"HANA, kau okay tak?"
Melihatkan wanita itu yang kelihatan termenung sedari tadi membuatkan Farisha terbuka hati untuk bertanya. Mata Hana terarah pada televisyen yang sedang menayangkan filem, tetapi Farisha boleh agak fikiran wanita itu sudah melayang entah ke mana.
"Hana." Bahu rakan karibnya itu digoyangkan sedikit kuat.
"Ya?" Baru wanita itu sedar.
Farisha hanya tersenyum tipis melihat reaksi wanita itu. "Kau dari tadi termenung. Ada benda jadi ke?"
"Kau rasa, patut ke aku terima Haq balik dalam hidup aku?"
Kening Farisha berkerut tatkala mendengar soalan yang baru keluar dari mulut Hana. "Bukan kau memang dah terima dia ke? Kenapa ni? Ada benda jadi ke? Kau gaduh dengan dia?"
Hana hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan. "Tak. Tak gaduh pun. Cuma.. aku ragu-ragu."
"Kau ragu-ragu sebab?"
Wanita itu memusingkan tubuh menghadap ke arah Farisha. Kaki dinaikkan lalu disilakan di atas sofa. "Macam mana kalau.. niat sebenar dia nak berbaik dengan aku sebab Yan dengan Haider?"
"Ha? Maksudnya?" Semakin tak faham Farisha dengan pernyataan kawannya itu.
"Yalah, bila dia dah berjaya pujuk anak-anak aku, dia bawak lari anak aku. Dia tinggalkan aku lagi sekali. Dia.."
Tanpa sempat Hana menghabiskan katanya, tiba-tiba dia merasakan lengannya ditampar oleh Farisha. Dia menjerit kecil apabila diperlakukan sebegitu. Lengannya yang sakit itu digosok-gosok. Boleh tahan kuat Farisha tampar lengannya.
"Kau ni banyak sangat tengok drama ke? Ke banyak sangat baca novel?" Farisha sudah mencekak pinggang. Pening dengan perangai Hana sebenarnya.
Hana pula sudah mencebik. "Ish, aku terfikir je kan? Lagipun Haq tu bukan boleh jangka. Mana tau dia nak tinggalkan aku lagi."
Farisha hanya mengetap bibir. Dia tahu, pasti wanita itu masih lagi trauma dengan peristiwa lima tahun lepas. Mungkin Hana masih lagi ragu-ragu untuk percaya lelaki itu. Tak mudah untuk wanita itu menerima suaminya semula setelah apa yang lelaki itu lakukan lima tahun yang lalu. Kejadian itu telah menoreh luka yang dalam pada diri seorang Hana Humaira.
"Kenapa kau terfikir benda macam ni?" Soal Farisha.
Hana menggigit bibir bawahnya. Perlu ke dia cerita tentang hal itu?
"Aku sebenarnya.."
"Hm?" Farisha dengan sabar menanti wanita itu menyambung ayatnya.
"Aku mimpi.. Haq tinggalkan aku. Dia bawak lari Yan dengan Haider. Tinggal aku seorang diri. Lepas tu dia senang-senang bagi duit dia kat aku. And dia kata aku boleh tuntut fasakh, tapi hak penjagaan anak-anak semua atas nama dia."
Hampir ternganga Farisha mendengar cerita rakannya itu. Boleh tahan teruk jugak Haq versi mimpi ni. Memang definisi lelaki tak guna. Wanita itu terbatuk kecil. Farisha, sekarang bukan masa kau untuk kutuk Haq.
"Hana, tu semua mimpi. Mainan syaitan je semua tu. Syaitan mestilah tak suka bila umat manusia ni nak bina rumah tangga semula. Dia nak buat kau ragu-ragu."
Giliran Hana pula yang terdiam apabila mendengar penjelasan daripada rakan baiknya itu. Betul juga apa yang dikata Farisha.
"Haq layan kau dengan baik tak?"
Dengan perlahan Hana menganggukkan kepalanya. Ya, Haq masih lagi bersabar dan melayannya dengan baik walaupun dia sering kali menyindir lelaki itu. Kalau dah hampir tiap kali jumpa asyik disindir sahaja, pasti lama-lama koyak juga. Tetapi lelaki itu masih lagi bersabar dan tenang sahaja menghadapi karenahnya.
YOU ARE READING
KESEMPATAN BAGIMU
RomanceBagi seorang HANA HUMAIRA, lelaki bernama BAIHAQI itu merupakan cinta pertamanya. Kehadiran lelaki itu bagaikan cahaya yang menerangi hari-harinya. Ketika Haq menawarkannya untuk hidup bersama, tanpa berfikir panjang dia menerima lamaran tersebut. ...