KAKI anak kecil itu sedari tadi hanya ulang alik ke kiri dan kanan. Tangannya sudah memeluk tubuh. Wajahnya juga sudah menunjukkan kebosanan.
"Mana ibu ni Haider? Lamanya.." Mulut kecil itu sudah mula membebel. Tadi, ibunya kata nak pergi cari ikan. Tapi sudah hampir sepuluh minit menunggu, ibunya masih belum kembali lagi.
Tiba-tiba, mentol idea muncul di kepala Haiyan. Dia tahu nak buat apa sementara hendak menunggu ibunya.
"Haider?" Panggil Haiyan.
Si kembar menoleh. "Hm?"
"Yan nak pergi tempat mainan jap."
"Eh, mana boleh. Tadi ibu suruh tunggu."
"Ala, kejap je. Nanti Yan balik la sini."
"Haider nak ikut."
"Tak boleh. Kalau ibu tiba-tiba balik sini, dia cari. Haider tunggu tau. Yan pergi kejap je."
Haider hanya mencebik. "Ish, ya la. Cepat sikit."
"Okay!" Ibu jari diangkat. Haiyan menayang sengih. Lagi pun dia yakin dia boleh kembali secepat mungkin. Mereka dah selalu berbelanja di pasar raya ini, tak mungkin dia akan sesat. Kaki kanak-kanak itu laju mengatur langkah ke bahagian mainan.
Sesampainya dia di situ, rambang matanya melihat pelbagai mainan di situ. Salah satu kotak mainan diambil lalu dibelek. Tak dapat beli, dapat tengok pun jadilah.
Sebuah kotak mainan kereta kawalan jauh sangat menarik perhatiannya. Haiyan mengambil kotak itu. Dia dan adiknya tak pernah ada kereta kawalan jauh. Mungkin dia boleh minta ibunya untuk belikan. Mana tahu ibunya membenarkan?
Senyum lebar terukir di bibir anak lelaki itu. Haiyan mula mengatur langkah keluar dari bahagian mainan kanak-kanak itu. Sebaik kakinya melangkah keluar dari bahagian itu, matanya menangkap ramai sosok manusia lalu lalang di pasar raya itu. Entah kenapa tiba-tiba tubuhnya menggigil. Dia seperti takut melihat orang ramai di situ. Dia takut bersendirian.
Haiyan menoleh kiri dan kanan. Dia keliru. Dia lupa. Dia lupa di mana tempat adiknya sedang menunggu.
AQRAM mengambil salah satu kotak mentol lampu itu. Lelaki itu membaca maklumat yang tertera di kotak itu. Setelah yakin dengan maklumat yang tertera, kotak itu dimasukkan ke dalam bakul.
Bahagian makanan ringan mula dituju. Sedang dia belek-belek jajan di situ, telinganya dapat menangkap suara kanak-kanak menangis. Aqram menoleh ke kiri. Tiada siapa.
Kanan pula ditoleh. Seorang kanak-kanak lelaki sedang mencangkung. Hanya mereka berdua sahaja di bahagian makanan ringan itu. Melihat daripada kelakuan kanak-kanak itu, rasanya dia tahu siapa yang menangis.
Aqram cuba mendekati kanak-kanak lelaki itu.
"Dik?" Panggil Aqram.
Kanak-kanak itu mengangkat kepalanya. Dia mendongak memandang Aqram.
"Adik nangis ke?"
Budak lelaki itu mula bangun. Air mata dikesatnya. Tangan Aqram dipaut lalu digoncang.
"Uncle, tolong Yan. Yan sesat."
"Err.. mana ibu adik?"
Budak itu menggelengkan kepalanya.
"Yan tak ingat. Tadi, Yan tinggalkan adik sorang. Nak tengok mainan. Lepas tu, Yan dah lupa kat mana tempat adik Yan tunggu. Macam mana ni uncle? Nanti ibu cari Yan."
Air mata kembali merembes di wajah comel itu. Kanak-kanak itu menangis lagi.
Aqram mencangkung. Menyamakan tingginya dengan kanak-kanak lelaki itu. "Shh, jangan nangis. Nanti uncle tolong cari ibu. Nama adik apa?"
YOU ARE READING
KESEMPATAN BAGIMU
RomantikBagi seorang HANA HUMAIRA, lelaki bernama BAIHAQI itu merupakan cinta pertamanya. Kehadiran lelaki itu bagaikan cahaya yang menerangi hari-harinya. Ketika Haq menawarkannya untuk hidup bersama, tanpa berfikir panjang dia menerima lamaran tersebut. ...