BAB 10

3.5K 161 23
                                    

SENYUM dari tadi tidak lekang dari bibir lelaki itu. Dari tadi dia melihat gambar dan video anak-anaknya yang dihantar oleh Hana. Tubuh yang letih disebabkan seharian bekerja menjadi hilang serta-merta tatkala melihat senyum dan gelak tawa keluarga kecilnya.

"Dari tadi senyum je memanjang. Teringat seseorang ke tu?"

Haq menoleh ke belakang. Kelihatan Puan Sarimah, mamanya sedang menatang dulang bersama minuman panas ke gazebo yang terletak di halaman rumah mereka. Terus lelaki itu bangun lalu dulang itu diambil dari tangan mamanya. Setelah menuangkan air, Haq kembali duduk di tempatnya semula.

"Dari tadi along tersenyum tu sebab apa?" Sekali lagi Puan Sarimah menyoal. Dari tadi anak sulungnya itu hanya tersenyum sahaja. Tak lenguh bibirnya tu.

"Mama tengok ni." Telefon pintarnya disuakan kepada mamanya. Video Haiyan dan Haider yang dirakam oleh Hana dimainkan. Dalam video tersebut kedengaran suara Hana yang sedang bersorak menyokong pasangan kembar itu berlumba lari. Haiyan berjaya menduduki tempat pertama dalam acara lumba lari tersebut.

"Eh, cucu mama ke ni?" Puan Sarimah menekup mulutnya. Akhirnya, dia dapat juga melihat rupa cucu-cucunya.

"Ni Haiyan, abang. Yang ni pulak adik, Haider." Gambar Haider pula ditunjukkan kepada mamanya.

Semakin teruja Puan Sarimah melihat wajah cucu-cucunya itu. "Serupa betul mukanya. Macam mana nak bezakan ni?"

Bibir Haq terukir sengih. "Hm, along pun tak tahu nak cakap macam mana. Tapi kalau mama jumpa dia orang depan-depan, mama boleh tengok dia orang berbeza."

"Muka dia orang serupa masa along kecik dulu. Kecik-kecik dah handsome." Puji Puan Sarimah.

"Along je ke yang handsome? Anak mama lagi seorang ni tak handsome?"

Mendengar suara tersebut, secara automatik kedua beranak itu menoleh ke belakang. Kelihatan Bahran, anak kedua dalam keluarga tersebut sudah berdiri mencekak pinggang. Air menitik-nitik dari tubuh lelaki itu yang tak berbaju.

"Heh! Budak bertuah ni! Pergi lap badan tu dulu. Habis gazebo ni basah." Mulut Puan Sarimah sudah mula membebel. Pantang betul kalau anak lelakinya yang seorang tu tak reti nak lap badan lepas mandi kolam. Basah lencun lantai dibuatnya. Kalau ada yang jatuh macam mana?

"Angah nak lap la ni. Along, nak tuala tu."

Haq mengambil tuala yang terletak elok di sebelahnya lalu tuala tersebut dicampak ke adik lelakinya. Mujur dapat tangkap.

"Apa yang kau orang berbual dari tadi ni?" Datang pula Tuan Bakri ke gazebo tersebut. Lelaki tua itu melabuhkan punggung bersebelahan isterinya. Satu cawan air yang dihidangkan itu diambilnya lalu dihirup.

"Tengah cakap-cakap pasal cucu awak la," ujar Puan Sarimah.

Kening Tuan Bakri ternaik. "Cucu?"

"Eh, dah lupa ke? Anak awak ni dah kahwin. Anak pun dah dua orang."

Tuan Bakri menepuk dahinya. "Allah, lupa pulak."

"Anak kau ke long? Mana? Aku nak tengok." Bahran menyampuk. Tempat duduk di sebelah abangnya diambil.

"Nah." iPhone 11 tersebut diserahkan kepada Bahran. Adiknya melihat gambar-gambar tersebut bagai nak tembus. Satu per satu dilihatnya.

"Handsome anak kau ni. Macam pakcik dia." Macam biasa, sifat seorang Bahran sememangnya suka masuk bakul angkat sendiri.

Haq menjulingkan matanya ke atas. "Perasan."

"Uish, awek mana ni? Lawanya long. Recommend la kat aku." Gambar seterusnya dislide oleh Bahran. Bersinar matanya melihat gambar seorang wanita yang ditangkap dari belah sisi. Side profile pun dah lawa. Lagilah kalau depan-depan. Fuh, boleh gugur jantung.

Haq memanjangkan lehernya. Matanya terbeliak. Dengan pantas telefon pintarnya dirampas semula dari tangan Bahran.

