"Kenangan yang telah berlalu
Takkan ku lupa
Hanya engkau yang aku mahu
Sudah tentu."Pulang - Insomniacks
Bandaraya yang penuh dengan kesibukan ini sering mengingatkan aku kepada kedinginan berbanding keselesaan. Meskipun membesar di sini, aku tak pernah membiasakan diri dengan kedinginannya. Entah kerana musim tengkujuh atau ada alasan lain, hari ini terasa lebih dingin berbanding hari-hari sebelumya.
Tubuh aku peluk untuk mengembalikan kehangatan. Pandangan aku lontarkan ke arah bangunan-bangunan yang rendah berbanding aras tujuh bangunan. Manusia dan kenderaan yang menggunakan jalan raya lebar itu juga aku pandang. Mereka kelihatan begitu kerdil di mataku.
Sang Matahari yang sering berada di atas sana, pasti dia pun merasakan hal yang sama sepertiku. Itukah sebabnya dia kembali? Kerana aku kelihatan kerdil di matanya, dia menganggap perasaanku remeh dan tidak pun memikirkan keadaanku sekiranya dia kembali menyapaku seolah-olah sepanjang lima tahun ini, tiada apa-apa yang berlaku.
Di hari-hari seperti ini juga, aku sering bertanya kepada diri sendiri, "mengapa perlu adanya matahari jika awan menyenangkan?". Kerana awan, aku dapat berjalan di bawah langit tanpa perlu peduli akan silaunya sang suria. Kerana awan, aku dapat menangis sambil tubuh diselubungi selimut tebal yang menghangatkan. Kerana awan, aku dapat menjalani hari-hariku tanpa perlu teringatkan namanya dalam setiap helaan nafas.
Mengapa perlu adanya matahari jika awan menyenangkan dan mengapa setelah takdirku dan takdir matahari bersilang lagi, ada perasaan menyenangkan? Aku tersedar, andai saja kehangatannya tak muncul, aku takkan pernah menyedari selama ini aku kedinginan. Ternyata, awan hanya menyenangkan tapi tak pernah memuaskan. Ia tak cukup untuk membahagiakanku selamanya. Tak seperti matahari. Malah jauh sekali untuk menyaingi matahari.
"Bunga..."
Aku diam. Tak berganjak dari tempat aku mencerap pemandangan yang terbentang luas di depan mata. Lantas Jasmine meraih tanganku.
"Aku minta maaf. Aku pun tak tahu pasal ni."
Aku masih bungkam. Jangan salah faham. Aku tak meletakkan salah ke atas Jasmine. Tak pernah terlintas untuk menuding jari ke mukanya. Cuma... duniaku sendiri terasa kelam. Aku bukan dalam posisi untuk memujuk hati orang lain kerana luka di hati sendiri masih berdarah.
"Bunga... kau marah aku ke?"
Kepala aku geleng perlahan. Jasmine melepaskan tanganku dan turut bersandar pada pengadang di balkoni.
"Aku dah jadi manager dia. Memandangkan kau kerja bawah aku, maksudnya kau kena selalu jumpa dia." Jelas Jasmine sebelum menyambung, "Tapi kalau kau nak, aku boleh minta tolong siapa-siapa ambil kau—"
"Tak apa." Aku mencelah.
Jasmine mengurut dahi. "Bunga. Aku tahu kau tak suka campur-aduk personal life dengan kerja tapi ni bukan masanya untuk kau—"
"Jas. Kau tahu tak kenapa aku lari bila nampak dia tadi?"
"Kenapa?"
"Aku tunggu dia bertahun-tahun. Aku ingatkan satu hari nanti, kalau aku dapat jumpa dia balik, aku dah bersedia untuk hadap dia. Untuk mula balik." Aku memejam mata. "Tapi bila dia muncul depan aku, aku tersedar. Aku fokus sangat tunggu dia sampaikan aku terlupa, untuk apa aku tunggu dia? Bila dia dah ada, apa yang aku nak buat? Kejar dia balik? Rayu dia? Aku tak tahu. Selama ni yang aku tahu, aku nak tunggu dia. That's it. Sebab itu aku lari. Aku tak tahu nak buat apa bila dia ada."
Jasmine menghirup udara tercemar bandaraya dan menghembus kuat. Dia tertawa. Kepala digelengkan.
"Aku tak fahamlah. Macam mana kau boleh suka someone to the point tujuan hidup kau, hanya untuk tunggu dia."
Aku harap kau takkan pernah faham. Kau orangnya baik Jasmine. Tak layak untuk diperlakukan seperti aku.
"Aku dah nak balik ni. Nak aku hantar kau balik ke?"
"Tak apalah. Aku dah book Grab."
"Oh." Jasmine mengangguk faham. "Esok... kau kena jumpa Helios, tau?"
"Hm."
"Jangan lari macam tadi."
Aku tertawa, malu. "Hm. Aku takkan lari lagi."
"Alright. Aku balik dulu. Bye-bye!"
"Bye."
Pintu tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta aku buka. Mengucapkan salam kepada pemandu kereta seraya tersenyum. Dia membalas senyumanku. Setelah mengkonfirmasikan alamat destinasiku, dia memandu pergi.
Hujan turun menyembah bumi. Hari semakin gelap tapi kesesakan lalu-lintas bertambah teruk. Waktu ini, ramai yang berangkat pulang ke rumah setelah seharian bekerja mencari rezeki. Binalah jalan empat haluan sekali pun, kesesakan takkan berkurang.
Mungkin kerana aku seorang pendiam, pemandu tersebut menguatkan suara radio yang memainkan lagu dari playlist yang dia cipta. Alunan melodi melankolik memenuhi segenap ruang. Dalam tak sedar, aku fokus kepada bait-bait lirik lagunya yang seolah-olah menceritakan penantianku yang hampir ke penghujungnya.
"Tumpang tanya, encik tahu tak tajuk lagu ni?"
"Oh, lagu ni?" Dia tersenyum ceria.
Tajuk lagu yang dia sebutkan aku taip ke ruang carian. Butang '+' aku tekan dan masukkan ke dalam playlist laguku pula. Aksara hitam yang ditebalkan aku tatap lama. 'Matahari', playlist yang pada asalnya aku dedikasikan untuk kau, berharap satu hari nanti aku dapat kongsi denganmu. Tapi lama-kelamaan, ia dipenuhi dengan lagu melankolik yang hanya aku dapat fahami perasaannya.
Aku mainkan lagu kita. Lagu yang mengingatkanku tentang kita. 5 minit 31 saat kemudian, lagu berakhir tapi aku tak pernah putus memikirkanmu.