DARI tadi bibirnya mencebik. Terasa semak penglihatannya dengan kehadiran dua budak lelaki di situ. Tak pasal-pasal dia kena jadi pengasuh tak berbayar kepada budak-budak tersebut. Mak bapak sedap pergi melancong ke Bali, anak main tinggal je kat sini.
"Comelnya anak buah you ni!" Rakannya, Anna tersenyum lebar melihat gelagat anak kembar itu yang kelihatan begitu comel di matanya. Sesekali gadis itu mencubit pipi adik beradik itu. Geram!
Batrisya menjulingkan matanya ke atas. Comel la sangat. Sepatutnya hari ini merupakan girl's day out mereka bertiga. Dia, Anna dan Kaira. Tetapi dengan tidak rela hatinya dia perlu mengheret sekali dua budak itu disebabkan tiada sesiapa yang boleh menjaga mereka di rumah.
Tuan Bakri dan Puan Sarimah sedang menghadiri mesyuarat persatuan kebajikan. Mak Nab, pembantu rumah mereka sedang berada di rumah anaknya di Perak dan mengambil cuti untuk menjaga anaknya yang sedang berpantang. Bahran pula sedang bekerja di luar kota. Jadi, yang tinggal hanya Batrisya sahaja sementelah dia tidak sibuk dan mempunyai banyak masa.
"Lepas ni lepaklah rumah aku. Lagi pun rumah aku tengah kosong," ujar Kaira.
"Nak bawak budak-budak ni ke?" Bisik Batrisya di telinga rakannya.
"Memanglah. Kau sendiri cakap rumah kau tak ada siapa nak jaga. Aku okay je. Bukannya budak-budak ni nakal pun." Kaira tersenyum memandang dua budak lelaki itu. Sopan sahaja perangai. Tak nakal.
Batrisya mengeluh. Nampaknya, sepanjang hari dia perlu berkepit dengan Haiyan dan Haider.
"Oi budak!"
Dengan mudah anak kembar itu memandang ke arah makcik mereka. Batrisya mula mendekat. Gadis itu menundukkan sedikit badannya bagi menyamakan tinggi mereka.
"Nanti kau orang berdua ikut aku pergi rumah Kaira. Kat rumah orang, jangan nak buat hal eh?"
"Okay, Cik Su!"
Gadis itu sudah mengerut dahi. Dia bercekak pinggang. "Siapa suruh panggil Cik Su?"
"Pak Ngah kata, kita kena panggil Cik Su ni, Cik Su." ujar Haiyan.
Batrisya mendengus. Sesedap rasa je Bahran suruh budak-budak ni guna panggilan Cik Su. Tunggulah Bahran balik nanti, siap dia kerjakan!
"Whatever. Dah, jom."
Mereka berlima mula bangkit dari kerusi. Kaki mula diatur keluar dari restoran makanan segera tersebut. Sebaik sahaja keluar dari perkarangan pusat membeli-belah, tiba-tiba si abang mendapat idea. Mulutnya berbisik pada telinga Haider.
"Kalau Haider dapat kejar Yan, nanti Yan bagi main Lego Yan. Nak?"
Terus mata si adik bersinar apabila mendengar taruhan tersebut. Dia sudah lama ingin bermain dengan Lego milik abangnya yang lebih banyak berbanding dirinya. Serta-merta dia bersetuju.
Tidak lama kemudian, lampu pejalan kaki mula bertukar kepada hijau. Kedua budak lelaki itu mula melangkah laju di atas lintasan zebra tersebut.
"Kejarlah!" Haiyan menjerit ke arah adiknya. Kakinya laju berlari meninggalkan Haider dan yang lain di belakang. Tanpa anak itu sedar, sebuah kereta sedang laju menuju ke arah tempatnya berlari.
"Yan!!"
Anak itu menoleh ke belakang. Tidak mengerti kenapa namanya dijerit. Sesekali anak itu memandang ke arah kirinya. Terbeliak matanya melihat ada sebuah kereta laju memandu ke arahnya. Haiyan tidak mampu memproses apa-apa. Yang dia tahu, dia perlu menjerit.
"Aaaahhh!!!"
Dan mujurlah, hasil dari jeritan nyaring itu membuatkan kereta tersebut berhenti secara mengejut.
YOU ARE READING
KESEMPATAN BAGIMU
RomanceBagi seorang HANA HUMAIRA, lelaki bernama BAIHAQI itu merupakan cinta pertamanya. Kehadiran lelaki itu bagaikan cahaya yang menerangi hari-harinya. Ketika Haq menawarkannya untuk hidup bersama, tanpa berfikir panjang dia menerima lamaran tersebut. ...