"Eh, aku tak puas tengok lagi." Bahran sudah mencebik. Orang tengah seronok tenung gambar awek, boleh pulak dia rampas.

"Ni bini aku la. Sesedap rasa je suruh aku recommend."

Ternganga mulut Bahran dibuatnya tatkala mendengar kenyataan abangnya itu. Kepala yang tak gatal digarunya. "Lah.. mana aku tahu tu bini kau. Hm, tapi memang lawa bini kau. Untung aku ada kakak ipar lawa macam tu."

Haq mengetap bibir. Adik lelakinya itu hanya dijeling. Nasib tahap kesabarannya masih lagi tinggi. Kalau tak, memang ada yang makan pelempangnya malam ni.

"Macam mana hubungan kau dengan Hana? Dah baik?" Tuan Bakri pula mula menyoal.

Haq menyandarkan tubuhnya. "Nak kata baik sepenuhnya tu.. belum lagi. Tapi, alhamdulillah layanannya masih baik."

"Dia maafkan kau?"

Haq hanya senyum segaris. Kepalanya digelengkan. "Yang tu along tak tahu, pa. Dia tak cakap apa-apa pasal tu."

"Andai kata kalau dia belum boleh maafkan kita, tak apalah. Papa faham. Bukan senang nak maafkan seseorang yang dah buat salah dengan kita. Lagi-lagi bila kita dah buat dia hidup terseksa selama lima tahun ni."

Haq mengangkat kepalanya. Wajah tua itu dipandang. "Along masih cuba pujuk dia. Insya-Allah, dia boleh maafkan kita. Hatinya lembut, pa."

Tuan Bakri hanya menganggukkan kepalanya. Rasa kesal semakin menebal dalam diri. Dia menyesal kerana telah menganiaya menantunya itu. Dalam usia yang muda, wanita itu telah diuji dengan ujian yang berat. Dan semuanya berlaku disebabkan dirinya.

"Kalau along dapat pujuk Hana, along nak bawak dia duduk KL ke?" Soal Puan Sarimah pula setelah lama mendiamkan diri.

"Along cuba usahakan. Kalau boleh memang along nak dia duduk KL."

"Pujuk dia pelan-pelan. Lama-lama terbuka hati dia nanti," ujar Puan Sarimah cuba memberikan semangat kepada anak sulungnya itu.

Haq hanya mampu menayangkan senyumnya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. "Batrisya mana ma?"

Sejak dia pulang dari tempat kerja sehingga sekarang dia tak nampak adiknya yang bongsu itu.

"Kau tak tau ke long? Kan dia pergi holiday. Pagi tadi dah gerak. Kerja nak habiskan duit papa je." Dalam dia memberi keterangan, sempat juga Bahran selitkan sindiran untuk adik perempuannya.

"Tak baik cakap adik macam tu," ujar Puan Sarimah. Bahran sememangnya sering bersikap begitu dengan Batrisya. Kedua anaknya itu sering sahaja bergaduh terutama semenjak meningkat remaja. Tapi dalam marah Bahran, dia buat begitu untuk kebaikan adiknya juga.

"Hm, memang biasa sangat la enjoy tu. Kalau tak mintak duit papa, duit mama yang dia mintak. Tak dapat duit mama, duit along pulak. Lepas tu duit angah lagi." Bahran menggelengkan kepalanya. Runsing dengan sikap adik bongsunya. Dah terbiasa hidup senang memang macam tu la perangai. Sudahlah bongsu, anak perempuan tunggal dalam keluarga. Sememangnya Batrisya dimanjakan.

"Dia tak cari kerja lagi ke pa?" Tanya Haq pula. Dia tahu Batrisya masih lagi menganggur walaupun sudah beberapa bulan adiknya itu menamatkan pelajaran.

"Dah berapa banyak papa recommend kat dia. Dia je yang tak nak." Tuan Bakri mengeluh. Dia pun runsing dengan sikap anak perempuannya yang satu itu. Mungkin memang salah dia dan isterinya yang terlalu manjakan Batrisya dengan kesenangan. Lagi satu, Batrisya tu memang sifatnya keras kepala dan memilih.

Haq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia pun pernah menasihati adik bongsunya itu. Tetapi nasihat itu seolah-olah hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Seperti mencurah air ke daun keladi. Keras kepala sungguh Batrisya ni. Dalam hati, dia berdoa semoga anak-anaknya tidak bersifat begitu nanti.

KESEMPATAN BAGIMUWhere stories live. Discover now