Bab 6

332 44 1
                                    

"The injury seems worse than i thought it'd be,
The pain seems to dig in deeper than i thought it would,
In the countless nights i spent resenting you,
It feels like i'm in hell."

Hug Me - Jung Joon Il

Mata aku buka perlahan. Siling aku renung. Ke mana perginya pelekat bintang bersinar dalam gelap yang Jasmine hadiahkan untukku? Perlahan-lahan, aku bangun. Selimut aku tarik ke dada yang naik dan turun dengan ritma berantakan. Mata meneliti sekelilingku.

Ke mana meja belajar bersebelahan katilku? Ke mana perginya rakan sebilikku? Mengapa aku bersendirian?

Aku menoleh ke kanan dan menatap pantulanku pada cermin. Cahaya rembulan menerobos masuk ke dalam bilik melalui fabrik nipis langsir. Aku bersendirian. Aku... masih sendiri.

Keluhan memecahkan keheningan malam. Rambut aku raup. Aku bukan lagi Bunga yang berusia 20 tahun, tetapi 28 tahun dan rasa kosong memenuhi segenap ruangan hati.

"Aku mimpi lagi ke?"

Mata aku pejam kuat. Terdesak memanggil semula mimpi itu untuk menghantuiku.

"Kita main saja-saja je kan. Buat apa nak ada pengadil." Sampuk Helios sebelum memandangku. "It's okay."

"Kenapa... Kenapa kau kena muncul dalam mimpi aku?" Bibir aku ketap.

Kenapa hanya dalam mimpi? Kenapa kau tak boleh muncul depan aku? Kenapa kau tak pernah cari aku, cakap kau nak kita cuba lagi? Kenapa cuma aku seorang yang tanggung semua ni?

Aku mendongak dan bukan Jasmine yang berhadapan denganku tetapi Helios. Alisnya ternaik. Menghentikan langkahnya hanya kerana aku bersuara dan tiada sesiapa selain kami di situ. Dia memalingkan tubuhnya agar betul-betul menghadapku.

"Hm?" Dia bersuara.

Dulu toleh sekali, kau jelas kelihatan. Sekarang, hanya bila mata terpejam rapat, barulah samar-samar kelihatan.

Kalaulah aku tahu, satu hari nanti satu-satunya cara untuk aku melihatmu hanya melalui mimpi dan memori, aku rela jadi tamak dan pentingkan diri. Sekurang-kurangnya, dengan cara itu aku dapat menatapmu lebih lama.





Janji temu ke-13. Dua angka yang sering membawa nasib malang kepadaku. Setiap lorong, setiap kedai, apa-apa saja yang bersangkut-paut dengan dua angka itu, aku akan mengelak darinya. Malahan pada setiap tanggal 13 di setiap bulan, aku memilih untuk duduk di rumah dan tak ke mana-mana.

Tak sepatutnya aku mempercayai hal-hal merepek seperti ini tapi aku tak boleh menggunakan 'kebetulan' sebagai alasan untuk malang yang menimpaku apabila dua angka itu berkait dengannya. Adakah ini sumpahan yang dia letakkan ke atasku? Sumpahan nombor 13; seakan tajuk filem seram pula.

Dari kejauhan, aku merenung seorang jejaka yang memakai baju bercorak genggang dan dipadankan dengan celana jeans. Dia duduk berdekatan pintu masuk ke dewan panggung dengan dua cawan air serta bertih jagung. Kaki digoyangkan, gemuruh. Matanya sekejap melihat skrin telefon, sekejap lagi menoleh ke kiri dan kanan mencari seseorang. Tak lama kemudian, telefonku bergetar.

Hai. I dah sampai ni.

Aku mendongak dan melihatnya dari jauh. Tiba-tiba, dua orang pekerja kedai perabot lalu di hadapanku sambil membawa cermin panjang bersaiz gergasi. Naluri perempuanku diaktifkan. Meneliti penampilanku buat seketika. Gaun floral berwarna beige tersarung di tubuh tinggiku dan tudung berwarna coklat pastel labuh menutup dadaku.

"Haih, buat apalah aku dress up cantik-cantik macam ni?"

