8 Tahun Lalu...
Ingatkan semester kedua akan bermula dengan lancar tanpa rungutan dan mental breakdown. Alih-alih, minggu pertama, kami dibanjiri dengan tugas pembentangan. Rancangan untuk pulang awal ke dormitori dan melayan drama Korea terbantut. Digantikan dengan perjumpaan kelas untuk membahagikan kumpulan.
"Bunga, kau nak group dengan siapa?" Tanya class rep yang tugasnya sama seperti ketua kelas ketika di bangku sekolah dulu.
"Bak sini list tu!" Jasmine, penolong class rep merampas buku notanya. "Helios group mana? Letak Bunga kat situ jelah."
"Eh, bila masa aku nak satu group dengan dia?" Aku menyampuk, pipi bera.
"Tak nak satu group ke?" Kerusi di sebelahku ditarik dan Helios selamba duduk. "Nak tengok list tu." Helios meminta nota tersebut daripada Jasmine.
Dia memeriksa setiap barisan. Melihat nama-nama yang ditempatkan dalam satu kumpulan.
"Kau buat apa duduk kat sini?" Bisikku perlahan, malu.
Dia mendongak dari terus menatap buku nota tersebut.
"Tak boleh ke?"
"Bukan tak boleh..." Aku menjeda dan melihat reaksi rakan sekelas yang lain. Semua alis macam ulat beluncas, menari-nari tanda mengusik. "Tapi—"
"Kalau tak boleh, tak apalah. Aku duduk dengan diorang Lutfi jelah." Dia bingkas bangun dan berlalu pergi.
Aku tergamam dan tertunduk. Tak sangka pula semudah itu untuk dia meninggalkanku. Kalau senang-senang nak tinggal, baik tak payah datang.
Sedang aku bermonolog dalam hati, buku nota di sebelahku ditarik. Helios membongkokkan badannya. Pen dibuka dan dia membuat baris baru. Namaku diletakkan di atas namanya. Pen ditutup semula dan buku nota disorongkan kepada Jasmine.
"But still, kita satu group okay?" Dia menguntumkan senyumannya.
Aku menggigit bibir, menahan senyum dan mengangguk.
"Aku duduk dengan Lutfi." Beritahunya lagi.
"Hm. Okay."
Kenyitan mata dihadiahkan buatku dan dia beredar buat kali kedua tapi kali ini, meninggalkanku dengan rasa berbunga.
"Eleh! Dengan boyfriend sendiri pun nak malu-malu lagi! Cakap jelah nak satu group dengan dia!" Usik Jasmine.
Hani mengeluh perlahan. "Korang ni buat aku jealous jelah."
Jasmine menekup mulut. Aku menjegilkan mata. Jasmine menggigit bibir, rasa bersalah kerana tak mengambil kira tentang perasaan Hani yang sedang dalam fasa patah hati apabila Farhan, budak fakulti Music Administration itu meninggalkannya.
"Alah, kau janganlah sedih!" Aku dengan kekok menepuk bahunya.
Hani mengesat air mata yang bertakung di tubir matanya sebelum ia sempat jatuh. Nafas dia tarik dengan dalam dan bangun dari kerusinya.
"Aku nak pergi toilet."
"Eh, kau nak group dengan siapa?" Tanya Jasmine.
"Letak jelah aku kat mana-mana!" Jerit Hani yang sudah jauh melangkah.
Aku dan Jasmine saling berpandangan dan mengeluh. Nasib baiklah dia tak merengek depan kitorang. Kalau tak, habislah kena belikan dia aiskrim Magnum satu lori. Habis pokai, licin dompet aku dengan Jasmine nanti.
Jasmine mengambil buku nota dan menulis nama Hani di kumpulan yang berbeza dariku. Tak mahu pisang berbuah dua kali. Nanti tak pasal-pasal kerja tak siap sebab dia emosi memanjang sebab kenang masa lalu dengan lelaki tak guna tu.