Bab 5

344 49 2
                                    

Kawasan rekreasi berdekatan kolej kediaman mahasiswa dalam kampus memenuhi ekspektasiku. Kerana Jasmine sering bercerita tentang suasananya yang meriah dan riuh-rendah dengan para pelajar, aku yang kurang suka bersenam pun tertarik untuk mengunjungi dan merasai sendiri kemeriahan itu.

Di kananku, ada yang bermain petanque. Sukan yang lebih ringan dan sesuai untuk semua jenis umur, tua atau muda. Hanya memerlukan kawasan lapang untuk bermainnya tetapi pihak universiti telah menyediakan sebuah gelanggang khas untuknya bagi memudahkan para pelajar.

Di kiriku pula, ada beberapa pasang pelajar bermain tenis. Pagar dawai berjaring tinggi didirikan di sekeliling gelanggang. Pukulan bola tenis agak kuat dan lantunan bola ke luar gelanggang boleh mencederakan orang yang lalu-lalang. Hatta, datanglah fungsi pagar dawai tersebut.

Jalan sedikit lagi ke hadapan, sukan kegemaran dengan bilangan pemain paling ramai; bola sepak. Nampaknya, hanya pelajar lelaki saja yang bermain. Pelajar perempuan pula sama ada bersorak atau duduk dan berbual.

Aku menarik telefonku apabila Jasmine masih belum kelihatan walhal kami berjanji untuk berjumpa di hadapan padang bola sepak. Tak lama kemudian, mesejku di balas.

"Kat dewan?" Aku memandang sebuah bangunan dengan ruang terbuka di tengah dan melihat lambaian raket dari dalam. "Main badminton ke?" Telefon aku seluk semula ke dalam celana dan meninggalkan kawasan padang bola sepak, menghampiri dewan yang Jasmine maksudkan.

Geseran nyaring kasut dan lantai menyapaku sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam. Jasmine kelihatannya baru memulakan permainannya. Terlalu fokus untuk menang sehingga tak menyedari kehadiranku di situ.

Aku menoleh ke kiri dan kanan. Tiada bangku disediakan. Beg-beg sukan mereka juga diletakkan di atas lantai. Nafas aku hela, duduk bersila pada lantai, tak jauh dari tempat mereka bermain.

"Eh, hai Bunga!"

Aku menoleh dan mendapati Rowan dan Helios baru saja tiba. Aku membalas sapaan Rowan dengan anggukan kecil dan senyuman. Pandanganku sedikit terarah ke Helios yang berdiri di belakangnya dan dia menjongket keningnya. Itu sapaankah? Aku laju-laju melarikan pandanganku dan mereka beredar.

Kepala aku tundukkan tetapi permukaan berkilat lantai menunjukkan bayangan kabur mereka. Raket badminton serta bulu tangkis dikeluarkan dari dalam beg lalu bergerak ke gelanggang yang kosong. Kebetulan, hanya gelanggang di hadapanku saja yang kosong. Haih, apalah nasib hari ni!

"Bunga!" Panggil Rowan. "Kau tolong jadi pengadil?"

"Hah?"

"Kita main saja-saja je kan. Buat apa nak ada pengadil." Sampuk Helios sebelum memandangku. "It's okay."

It's okay. Itu perkataan pertama yang dia katakan padaku setelah empat tahun tempoh perkenalan kami. Aku membuka mulut, tetapi tiada suara yang keluar. Mereka memulakan permainan mereka dan aku masih membisu. Keluhan aku lepaskan dan kembali menunduk. Alih-alih, anak mata mengikut pergerakan bayang-bayangnya pada lantai.

Aku menongkat dagu. Dalam tak sedar, aku tersenyum apabila dia tertawa. Ada perasaan lega mendengar dia masih mampu tertawa setelah apa yang berlaku. Bercakap soal itu, sampai hari ini aku belum menyampaikan ucapan takziahku kepadanya. Bahkan aku tiada keberanian untuk memandangnya lebih dari lima saat. Inikan pula berbicara dengannya.

Mungkinkah aku sudah terbiasa membencinya atau... aku malu terhadap diri sendiri kerana aku sempat bergembira apabila dia diherdik di hadapan kelas?

