh lagi ke?" Bisikku di telinganya.

"Mestilah!" Getusnya, mencekak pinggang. "Tadi, Farah sorok kasut dia. Lepas tu dia nangis! Sikit-sikit nak nangis!"

"Haa!" Hani memeranjatkan kami berdua. "Farah cakap apa tadi? Farah sorok kasut kawan eh?" Hani pula mencekak pinggang.

Aku dan Farah saling berpandangan. Sama-sama meneguk liur. Sekurang-kurangnya, kali ini aku bukan penyebab rahsia si cilik itu pecah.

"Oh, bukan main nakal lagi eh sekarang?" Hani menggigit bibirnya geram.

"Farah tak suka dia! Farah benci dia!" Jerit si anak pula.

Hani mengangkat tangan dan aku laju-laju mendukung Farah. Menjarakkannya dari Hani. Hani tak adalah selalu guna kekerasan bila didik anak, tapi kalau dah cubit orang, ya Allah. Sakit dia tu zzup naik ke atas!

"Farah, tak elok tahu benci orang. Lebih-lebih lagi kalau benci kat budak lelaki."

Farah mencebik. "Kenapa tak boleh?"

"Sebab... kalau kita benci orang, lama-lama jadi suka. Haa, Farah nak ke jatuh cinta kat dia?" Usikku.

"Ai, Bunga!" Farhan menyampuk. "Macam bercakap dari pengalaman je."

"You!" Hani menjegilkan mata ke arah suaminya.

"Helios ke?" Farhan tak mengendahkan isyarat yang diberikan oleh Hani dan menyambung.

Nama itu. Sudah lama aku tak mendengarnya. Aku sangka, aku akan baik-baik saja dan perlahan-lahan melupakannya tapi... setelah sekian lama, nama itu tetap menyakitiku. Tak ubah seperti berjemur di bawah teriknya matahari dan merasai cahayanya yang membakar kulit.

"Dah lima tahun kut. Tengok aku dengan Hani, dah ada anak dah pun. Kau dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis dengan date kau." Dia tersenyum sinis. "Takkan tak move on lagi kut?"

"Farhan. Dahlah tu." Hani semakin lantang bersuara.

Lima tahun. Begitu panjangkah tempoh masa lima tahun itu untuk mereka? Kerana bagiku, lima tahun itu terasa begitu singkat. Mungkin kerana aku dipenuhi dengan rasa kosong ini sehinggakan aku terlupa untuk menikmati setiap detik yang berlalu sejak hari itu.

"Hm. Aku tak move on lagi." Aku meletakkan Farah ke bawah dan memandang Farhan. "Bila aku tengok hidup korang bertiga, jujur aku cemburu. Aku pun nak ada rumahtangga. Aku pun nak someone yang faham aku. Aku pun nak bahagia."

"Bunga." Hani meletakkan tangannya di bahuku tapi segera aku tepis.

"Aku dah cuba semua cara untuk lupakan dia tapi tengoklah aku sekarang." Aku mengeluh sinis. "Sepanjang lima tahun ni, hidup kau dengan Hani cukup bahagia tapi kau tahu tak sepanjang tempoh lima tahun tu, hidup aku macam mana? Tiap malam aku berjaga, tiap malam aku nangis, tiap malam aku harap dia datang balik cari aku. Tujuan aku hidup satu je Farhan. Aku nak lupakan dia and trust me, I'm trying my best. Aku tak minta kau rasa apa yang aku rasa sekarang ni, aku minta kau faham je."

Aku mencapai beg tanganku di atas kaunter. Farah tak lagi kelihatan setelah Hani memintanya untuk naik ke atas, ke kediaman mereka. Tak mahu si kecil ketakutan mendengar perbualan orang dewasa. Cinta terlalu rumit untuk dia mengerti.

"Bunga..." Panggil Hani sayu.

"Tak semua orang bertuah macam kau, Farhan." Aku mengesat air mataku. "Hani aku balik dulu. Tell Farah I'm sorry for tonight."

"Bunga—Bunga!"

Aku beredar. Hanya memperlahankan langkahku apabila suara Hani tidak lagi kedengaran memanggilku dari belakang. Lutut lemah menggeletar menahan beban dan aku terduduk di bahu jalan. Setiap hembusan nafasku menjadi keluhan dan apabila aku membenamkan wajah ke tangan, lama-kelamaan menjadi esakan.

Bukan maksudku untuk merosakkan suasana malam ini. Aku tahu niat Farhan baik. Aku mengenalinya selama aku mengenali Hani dan aku sendiri menganggapnya sebagai kawan lama. Pasti dia juga menginginkan yang terbaik untukku tapi aku bukan mesin yang boleh mematikan perasaan sesuka hatiku. Terkadang lebih mudah untuk aku bertindak di luar kawal kerana terlalu melayan perasaan. Misalnya ketika ini. Menangis teresak di bahu jalan tanpa mempedulikan orang yang lalu-lalang.

Kalian tahu apa yang aku lebih benci berbanding segalanya di dunia ini?

Pada saat-saat seperti ini, dikala dia yang menjadi penyebab lukaku berdarah kembali, aku tetap menginginkannya untuk muncul di hadapanku. Merayu untuk dia memujuk hatiku walaupun dialah punca segalanya.

Aku rindu dia. Sumpah, aku rindu dia.

Kalaulah diberi peluang, aku nak jumpa dia tapi puas aku cari, dia tak ada.

Aku rindu nak tatap dia. Aku rindu nak dengar suara dia, lawak jenaka dia. Aku rindu semua tentang dia.

Aku pernah menjadi sebahagian dari hidupnya. Tidakkah seharusnya mereka sekurang-kurangnya membiarkan aku merindukan dia? Ataukah aku terlalu tamak dan merasakan aku layak?

Tolonglah. Sekali saja lagi. Temukan kami sekali saja lagi dan aku janji, jika dia turut menginginkanku, maka aku akan menyayanginya selayaknya. Jika dia sudah melupakanku, aku janji aku akan lakukan hal yang sama. Aku merayu.

Sun's FlowerWhere stories live. Discover now