"If you break down as much as me,
Will you know all the pain that fills me
To the point where my heart is about to explode?"If It's You - Jung Seung Hwan
Tin minuman berkarbonat jatuh dan berguling. Tangan aku selukkan ke dalam vending machine, meraba sambil mencangkung. Lengan aku panjangkan, hampir setengah masuk ke dalam. Dahi mula berkerut. Ke mana pula perginya tin tadi?
Deheman seseorang mengejutkanku. Aku menoleh dan seorang jejaka memakai kemeja putih dengan lengan digulung dan tali leher dilonggarkan memandangku sambil berpeluk tubuh. Ada keramahan di wajahnya.
"Need a hand?"
"Er..." Aku menarik keluar tanganku dan memberinya ruang.
Alih-alih, dia menendang kuat mesin tersebut dan kedengaran sesuatu jatuh. Aku terbeliak manakala dia pula dengan selamba mengeluarkan setin minuman berkarbonat yang tadi hilang dari radar. Minuman sejuk itu dihulurkan kepadaku.
"Terima kasih."
"You ni pekerja baru tu kan?"
"Ya, saya." Aku menayangkan senyuman. "You pun pekerja kat sini ke?"
Dia tertawa kecil. "Er... I... bos kat sini."
"HAH?!"
Tawanya semakin kuat. Terhibur melihat reaksiku.
"M-Minta maaflah. I-I baru lagi—"
"Tak apa. I'm Eric, by the way." Beritahunya.
"Bunga."
Kepala dia angguk. "Kenapa belum balik lagi? OT ke?"
"Eh, tak!" Kepala aku geleng laju. "I dah nak baliklah ni. Singgah beli air kejap."
"Ohhh..." Dia kemudiannya menatap vending machine yang diletakkan berdekatan pantri itu dan mengeluh. Tangan diselukkan ke dalam poket. "I should call someone to fix it." Gumamnya.
Aku berdiri bak tunggul kayu. Tak tahu harus melakukan apa lagi. Topik perbicaraan pun tiada. Mana boleh berbual selamba dengan bos sendiri. Kalau tadi rakan sekerja, tak apalah juga nak borak macam kawan. Ini bos. Memang taklah!
"Eh! Okaylah. I have to go. Careful on your way home. Kalau boleh, jangan selalu balik lewat sangat. Bahaya."
"O-Okay."
"Bye."
"B-Bye-bye."
Jejaka berkemeja putih itu mengatur langkah pergi. Tali leher yang longgar terus ditanggalkan sebelum lesap ke dalam lif. Setelah dia tak kelihatan lagi, barulah aku dapat bernafas seperti biasa. Perhatianku kembali ke tin berwarna merah di tangan. Bibir malu-malu mahu menguntumkan senyuman.
Aku mengikuti jejak langkahnya ke lif dan menekan aras 9. Tiga aras di atas pejabatku. Pintu berbunyi, mengumumkan aku telah tiba di destinasiku.
Tak seperti aras 7 yang agak terbuka, aras 9 menempatkan lebih banyak bilik di mana studio rakaman diletakkan. Penyanyi di bawah naungan syarikat ini tak terkira banyaknya. Padanlah dengan bilangan studio rakaman yang disediakan.
"B1... B1..."
Aku melihat ke kiri dan kanan. Setibanya aku di hujung laluan, tepat-tepat sebelum selekoh ke kanan, pintu hitam dengan tanda 'B1' menghentikanku. Aku menjongket, mencerap ke dalam studio melalui tingkap kecil pada pintu. Senyuman mekar apabila orang yang dicari-cari hadir dalam pandangan.