Perlahan-lahan, aku mendongak dan bayangan kabur tadi kelihatan jelas di depan mata. Bulu tangkis jatuh ke pihak lawan dan dia melompat riang. Rambut yang basah dek peluh dia tolak ke belakang, jauh dari dahinya seraya mengetawakan Rowan. Awan yang menyelubungi atap terbuka di tengah dewan beralih dek tiupan angin dan cahaya matahari jatuh ke atasnya.

Aku terlopong. Masaku berlalu dengan perlahan sehinggakan setiap pergerakannya aku dapat lihat dengan jelas. Bagaimana hujung matanya mengecil apabila dia tersenyum dan garisan terbentuk di kedua sisi bibirnya.

Mungkinkah aku tak dapat bersemuka dengannya kerana... aku mula menyukainya?




Isnin tiba lagi. Tugasan makin berlambak dan aku pula bertambah malas. Bila masa depan dipertaruhkan, mahu tak mahu, terpaksa akurlah. Bak kata pepatah, "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

"Aku rasa macam nak mati je. Zaman matrikulasi dulu tak ada pula busy macam ni." Mulut Jasmine terkumat-kamit merungut sejak kami bertembung di bawah blok kediaman tadi.

Zaman matrikulasi tak sibuk mana? Matrikulasi mana dia pergi ni? Aku zaman matrikulasi dulu, perkataan 'tidur' tu automatik lenyap dari kamus hidup aku. Rasanya, kesibukan tu sama je. Macam manalah senior-senior kitorang masih boleh enjoy life dengan assignments berlambak macam ni?

"Dua minggu lagi final. Kau dah study ke?"

"Hm... bukan ke kita tiap hari study kat kelas?"

Jasmine mengeluh kuat. "Aku nak pinjam otak kau boleh? Mak kau bagi makan apa sampai pandai macam ni?"

"Makan nasi."

"Dah tu, mak aku bagi aku makan padi ke?" Jelingnya.

Aku tertawa kecil. Menggelengkan kepala. Awalnya, kehadiran Jasmine sedikit sebanyak memeningkan kepalaku kerana celotehnya yang tak berkesudahan. Lama-kelamaan, bila tak ada dia, terasa sunyi pula. Tak ada yang nak merungut 24 jam, 7 hari seminggu.

"Eh, kejap!" Jasmine memegang lenganku. "Tunggu aku. Aku nak pergi toilet kejap."

Aku mengangguk faham dan dia berlalu masuk ke dalam tandas wanita di bangunan fakulti Business Administration. Aku mencalit jari pada dinding putih, memastikan tiada kotoran sebelum bersandar padanya. Dahlah pakai baju hitam. Kena kotoran putih, confirm 'menyala'.

Sementara menunggu Jasmine melepas hajatnya, aku membelek buku nota di tangan. Bunyi derapan tapak kaki menghampiriku membuatkan aku menutup buku tersebut.

"Dah ke—"

Aku mendongak dan bukan Jasmine yang berhadapan denganku tetapi Helios. Alisnya ternaik. Menghentikan langkahnya hanya kerana aku bersuara dan tiada sesiapa selain kami di situ. Dia memalingkan tubuhnya agar betul-betul menghadapku. Aku meneguk liur. Mula gabra.

"Hm?" Dia bersuara.

Aku mendongak kembali. Bukannya menjelaskan kesalahfahaman kami tetapi bungkam dan melihat pakaian serba hitamnya. Rambutnya juga digayakan berbeza berbanding hari-hari sebelumnya. K-Kenapa aku tahu pasal tu...

"Eh, hai Helios!" Jasmine muncul di masa yang tepat.

Mulutnya terbuka sedikit. Kemunculan Jasmine membuatkan dia menyedari sapaan tadi bukanlah untuknya. Senyuman kecil dilontarkan kepada Jasmine dan dia meneruskan langkahnya. Naik ke aras dua bangunan untuk kuliah pertama hari ini.

"Hai, macam ada something je." Jasmine berpeluk tubuh, tersenyum herot. "Benci jadi cinta ke?"

Benci... jadi cinta?

Aku tak rasa ini cinta. Terlalu awal untuk mengatakannya tapi yang aku tahu, benci itu kian menghilang.

Sun's FlowerWhere stories live. Discover now