Cermin dialihkan dari depan mataku dan mendedahkan pasangan janji temu ke-13 yang masih sabar menungguku. Jawapan kepada mesej yang dia tinggalkan aku balas.

Sorry. Something came up.

Butang kuasa aku tekan lama. Mematikan telefon serta-merta sementara dia masih menaip balasan. Alih-alih dia menolak rambutnya ke belakang, tertekan. Pasti kerana mesej yang dihantar terbiar tanpa dua tanda biru apatah lagi balasan. Dahi dia urut perlahan, mulut terkumat-kamit mengatakan sesuatu. Entah-entah menyumpah seranahku. Tak apalah. Aku memang layak kena sumpah pun.

Aku berpaling darinya dan membawa diri pergi, meninggalkan pusat membeli-belah yang seharusnya menjadi 'taman permainan' kami untuk janji temu pertama. Teksi bermeter yang kebetulan lalu aku tahan. Pondok perhentian bas terlalu jauh dan aku pula tiada lesen memandu. Ya, 28 tahun dan tak reti memandu kereta. Lawakkan?

"Nak pergi mana?"

Aku menyebut nama pangsapuri yang aku diami dan kereta menukar haluan ke kanan. Setelah meminta izin, aku membuka separuh cermin kereta dan menyandarkan kepalaku. Bayu selepas hujan berhenti meniup dingin wajahku sehingga terasa kebas. Awning tudung pula jangan cakaplah. Aku malas nak fikir.

Baru saja aku memejamkan mata sebentar, sesuatu yang suam mengelus lembut kelopak mataku. Perlahan-lahan, sepasang mata kuyuku terbuka. Awan bergerak perlahan dan mempersembahkan matahari pengecut yang menyorok sejak Subuh tadi.

Anak mata terasa pedih apabila merenung sang suria di atas sana dan penglihatan berubah putih kerana terangnya sinarnya. Tapi aku tak putus merenungnya. Seolah-olah ada wajah seseorang di sana. Wajah dia yang aku rindukan.

"Kau muncul lagi." Bisikku perlahan.

Kata orang, cara terbaik untuk melupakan seseorang bukanlah dengan mencari penggantinya. Melakukan itu takkan pernah menyembuhkan luka. Sebaliknya, cubalah cintai diri sendiri. Ajar diri sendiri untuk merasa cukup dengan yang ada. Meski sendiri, tak mustahil untuk menyulam bahagia.

Sebelum aku terjebak dalam dunia cari jodoh atas talian, aku sempat mencuba cara yang mereka katakan terbaik itu. Hasilnya agak memuaskan. Aku lebih kenal terhadap diri sendiri berbanding ketika bersama dia dan aku menyedari, ada hal tentangku yang aku suka tetapi kepadanya, aku katakan yang sebaliknya pula.

Kemudian, aku menyedari pula itu membawa maksud dia tak pernah mengenali diriku yang sebenarnya. Ada cebisan dalam diriku yang hanya aku ketahui. Ada sisi padaku yang tak wujud dalam memorinya.

Perasaan itu agak menyenangkan kerana sekurang-kurangnya sekarang aku tahu, dia tak memilikiku sepenuhnya. Tapi dalam masa yang sama, agak menyedihkan kerana aku tak tahu jika perasaannya kekal sama jika aku memperlihatkan belangku. Itu pun... kalau dia pernah menyimpan perasaan terhadapku.

Andai kata perasaanku selama ini bertepuk sebelah tangan, meskipun itu realitinya, aku tetap menyukainya. Aku tetap takkan menyembunyikan kenyataan yang aku masih menyukainya. Walaupun dia yang bertanya, akan aku ketepikan ego dan maruahku dan berkata dengan lidah sendiri, aku masih menyukainya.

Walaupun ada harinya aku terlupa untuk mencintai diri sendiri, aku tetap mencintainya pada hari-hari itu.

Ya. Rasa suka, sayang dan cintaku terhadapnya sebesar dan sedalam itu. Tapi sayang, dia tak menginginkan aku yang menyukainya lebih dari sesiapa pun.

Sun's FlowerWhere stories live. Discover now